Sejarah tidak pernah melupakan sesiapapun. Ada sesetengah tokoh menjadi masyhur dan dikenali dalam buku-buku sejarah. Manakala ada pula nama segelintir orang yang lain tidak disebut-sebut dan agak kabur pengetahuan fakta tentangnya.

Walaupun begitu, hanya ada beberapa orang sahaja dalam dunia yang berjaya meraih populariti dalam sejarah namun nama, latar belakang dan kisah sebenar mereka masih tidak diketahui sehingga ke hari ini. Kita mungkin hanya mengenali tindakan atau wajah mereka tetapi identiti sebenar kekal sebuah misteri.

1. "Tank Man"

Gambar seorang lelaki yang begitu berani berdiri di hadapan sekumpulan askar berkereta kebal ketika Pembunuhan Beramai-ramai Dataran Tiananmen pada tahun 1989 mungkin merupakan salah satu gambar paling unggul sepanjang zaman. Foto itu diambil oleh Jeff Widener yang dihantar ke China dalam satu tugasan oleh Associated Press.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pihak tentera telah menyerang para penunjuk perasaan pro-demokrasi yang berkampung di plaza tersebut. Kereta-kereta kebal yang terdapat dalam gambar itu muncul pada keesokan harinya.

Lelaki berani itu dilihat enggan memberikan laluan kepada barisan kereta kebal yang ingin melalui plaza. Malah, dia juga cuba memanjat salah sebuah kereta kebal dalam usaha menghalang perjalanan mereka.

Menurut Widener, ketika kejadian, dia menyangka yang nyawa lelaki itu bakal melayang namun entah mengapa pasukan tentera China tidak mengambil tindakan segera terhadapnya. Mungkin disebabkan dia tidak bersenjata. Dia hanyalah seorang lelaki biasa yang baru selesai membeli sedikit barang namun lagak 'hero'nya menentang keganasan tentera itu telah menjadikan kisahnya terpahat dalam sejarah.

Dia mula menjadi ikon bagi kumpulan pembantah pro-demokrasi. Akhbar Sunday Express dari United Kingdom kemudian membuat spekulasi bahawa lelaki tersebut adalah seorang pelajar berusia 19 tahun bernama Wang Weilin - yang kemudiannya telah mati dibunuh. Namun begitu, sehingga kini tidak ada mana-mana agensi berita atau organisasi hak asasi manusia yang berjaya mengesahkan identiti sebenar lelaki misteri itu.

Pada tahun 1990 dan 2000, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis China yang berkhidmat ketika itu menyatakan yang lelaki misteri tersebut selamat dan tidak diapa-apakan. (Sumber 1, 234)

2. "The Babushka Lady"

Terlalu banyak teori konspirasi dan keraguan yang timbul selepas kes pembunuhan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy pada tahun 1963. Dilaporkan seorang wanita misteri yang dikenali sebagai "the Babushka Lady" mungkin telah berjaya merakamkan keseluruhan babak tragedi hitam tersebut. Gelaran itu diberikan bersempena selendang yang dipakainya, "babushka" yang bermakna wanita tua dalam bahasa Rusia.

babushka lady manusia terkenal tetapi tidak dikenali identiti

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, wanita ini sedang memegang sebuah kamera. Maklumat ini juga disahkan melalui rakaman filem pada hari kejadian. Apa yang aneh, sejurus berlakunya tembakan, orang ramai mula lari bertempiaran mencari tempat untuk berlindung tetapi wanita ini kekal tidak berganjak seolah-olah tidak terkesan dengan kekecohan di sekelilingnya.

Sehingga kini, identiti dan wajahnya masih tidak dapat dikenal pasti. Walau bagaimanapun, dia berjaya menjadi salah seorang saksi kes pembunuhan J.F.K yang kekal misteri. (Sumber 12)

3. Bayang-bayang Hiroshima

Tanggal 6 Ogos 1945, pasukan tentera Amerika Syarikat telah menjatuhkan sebuah bom nuklear di Hiroshima, Jepun. Bom itu telah membunuh seramai kira-kira 70,000 orang dalam sekelip mata. Ia menghasilkan suhu panas terlampau yang tidak dapat dibayangkan sehingga mangsa yang mati hangus telah meninggalkan bayang-bayang menakutkan pada objek yang berada di sekitar mereka.

bayang bayang hiroshima manusia misteri

Satu bayang-bayang manusia dengan tongkat yang (mungkin) sedang menaiki tangga telah kekal terpahat selepas mangsa mati terbakar dengan sepantas kilat. Bayang-bayang nuklear ini telah berjaya menceritakan bagaimana sebuah bandar di mana penduduknya sedang sibuk melakukan aktiviti harian pada waktu pagi telah dimusnahkan begitu sahaja tanpa sebarang amaran.

Tiada cara yang tinggal untuk mengetahui identiti mangsa. Dia kekal misteri sebagai sebentuk bayang-bayang yang menggambarkan betapa kejamnya peperangan dan betapa lemahnya hidup seorang insan. (Sumber 12)

4. "Immortal Beloved"

Kebiasaannya, orang 'tanpa nama' yang terkenal melalui sejarah boleh diketahui melalui kisah peperangan. Namun, seseorang bernama "Immortal Beloved" hanya dikenali melalui sepucuk surat yang ditulis tangan oleh komposer dan pemain piano legenda, Beethoven.

immortal beloved beethoven manusia terkenal tetapi tidak dapat dikenali identiti

Surat sebanyak 10 halaman itu telah ditulis sekitar 6 atau 7 Julai 1812. Disebabkan bakatnya yang luar biasa dalam bidang muzik telah menjadi satu fenomena yang mempengaruhi budaya pada zaman itu, kewujudan insan bergelar "Immortal Beloved" yang menerima surat Beethoven ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya. Para ilmuwan dan sejarawan tidak dapat mengenal pasti siapakah penerima surat yang dimaksudkan.

