Carika adalah seorang penjual nasi dan tempe di Jawa, Indonesia.
Dia baru berumur 29 tahun. 5 tahun lalu, ketika beliau berumur 24 tahun, dia dikurung di dalam sebuah kandang kambing yang kotor. Disitulah dia hidup selama 4 tahun tanpa dibenarkan keluar oleh keluarganya.
Selama 4 tahun itu jugalah dia makan, tidur dan membuang najis di situ. Berhari-hari dia meminta dibebaskan tetapi keluarganya hanya memekakkan telinga. Kesalahannya, dia mengalami masalah mental dan keluarganya tidak tahu apa cara lain yang perlu dilakukan.
Sehinggalah pihak wartawan hadir ke rumahnya barulah dia dibebaskan.
Kisah Carika ini sama seperti kisah 57 ribu orang pesakit mental lain yang dikurung oleh pihak keluarga atas desakan hidup. Ada yang dikurung tetapi masih bebas bergerak, ada yang dirantai kaki dan tangan. Ada juga yang dirantai ditempat terbuka dan dibiarkan saja.
Ini adalah budaya pasung masyarakat Indonesia.
Melalui penyiasatan yang dilakukan oleh Human Rights Watch, budaya pasung di Indonesia masih berlaku dengan berleluasa walaupun kerajaan Indonesia sudah mengharamkan amalan ini sejak tahun 1977.
Walaupun sudah diisytiharkan budaya pasung ini merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan dan memalukan individu, pihak keluarga tetap meneruskan budaya ini kerana mempercayai amalan mistik.
Kes pasung paling lama direkodkan adalah kes seorang wanita yang dipasung selama 15 tahun.
Budaya pasung ini dilaporkan terus berlaku kerana kurangnya kemudahan untuk pesakit mental di Indonesia mendapatkan rawatan. Dianggarkan seramai 90% pesakit mental di sana tidak mampu mendapatkan awatan kerana kekurangan fasiliti. Untuk sebuah negara yang mempunyai 250 juta penduduk, Indonesia hanya mempunyai 48 institut mental. Kebanyakannya pula terletak di empat daerah utama negara itu.
Nisbah seorang ahli psikiatri untuk 400 ribu orang penduduk juga menunjukkan kekurangan jumlah pakar yang mampu membantu pesakit.
Kekurangan fasiliti di hospital dan institut mental juga tidak membantu. Dilaporkan kebanyakan bilik yang menempatkan pesakit mental mengalami jumlah kepadatan melampau, sehinggakan bilik yang sepatutnya menempatkan 30 orang, terpaksa menampung 90 orang pesakit. Ini menjurus kepada tahap kesihatan yang tidak sempurna di kalangan pesakit kerana wabak mudah merebak.
Oleh kerana kekurangan kemudahan ini budaya pasung terus diamal dalam memastikan keselamatan pesakit mental di Indonesia.
Dalam kes wanita yang dikurung selama 15 tahun itu, semuanya berpunca daripada wanita itu gemar merosakkan tanaman jiran rumahnya. Kerana kejadian itu berlaku berulang kali sehingga bapanya tidak sanggup menanggung kerugian yang perlu dibayar sebagai ganti rugi, keluarganya mengambil keputusan untuk mengurung beliau di dalam bilik.
Apa yang menyedihkan, selepas bapanya mendapati beliau cuba memecahkan lantai untuk membuat jalan keluar, bapanya mengikat kedua-dua tangan anaknya itu. Setiap kali hendak makan selepas itu, wanita itu terpaksa membongkok sehinggalah mulutnya mampu mencapai makanan yang diberi.
Walaupun begitu, kita harus juga melihat perkara ini dari perspektif keluarga mereka. Kebanyakan keluarga ini sebenarnya terdesak dan tidak ada jalan lain yang mampu diambil.
Oleh kerana mempunyai anak atau saudara yang mengalami masalah mental memerlukan tanggungjawab besar yang berkemungkinan seolah kerja sepenuh masa, pihak keluarga terpaksa mengurung anak mereka untuk mengelakkan mereka daripada membahayakan diri sendiri.
Jadi apa solusi kepada budaya pasung ini?
Kesedaran kepada hak mereka sebagai pesakit mental perlu diterapkan. Begitupun, Indonesia merupakan sebuah negara yang besar dengan jumlah penduduk yang ramai, proses ini pasti akan memerlukan masa yang panjang.
Penambahan fasiliti juga akan mengambil masa yang lama tetapi kesedaran berkenaan amalan mistik perlulah disemai sedikit demi sedikit terutamanya di kawasan luar bandar.
Di negara kita juga pernah berlaku kes seumpama ini apabila seorang ibu mengurung anak beliau yang bernama Firdaus Dullah kerana masalah mental, di dalam bilik sebelum diselamatkan atas aduan orang ramai. Begitu juga kes Mat Jazid Yunoh, 30 tahun yang dikurung ibunya setiap waktu siang kerana anaknya yang mengalami masalah mental akan ke kedai mengambil barangan-barangan tanpa membayar.
Begitu juga kes ibu bapa bernama Yusuf Nin, 60 dan Che Nisah Hussin, 54 warga Jerantut yang mengurung anak remaja OKU mereka selepas anaknya pernah menghilangkan diri selama beberapa hari, sebelum dijumpai di dalam hutan.
Agak mudah untuk kita melihat perspektif kita yang tindakan-tindakan berbentuk kurungan atau pasung ini sebagai satu pencabulan hak kepada pesakit mental, tetapi seperti yang sudah dijelaskan, kebanyakan keluarga terpaksa mengambil tindakan demikian kerana tidak ada jalan lain.
Apa yang kita mampu buat adalah melihat kes-kes seperti ini sebagai pemerhati neutral yang tidak menyalahkan mana-mana pihak, kerana kita tidak berada di tempat mereka.
Susah payah menjaga anak OKU ini, hanya ibu bapa mereka saja yang rasa.