Kredit foto: Instagram Chacha Maembong
Aktres Chacha Meambong panik apabila penglihatannya terganggu dek kerana jangkitan kuman ketika berada di set penggambaran filem I'm Not A Terrorist arahan Arjin Uppal.
Kata Chacha, pandangannya menjadi gelap sejurus selepas terjatuh ketika berlakon babak diculik dan dipukul dua penjahat lakonan Gulshan Grover serta Kapten Khir Mohd Noor.
"Mata saya tiba-tiba sakit kerana dimasuki sejenis daun berbisa, tetapi saya tetap bertahan dan meneruskan penggambaran hingga selesai. Sangka saya, ia mungkin disebabkan habuk hingga penglihatan jadi tidak selesa.
"Mata saya bertambah pedih apabila kami kembali ke hotel penginapan kerana saya kerap menggosoknya," katanya memetik laporan portal Berita Harian Online.
Tambah Chacha, kesakitan ketika penggambaran yang berlangsung di Kashmir, India itu berterusan apabila dia gagal membuka mata sewaktu bangun keesokan harinya.
Susulan itu, dia menangis kerana menganggap penglihatannya bakal hilang.
Lantas, produser S Baldev Singh mengambil tanggungjawab menghantar aktres berusia 21 tahun itu berjumpa doktor pakar yang mana terletak lebih 200 kilometer dari tempat penginapan mereka.
Kredit foto: Instagram Chacha Maembong
"Saya diberikan cuti selama dua hari dan terpaksa berehat dalam bilik gelap. Mata pula dibalut kerana tidak boleh terkena cahaya. Saya hidup seperti orang cacat penglihatan, malah makan minum dan segala keperluan saya terpaksa dibantu.
"Selepas dua hari, keadaan mata saya masih belum pulih dan terpaksa kembali ke hospital untuk rawatan lanjut. Apabila balutan dibuka, doktor mendapati anak mata saya besar sebelah. Sakit itu hanya berkurangan selepas seminggu saya mendapat rawatan," katanya.
I'm Not A Terrorist yang menelan kos pembikinan lebih RM7 juta itu antara lain turut dibintangi Afiq Muiz, Betty Banafe dan Datuk Jalaluddin Hassan bersama tiga bintang lagenda Bollywood iaitu Gulshan Grover, Farida Jalal dan Rahul Dev.
Filem yang mencetuskan sejarah baru dalam layar perak tempatan itu telahpun berada di pawagam Malaysia dan India sejak 5 Oktober lalu.
Sumber berita: BH Online