Oleh pada 28 Feb 2021 kategori

Kefahaman kita berkenaan aliran mazhab seringkali menimbulkan perbalahan di kalangan ahli masyarakat, apatah lagi apabila berkait dengan isu-isu yang menimbulkan kontroversi.

Pelbagai dakwaan yang sebenarnya timbul akibat kekeliruan kita terhadap 'pilihan' aliran mazhab membuatkan ada pihak tertentu seringkali dicemuh dan ada negeri yang didakwa cuba membawa aliran berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Satu negeri yang sering dijadikan mangsa apabila berkait dalam isu aliran mazhab masyarakat Muslim adalah negeri Perlis. Ini semua berlaku kerana di antara kesemua negeri di Malaysia, Perlis memang memegang ideologi mazhab yang berbeza!

Perlis tolak mazhab?

perlis negeri tidak gunapakai mazhab syafie

Dalam isu mazhab, kita semua tahu dalam ajaran Ahli Sunnah mempunyai empat aliran besar yang dikenali sebagai Mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali.

Malaysia menjadi antara negara yang berpegang kepada aliran Mazhab Shafie dalam menyatukan urusan masyarakat kita walaupun tidak dinafikan ada perkara-perkara tertentu, kita juga turut mengambil kira pandangan mazhab berbeza.

Namun berbeza dengan kesemua negeri di Malaysia, Perlis dalam perlembagaan negeri mereka Undang_Undang Tubuh Perlis telah menyatakan dalam Bahagian II Artikel 5 (PDF)yang menyentuh berkenaan agama rasmi negeri, dinyatakan sebagai Islam dengan aliran Ahli Sunnah Waljama'ah tanpa ada kekangan kepada satu mazhab.

Sekiranya kita membandingkannya dengan undang-undang negeri Kedah misalnya, Kedah secara eksplisit atau terang menyandarkan Hukum Syarak negeri (PDF) itu kepada Mazhab Syafie sebagai keutamaan.

Jawatankuasa Fatwa negeri Kedah yang diberikan kuasa mewartakan fatwa perlulah bersandar kepada qaul muktamad Mazhab Syafie yang didasari Al-Quran, Hadis, Ijma dan Qiyas. Seandainya berlaku situasi di mana wujud keperluan untuk merujuk kepada 3 lagi aliran mazhab bukan Syafie, rujukan itu boleh dibenarkan berlaku dengan mendapat perkenana DYMM Sultan Kedah.

Dalam erti kata lain, apa yang diamalkan di Kedah majoritinya diamalkan oleh negeri-negeri di Malaysia. Perlis pula adalah satu-satunya negeri yang sejak awal tidak mengikat masyarakat mereka kepada satu aliran mazhab semata-mata.

Sejak bila Perlis berbeza?

Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis diperkenalkan melalui 3 peringkat. Yang pertama berlaku melalui pengenalan peringkat pertama pada 1 Februari 1948 dan peringkat kedua pada 30 Disember 1950.

Kedua-duanya kemudian dimansuh dan digantikan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri yang digunapakai sehingga ke hari ini, diwartakan pada 1 Mac 1959.

Walaupun demikian pengkaji sejarah Perlis menyimpulkan bahawa perbezaan yang wujud di Perlis dalam perihal berkaitan mazhab, sebenarnya telah pun bermula beberapa dekad sebelum itu akibat pengaruh beberapa orang ulama' terkenal.

Bermulanya pembaharuan aliran

buku tokoh ulama perlis terkenal

Ada dua sejarah yang seringkali dikatakan menjadi punca kenapa Perlis unik pegangannya, berbanding negeri-negeri lain.

Sejarah pertama yang lebih popular serta meninggalkan kesan besar adalah pengaruh tiga orang ulama' gerakan Islah atau 'Kaum Muda' yang dikenali sebagai 'Tiga Mat'; Haji Ahmad bin Muhammad seorang hakim besar negeri Perlis yang dikritik beraliran Wahhabi, Wan Ahmad bin Wan Daud seorang tokoh besar dalam pentadbiran negeri dan Syeikh Ahmad bin Hashim.

Peranan ulama' 'Tiga Mat' ini membuka jalan kepada seorang bekas penuntut Universiti al-Azhar bernama Syeikh Abu Bakar al-Ashaari (PDF), yang dipengaruhi gerakan Islah di Mesir dari segi fahamannya membuka laluan untuk Syeikh Abu Bakar mula mengajar di Perlis sebelum dilantik sebagai Imam Besar Negeri Perlis pada lewat dekad 1940-an.

Ketika inilah reformasi besar-besaran kepada amalan-amalan masyarakat Melayu Perlis dalam menjalankan ibadah mula berlaku dengan lebih pesat, disebabkan oleh pegangan Syeikh Abu Bakar. Larangan menggunakan pukulan beduk bagi menandakan tibanya waktu solat menjadi antara langkah terawal diperkenalkan beliau.

Bagaimanapun ada seorang lagi individu telah hadir lebih awal di Perlis namun berdepan kekangan lebih hebat, kira-kira satu dekad sebelum itu.

Kehadiran ulama dituduh Wahhabi ke Perlis

perlis gerakan islah orang muda

Dalam satu lagi sejarah lebih awal, seorang ulama' bernama Syeikh Hassan bin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Hassan Surabaya, hadir ke Perlis dipercayai sebelum tahun 1916 bagi menyebarkan ilmu agama.

