Burung sering menganggap kenderaan manusia sebagai tempat yang paling ideal untuk membuang najis. Mungkin ramai antara kita yang pernah mengalami masalah seperti ini apabila meletakkan kenderaan di bawah pokok.

Lebih teruk lagi, jika kita parkir di bawah pokok besar ketika waktu senja di mana burung mula berkumpul sebelum pulang ke sarang. Kereta anda boleh kelihatan seperti dibom dengan bintik-bintik hitam putih meliputi seluruh kenderaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dikatakan bahawa kereta berwarna merah lebih cenderung untuk menjadi mangsa jatuhan tahi burung. Mungkin disebabkan warnanya yang lebih menarik perhatian. 

Bagi sesetengah pemilik kenderaan, mereka sanggup manghabiskan masa dengan membasuh dan menggilap kereta kesayangan mereka agar kelihatan berkilat dan bersih. Najis burung adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Lebih lucu lagi, ada mitos mengatakan bahawa jika seseorang itu terkena najis burung, itu menandakan dia akan mendapat nasib yang baik atau bertuah.

Bolehkah ia merosakkan kereta anda?

najis burung pada kereta

Tidak kiralah jenama atau model kereta anda, percikan kotoran putih yang jatuh ke atas bumbung dan bonet bukan sahaja mencemarkan pemandangan tetapi juga boleh merosakkan cat kereta anda.

Najis burung adalah campuran tinja dan air kencingnya. Burung membuang sisa najis ini melalui organ yang dikenali sebagai cloaca iaitu satu-satunya saluran pencernaan, pembiakan dan kencing kebanyakan haiwan vertebrata.

Campuran air kencing dan najis burung ini mengandungi Asid Urik yang mempunyai keasidan tinggi pada kadar pH antara 3 hingga 4.5.

Tahap pH adalah ukuran bagi ion hidrogen dan hidroksida dalam larutan. Apabila hidrogen dan hidroksida seimbang pada tahap sama, anda akan mendapat H20. Cecair seperti air biasa mempunyai tahap pH 7. Apabila ion hidrogen melebihi hidoksida maka terhasilah ion asid.

Ini bermakna apabila najis itu jatuh di permukaan kereta anda, ia secara perlahan akan mula membakar varnis (clear coat), wax dan cat sehingga meninggalkan kawah senipis sehelai kertas. Apabila kawah semakin dalam menembusi lapisan pelindung cat, ia akan mula merosakkan cat.

burung berak

Pada dasarnya, najis burung menjadi bahan penghakis kepada cat kereta anda. Lebih teruk, cuaca panas akan mempercepatkan lagi proses kerosakan itu. Ini kerana sinaran matahari akan menyebabkan cat berkembang dan menjadikannya lebih terdedah kepada najis berasid tinggi itu.

Semakin lama najis burung dibiarkan pada cat kereta anda, semakin banyak kerosakan. Dalam sesetengah keadaan, najis burung boleh meninggalkan kesan hanya dalam beberapa minit.

Cara membersihkan najis burung

Sebelum mengetahui cara untuk menghilangkan najis burung, anda mesti mengetahui jenis najis terlebih dahulu. Terdapat dua jenis najis burung yang biasa ditemui.

Pertama, najis yang kelihatan pudar dan mudah dicuci. Anda boleh mencuci menggunakan kain dengan memberi sedikit tekanan pada permukaan yang terjejas.

cuci tahi burung

Kedua, najis yang berkedut/merekah dan agak sukar dibersihkan. Elakkan memberi tekanan yang kuat kerana najis ini boleh memberi kesan pada cat.

Terdapat beberapa lagi kaedah lain untuk mencuci najis burung seperti:

  • Cuci awal - Jangan tunggu sehingga najis mengeras terlalu lama.
  • Kain basah - Basahkan kain dan siram najis terlebih dahulu sebelum membersihkannya. 
  • Soda - Gunakan air soda kosong (bukan minuman birkabonat) atau serbuk soda (dicampur air sabun) untuk memecahkan asid najis burung.
  • Bahan pencuci - Gunakan bahan pencuci yang mesra cat.
  • Kain khas - Gunakan kain khas yang mesra cat kereta seperti kain microfiber.
  • WD-40 - Sebilangan orang menyarankan semburan ini berkesan tetapi ia juga mampu merosakkan cat dalam jangka panjang. Gunakan pilihan lain terlebih dahulu.

Jika najis terkena pada cermin hadapan, jangan gunakan wiper kerana ia akan menyebarkan kotoran dalam najis yang mampu mencalarkan kaca anda.

najis burung extreme

Cara yang lebih baik adalah mengelak terus daripada kenderaan anda dihujani najis burung. Anda boleh menangani masalah ini dengan meletakkan kenderaan anda di kawasan berbumbung atau menutup kenderaan anda menggunakan sarung kenderaan khas.

Rujukan:

1. Kesan taik burung pada kereta

2. Cara membersihkan tahi burung

3. Adakah najis burung bahaya kepada kenderaan anda




Hakcipta iluminasi.com (2017)