Kisah misteri surat Beethoven ini telah menjadi inspirasi penghasilan sebuah filem pada tahun 1994 menggunakan judul yang sama. Isi surat jelas menunjukkan yang kedua-dua Beethoven dan si penerima sedang dilamun cinta serta sudah biasa berbalas kiriman. Namun, impian untuk hidup bersama dilihat sebagai sesuatu yang mustahil untuk dipenuhi. (Sumber 12)

5. "The Dancing Man"

Perang Dunia Kedua mungkin merupakan suatu tamparan hebat kepada ketamadunan manusia disebabkan angka kematian yang sangat tinggi. Walau bagaimanapun, ia telah berjaya merakamkan banyak saat indah yang menggambarkan naluri manusia yang inginkan keamanan dan kasih sayang.

Rakaman "The Dancing Man" ini telah menjadi simbol keriangan dan rasa lega bagi ramai orang selepas mendapat perkhabaran bahawa Perang Dunia Kedua telah berakhir. Ia memaparkan aksi seorang lelaki yang girang menari sambil menelusuri jalan raya di Sydney, Australia. Aksi lelaki tersebut telah mewakili majoriti rakyat jelata yang berpesta pora menyambut kepergian peperangan.

Disebabkan foto dan filem lelaki menari itu telah meraih populariti tinggi, ramai orang tampil dengan kenyataan bahawa mereka adalah "The Dancing Man." Namun, sehingga kini identitinya yang sebenar masih tidak diketahui.

6. "Roland Doe"

Upacara "exorcism" atau menghalau roh jahat mungkin merupakan salah satu subjek kegemaran filem-filem seram Hollywood. Ia merupakan sejenis ritual di mana para paderi dikatakan akan mengeluarkan syaitan atau roh jahat dari tubuh seseorang yang dirasuk. Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa kebanyakan filem yang dihasilkan sebenarnya merupakan olahan semula daripada kisah yang benar-benar berlaku.

the exorcist roland doe manusia terkenal tetapi identiti kekal misteri

Salah satu ritual menghalau roh jahat ini telah menghasilkan filem-filem seram seperti "The Exorcist" (1973). Filem tersebut diinspirasikan daripada kisah tentang seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang ditahan selama berbulan-bulan oleh sekumpulan paderi di Missouri pada tahun 1949. Bagi melindungi identitinya yang sebenar, budak lelaki tersebut diberikan nama samaran "Roland Doe." Menurut seorang paderi yang merupakan saksi terakhir yang terselamat, mereka tidak dapat mengesahkan jika Roland Doe sememangnya benar-benar dirasuk.

Kejadian peristiwa ritual tersebut telah menjadi adegan standard dalam pelbagai filem dan buku seram. Namun, identiti sebenar remaja malang itu dan apakah masalah sebenar yang dialaminya masih kekal misteri hingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, nama Roland Doe begitu popular dan telah menjadi sumber utama kisah fiksyen alam ghaib di negara Barat. (Sumber 12)

7. "The Falling Man"

Ini merupakan satu lagi gambar yang disenaraikan oleh Time Magazine sebagai 100 gambar paling berpengaruh sepanjang zaman. Foto yang menceritakan sebuah kisah tragis ini diambil oleh Richard Drew hanya beberapa ketika sejurus terjadinya peristiwa serangan 11 September 2001.

falling man manusia terkenal tetapi kekal misteri

Pada hari kejadian, lelaki ini dapat dilihat sedang jatuh dari sebuah bangunan pencakar langit. Tiada sesiapa dapat mengenal pasti siapakah lelaki tersebut. Ada yang berpendapat bahawa dia merupakan seorang pekerja penyelenggaraan yang sedang membersihkan tingkap bangunan tinggi itu. Sama ada dia terjun untuk melarikan diri daripada kepulan asap tebal atau tercampak akibat letupan - tiada siapa yang tahu.

Apa yang lebih menyedihkan, lelaki itu kelihatan tenang dan tidak bergelut untuk menyelamatkan diri. Seolah-olah dia telah menerima takdir pengakhiran hidupnya. (Sumber 12, 3)

8. "Flower Power"

Peperangan sering kali meninggalkan kesan buruk dan mengerikan dalam memori para mangsa yang terselamat. Namun, mangsa yang memilih jalan hidup penuh keamanan akan sentiasa menjadi sumber inspirasi yang baik kepada generasi seterusnya. Foto "Flower Power" ini merupakan sekeping gambar bersejarah yang memaparkan seorang pembantah Perang Vietnam memasukkan sekuntum bunga teluki ke dalam laras senapang seorang tentera.

flower power manusia terkenal tetapi misteri

Identiti lelaki tersebut tidak dapat dipastikan namun jurugambarnya, Bernie Boston terus dikenali di seluruh dunia. Gambar miliknya menjadi salah satu imej yang paling kerap digunakan oleh pelbagai media, organisasi serta individu kerana ia menjadi simbol kedamaian yang diidamkan manusia sejagat.

Lelaki berani ini berjaya menjadi ikon kepada gerakan anti-peperangan sepanjang tahun 60-an. Sejak itu, ramai golongan pembantah yang lain menggunakan bunga, bendera dan mainan untuk menyampaikan mesej bahawa senjata dan peluru tidak boleh membawa kepada keamanan. (Sumber 12, 3)




Hakcipta iluminasi.com (2017)