Oleh pada 14 Jul 2018 kategori

Bila kita sebut tentang sejarah sukan bola sepak, pasti kita akan terbayang negara England atau mana-mana negara Britain yang dikatakan pengasas sukan bola sepak. Pandangan ini sangat popular sehinggakan ada ramai pihak mengaitkan England sebagai 'tempat asal bola sepak.'

Harus diakui negara-negara Britain menjadi pihak yang mempopularkan sukan bola sepak moden, tetapi menurut rekod sejarah negara yang mencipta sukan bola sepak bukanlah mana-mana negara barat, tetapi negara China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Negara England memang memegang rekod dalam sejarah dunia berkaitan bola sepak. Kelab tertua di dunia, Sheffield FC berasal dari sana. Peraturan mengenai perlawanan bola sepak professional dilakukan di England. Sistem kad merah dan kuning menghukum pemain juga dicipta oleh warganegara Britain.

Namun catatan sejarah mendapati negara China sudah pun bermain permainan ini sejak tahun 206BC lagi.

Cuju - nenek moyang bola sepak

maharaja china main cuju

Bola sepak di China ketika itu digelarkan 'cuju', cara sebutannya pula 'su-chu,' perkataan yang sama digunakan masyarakat mereka merujuk kepada bola sepak. Walaupun sudah dimulakan lebih awal, hanya semasa zaman Dinasti Song pada tahun 960 hingga tahun 1279 cuju menjadi sangat popular.

Cuju dikatakan berasal daripada sejenis bentuk latihan yang diamalkan oleh askar-askar China yang kemudiannya ditiru masyarakat mereka sebagai satu bentuk permainan oleh golongan bangsawan, sebelum sampai kepada keseluruhan masyarakat mereka.

Semasa zaman Dinasti Song, berikutan peningkatan taraf hidup yang baik, sukan cuju mula dimainkan oleh segenap lapisan masyarakat dengan pertandingan di antara pasukan mula diwujudkan. Pada ketika ini, pemain-pemain berstatus professional sudah mula ada. Ada pemain yang dilantik wakil rasmi pemain Istana Maharaja dan ada juga pemain yang menyara diri dengan bermain cuju.

Dalam buku 'Dongjing Meng Hua Lu' atau 'The Eastern Capital: A Dream of Splendor' karya Meng Yuanlao yang diterbitkan pada tahun 1126, Meng menceritakan berkenaan cuju yang menjadi permainan masyarakat setempat di Kaifeng, dimainkan dengan format berbeza.

Format bola sepak masyarakat China zaman dahulu

maharaja tengok sida istana main cuju

Berbeza dengan sekarang, format bola sepak terawal China mempunyai beberapa iterasi namun kebiasaannya tergolong kepada dua, dengan satu mempunyai gol untuk jaringan dilakukan dan satu lagi dimainkan tanpa gol. Ini berdasar kepada buku peraturan yang dikarang oleh penulis Wang Yuncheng pada zaman Dinasti Song.

Sebuah tiang setinggi 10 meter didirikan dihiasi dengan perhiasan seperti tali dan kain berwarna-warni dengan lubang lebih kurang satu kaki lebar ditebuk di tiang itu. Pemain yang mewakili dua pasukan berbeza akan berebut-rebut cuba memasukkan bola ke dalam tiang tersebut tanpa menggunakan badan, dengan kebanyakan anggota badan lain dibenarkan penggunaannya.

Bola yang digunakan berubah-ubah menjadi lebih baik. Pada mulanya mereka menggunakan bola yang diperbuat daripada kulit dan diisi dengan bulu haiwan yang kemudiannya ditambah baik dengan bola kulit yang diisikan dengan angin.

Bagi masyarakat China ketika itu, apa yang lebih penting bukanlah kemenangan. Cuju dilihat sebagai satu pertandingan yang menjalinkan pemuafakatan antara masyarakat mereka selain membantu menyihatkan badan.

Oleh sebab itulah pada ketika itu wanita-wanita China turut sama melibatkan diri dalam sukan tersebut, dengan dayang-dayang istana dikatakan gemar bermain cuju dalam satu sajak lama bertajuk 'Palace Poem' dan kemahiran mereka boleh dikatakan tidak ada bezanya dengan pemain-pemain lelaki.

Kejatuhan cuju daripada menjadi permainan masyarakat China

kanak kanak china main cuju bola sepak

Cuju mengalami kejatuhan populariti pada zaman Dinasti Ming pada tahun 1368 sehinggalah tahun 1644. Kewujudan rumah-rumah pelacuran yang menjadikan cuju sebagai daya penarik pelanggan menyebabkan sukan cuju mula sinonim dengan aktiviti maksiat.

Ini menyebabkan pegawai-pegawai kerajaan mula kerap mengunjungi rumah pelacuran bukan sahaja untuk kegiatan kurang bermoral, bahkan bermain cuju bersama-sama. Kegemaran baru masyarakat China ini terlalu berleluasa, sehingga menganggu urusan pentadbiran kerajaan China. Maharaja Dinasti Ming ketika itu, Maharaja Zhu Yuanzhang terpaksa mengenakan larangan kepada sukan tersebut, menyebabkan popularitinya semakin lama semakin menurun.

wanita main bola sepak

Sistem masyarakat China ketika itu juga dikatakan terlalu mementingkan kemewahan dan kebendaan, turut sama menyebabkan tidak ramai lagi individu-individu yang mahu menjadikan cuju sebagai sukan harian atau sumber mata pencarian. Kesan daripada perubahan-perubahan ini menyebabkan sukan cuju yang mempunyai warisan hampir 2,000 tahun mula diabaikan di China.

Walaupun begitu, tradisi sukan cuju terus hidup di kalangan masyarakat Jepun yang turut sama mempopularkan sejenis sukan yang dinamakan 'kemari' sejak tahun 644. Menurut catatan sejarah, 'kemari' berasal daripada pengenalan cuju di Jepun satu masa dahulu.

Walaupun cuju mengalami kejatuhan di China, kemari terus dimainkan sehingga ke hari ini oleh masyarakat Jepun. Cuju lebih bersifat kompetitif sementara kemari pula tidak ada peraturan yang menentukan kemenangan atau kekalahan.

Setiap tahun, masyarakat Jepun akan bermain kemari semasa sambutan tahun baru dan juga festival kemari di Nara, bagi mengekalkan tradisi yang beribu tahun lamanya.

Rujukan: 2000 Years history of ancient soccer




Hakcipta iluminasi.com (2017)