Penulisan ini ditulis Dr. Syahr Musafir di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. Penulisan ini telah disunting bagi memudahkan pembacaan.
Disclaimer: Ini bukan post politik, ini post pasal suami isteri.
Jarang-jarang sekali bersembang tentang politik, tetapi musim-musim PRU sebegini memang 'kena' sembang bab politik. Suka atau tak suka, kena ambil tahu. Setuju atau tak setuju, dengar dulu...
BESARKAN TEKS A- A+
Satu hari isteri saya berseloroh, "Abang, Sayang baca artikel pasal bagusnya cara Tun Dr Siti Hasmah bertanggungjawab semak dan imbang kepada Tun Dr Mahathir yang selalu sibuk urus negara sejak sertai politik..."
Berperwatakan kering seperti biasa, saya sekadar memberi jawapan, "Betul dah tu. Bukan senang nak jadi isteri seorang Perdana Menteri."
Pendek jawapan saya. Memberi respon sekadar itu, tak menoleh ke arahnya pun. Isteri saya diam. Suasana sunyi. Dan si dia masih diam walaupun selepas beberapa minit.
Pelik.
Saya rasa ada sesuatu yang tak kena, saya menyambung, "Bonda Tuan Sabariah, isteri Tuan Guru Nik Aziz pun bagus."
Isteri saya diam juga. Alahaiiiiii... Merajuk ke ni?
Saya pandang isteri, nampak isteri pandang ke lain. Sah! Memang sah merajuk. Alamak, camne nak pujuk? Saya pandang ke isteri, walaupun wajahnya tak memandang saya.
"Politic aside, Abang sangat selesa pada seorang isteri kepada seorang ahli politik Malaysia. Nak cerita sikit ni, nak dengar tak? Kalau tak nak dengar, Abang tak cerita..." saya memulakan bicara.
Isteri dah mula menoleh, walaupun baru sipi-sipi. Taktik memujuk berjaya!
Saya menyambung, "Ada tiga sebab, kenapa Abang rasa Datuk Seri Dr Wan Azizah #DSWA adalah contoh isteri yang baik."
Isteri saya terus palingkan muka memandang tepat ke arah saya dan tunjuk minat. Confirm dia tak sangka saya nak cerita pasal DSWA, isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim #DSAI ini.
Cara berpakaian dan perwatakan
"Pertama, sebab tudung bawal DSWA. Tak tahu harganya berapa sehelai, mungkin beribu-ribu, mungkin hanya RM10, tetapi pakai bawal nampak sederhana dan rendah diri. Lengkap pula baju kurung atau kebarung ringkas yang selalu DSWA pakai, nampak merendah diri sangat.
"Kemenjadian" anak-anak
Kedua, sebab kemenjadian anak-anak. Nurul Izzah, Nurul Nuha, Nurul Iman, Nurul Ilham, Nurul Hana, semua tampak solehah bertudung, educated, alhamdulillah. Ehsan Anwar pun OK.
Sehebat manapun si ayah dan si ibu adalah madrasah utama anak-anak. Apabila melihat anak-anak yang berjaya, kita kena puji ibu mereka dahulu, sebelum puji ayah mereka.
Seorang isteri yang sangat setia
"Ketiga, sebab DSWA lambang seorang isteri yang sangat-sangat setia...," saya berhenti. Bukan sebab tarik nafas atau sengaja berhenti, tetapi sebab saya rasa sebak.
Isteri saya memandang tepat ke mata saya.
"Wanita mana sanggup bersuamikan seorang lelaki yang dituduh peliwat, satu dunia tahu isu ini, dicemuh, dihina, dipenjarakan, diperkatakan.... Tetapi DSWA tetap ada di situ. Daripada seorang oftalmologis (doktor pakar mata) menjadi seorang ahli politik menubuhkan sebuah parti politik kerana mahu membela nasib suami.
Abang tak tahu dari mana DSWA dapat kekuatan untuk PERCAYA pada suaminya itu dan KUAT berusaha untuk mencari keadilan buat suami. Abang tak nak cerita pasal DSWA hebat atau lemah dari segi percaturan politik, tetapi Abang memang admire dan amaze dengan KESETIAANNYA SEBAGAI ISTERI KEPADA SUAMI. Unbelievable, but true."
Isteri masih pandang mata saya, saya menyambung dengan kata-kata tersekat, "Abang doa Sayang isteri Abang yang akan setia, percaya dan sokong Abang walaupun JIKA ada suatu hari nanti Abang difitnah, dihina, dibuang, atau apa saja berlaku, Sayang tetap percaya pada kejujuran Abang sebagai seorang suami dan sebagai seorang manusia."
Rasa sebak tadi berpindah menjadi titisan berkaca di kelopak mata. Subhanallah. Jika tadi hanya nak pujuk, kini sudah bertukar jadi sesi luah rasa antara suami dan isterinya.
Percayalah, Datuk Seri Wan Azizah memang ikon isteri setia sepanjang zaman. Just imagine how strong she has been.... Ingat senang ke nak stay strong bilamana suami dalam penjara dan seluruh Malaysia mempersoalkan apa, bila, di mana bla bla bla atas segala pancaroba yang berlaku?
Dengan nak urus anak lagi. Fuh! SUSAH. But she has always been there by his husband's side.
Moga setiamu hingga ke syurga...
Isteri saya kembali tersenyum, bukan sebab isteri saya suka tudung bawal dan bukan sebab isteri saya jual tudung bawal, tetapi sebab suaminya ini bersembang dengannya. Terapi seorang isteri tak semestinya belikannya hadiah, tetapi memadai apabila suaminya melayan perbualan bersamanya.
Taktik memujuk selesai dan berjaya, tetapi bukan sekadar taktik kosong sebab suami ini pun rasa terisi minda dan hati daripada perbualan tadi... Alhamdulillah.
Hari ini pasca-PRU14, lambat betul angkat sumpah PM baru, saya berseloroh kepada isteri, "Kalau DSWA yang jadi PM baru, memang betul-betul sejarah tercipta sebab ubah kerajaan selepas 60 tahun dan PM wanita pertama selepas 60 tahun. Heheh..."