Syeikh Hassan turut didakwa salah seorang pengikut setia aliran pengasas Wahhabi, mengakibatkan pemikiran dan ideologi yang cuba dibawakan oleh Syeikh Hassan berbeza dengan majoriti penduduk tempatan ketika itu. Dia tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, hanya berpandukan kepada ajaran sunnah serta al-Quran. 

Asas ilmu yang dibawa Syeikh Hassan menegah banyak perkara yang menjadi amalan masyarakat Melayu terutamanya di Perlis ketika itu seperti kenduri arwah, talkin, mengubah niat solat dan banyak lagi perubahan. 

Menurut pandangan beliau, kaedah pendidikan agama yang telah diterapkan masyarakat Melayu ketika itu gagal kerana hanya melahirkan murid yang takut akan gurunya, tidak mampu berfikir secara kendiri.

Syeikh Hassan juga dikatakan sering menyampaikan pandangan yang menyindir guru-guru agama yang berpegang kepada aliran mazhab sehinggakan Kadi Besar Perlis sendiri terpaksa menggunakan pengaruh politik, untuk mengusir beliau keluar dari negeri itu.

Syeikh Hassan lari ke Pulau Pinang sebelum kembali ke Perlis pada tahun 1928, bersama kumpulan anak muridnya.

Ekoran daripada hubungan antara Syeikh Hassan sebagai guru kepada salah seorang tokoh 'Tiga Mat' iaitu Wan Ahmad Wan Daud, ajaran beliau mula mendapat tempat dalam masyarakat Perlis disebabkan hubungan Wan Ahmad dengan Raja Perlis, Raja Syed Alwi. 

Banyak pihak mendakwa Syeikh Hassan merupakan individu terawal yang memperkenalkan pemikiran tidak terikat kepada mana-mana mazhab secara mutlak di negeri tersebut. 

Pengaruh dan sumbangan besar beliau seterusnya digalas tokoh-tokoh bergelar 'Tiga Mat' serta anak-anak muridnya yang lebih berorientasikan tokoh tempatan, dibantu kedudukan dan hubungan dalam politik dan pentadbiran kerajaan serta keakraban dengan Raja Perlis sendiri, sehingga berjaya mempengaruhi pandangan Perlis dalam isu aliran mazhab.

Kebanyakan pengkaji sejarah negeri Perlis bersetuju faktor yang dimainkan oleh dua sejarah inilah didorong usaha cuba membawa pembaharuan kepada amalan dan pegangan masyarakat Melayu dalam selok belok agama Islam - menjadi batu asas kepada keunikan Perlis yang terus diperkatakan sehingga sekarang.

Apa sebenarnya pegangan Perlis?

masjid orang melayu islam

Sekiranya anda lakukan kata carian, anda akan mendapati banyak pihak mempermainkan negeri Perlis sebagai 'Perlis Darul Wahhabi' atau "Mufti Perlis Wahhabi", seolah-olah label itu sudah jadi satu perkara yang sukar ditangkis kebenarannya.

Ini bukanlah artikel untuk menjawab soalan atau tuduhan itu.

Kami tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk menulis tentang perdebatan antara Wahhabi dan Ahli Sunnah Waljama'ah, tetapi kami menulis kepada anda untuk menjelaskan bahawa di antara kesemua negeri di Malaysia - Perlis unik disebabkan sejarahnya yang telah kami sampaikan di atas.

Gerakan Islah yang didokongi oleh orang muda di Perlis berjaya memecah dinding yang telah kukuh dibina ulama-ulama Islam bersifat konvensional dan tradisional, masih kukuh berpegang kepada aliran mazhab Syafie seterusnya mengubah banyak tradisi masyarakat mereka yang terus diamalkan di kebanyakan negeri lain.

Keunikan Perlis seringkali disalah anggap menyebabkan bermacam label negatif dilemparkan, sedangkan Perlis sudah pun mempunyai tradisi yang agak berbeza dalam isu mazhab sejak dahulu lagi.

Apa yang malang, tuduhan bernada negatif ini dalam zaman media sosial bukan saja ditujukan kepada Mufti Perlis, malahan ada masanya memalitkan keseluruhan negeri Perlis baik dari kalangan pemimpin sehinggalah rakyat biasa dikecam sebagai pengikut ajaran Wahhabi yang bersifat ekstrim pegangannya.

Adakah Perlis negeri Wahhabi? Kami tidak berani membincangkannya kerana kami tidak tahu. Mungkin anda lebih tahu?

Apa yang kami tahu - dalam titah tahun 2018 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail terpaksa memperjelaskan tentang dakwaan ini secara terbuka.

Baginda memohon orang ramai agar sedar Perlis mempunyai pandangan yang berbeza; mengamalkan penggunaan keempat-empat aliran mazhab secara tidak terikat, bukanlah mengamalkan aliran Wahhabi seperti yang diperkatakan.

Bagaimanapun dalam titahnya, Baginda tidak menafikan memang ada gerakan ulama' dan imam di Perlis yang aktif mengamalkan ibadah solat yang agak berbeza berbanding kaedah yang diamalkan aliran Ahli Sunnah Waljama'ah dan berharap amalan itu dihentikan. 

Rujukan 

Syeikh Hassan Surabaya (PDF)

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 2 - 1990 (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)