Oleh pada 20 Apr 2019 kategori

Ramai ahli fizik seakan-akan mengalami serangan jantung ketika mereka mendapat berita dari Geneva, Switzerland bahawa teori relativiti yang dihasilkan oleh Albert Einstein kemungkinan salah.

Satu eksperimen telah dilakukan di CERN membuatkan komuniti fizik secara tiba-tiba menjadi huru-hara disebabkan oleh berita mengejutkan ini.

Menurut, ahli fizik teori Amerika Syarikat, Michio Kaku, semua ahli fizik yang dikenali beliau memberikan perhatian dalam topik hangat ini kerana relativiti adalah asas fizik moden bersama-sama dengan teori kuantum.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang mereka dapati adalah jika anda mengambil pancaran neutrino dari pelancar atom di Geneva Switzerland, menembak pancaran tersebut melalui gunung dari Switzerland ke Itali dalam jarak 730 kilometer, neutrino tersebut akan mengatasi pancaran cahaya dengan jarak 60 kaki atau 18.2 meter.

Perbezaan 18.2 meter daripada jumlah keseluruhan jarak 730 kilometer mungkin kelihatan sangat kecil, tetapi bagi ahli fizik ia merupakan satu bencana besar.

Ia bermakna asas fizik moden boleh dan perlu dipertikaikan.

Pertama, ia bermakna perjalanan masa boleh menjadi perkara biasa kerana ketika anda mendekati kelajuan cahaya, waktu akan menjadi perlahan dan jika anda melampaui kepantasan cahaya, waktu akan berputar ke belakang. 

cern supercollider

Jika anda pernah menonton Superman 1, ketika Lois Lane mati dan Superman pergi ke angkasa lepas, lalu dia terbang mengelilingi Bumi dengan arah yang bertentangan.

Apa yang berlaku kemudian adalah Bumi berhenti berputar, dan kemudian berputar pada arah yang bertentangan. Dan secara tiba-tiba, Lois Lane hidup semula.

Situasi seperti ini adalah tidak mustahil untuk berlaku jika kelajuan cahaya tidak begitu istimewa sehinggakan zarah mampu mengatasi kelajuan cahaya.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menyusun semula semua perkara di dunia.

Antaranya adalah perkara penting seperti umur alam semesta, umur bintang, jarak ke bintang-bintang, struktur asas elektronik moden harus diubah, GPS dan senjata nuklear.

Semua ini perlu difikirkan dan disusun semula jika teori relativiti Einstein adalah salah.

Jadi apa penyelesaian kepada masalah ini? Penyelesaian kepada masalah ini adalah sangat jelas bahawa berlaku kesilapan dalam eksperimen yang dilakukan.

Menurut Michio Kaku, beliau masih mengingati ketika mana beliau menutut di Universiti Harvard, di bawah penasihat iaitu Profesor Robert Pound.

michio kaku

(Michio Kaku)

Profesor Robert Pound menjalankan eksperimen yang dikenali sebagai Eksperimen Pound-Rebka di mana mereka menembak pancaran cahaya dari atas Dewan Jefferson ke bawah dewan tersebut.

Ketika itu juga terdapat satu kumpulan lawan yang melakukan eksperimen yang sama, dan di samping itu mereka harus mengira kelajuan cahaya.

Apa yang didapati oleh kumpulan lawan ini adalah kelajuan cahaya meningkat di pagi hari, memuncak di tengah hari dan mula perlahan apabila menghampiri waktu malam lalu sampai ke kelajuan minimum di tengah malam.

Penemuan ini sangat mengejutkan, di mana kelajuan cahaya yang "mentadbir" seluruh alam secara tiba-tiba berubah-ubah pada waktu siang dan malam.

Jadi apa sebenarnya yang berlaku? Masalahnya adalah ekperimen oleh kumpulan lawan ini dilakukan di kawasan luar dan peranti pengesan yang digunakan bergantung kepada suhu.

Maka sudah tentulah cuaca akan lebih panas di siang hari dan sejuk di malam hari. Manakala, eksperimen oleh Profesor Pound dijalankan di dalam bangunan, oleh itu tidak mempunyai perbezaan seperti itu.

Pengajaran yang boleh dipelajari di sini adalah kesilapan sistematik mampu merayap masuk dan berlaku dalam pengiraan yang sangat halus.

Sesetengah orang beranggapan bahawa mereka mengetahui sumber kesilapan itu. Bagaimana kita tahu jarak dari Switzerland ke Itali jarak adalah 730 kilometer? Kita gunakan GPS kan?

Tetapi GPS adalah sistem relativistik, di mana ia menggunakan relativiti dan sesetengah ahli fizik telah mendakwa bahawa mereka tersalah ukur jarak dari sensor ke satelit dan satelit kembali ke Itali ketika melakukan eksperimen ini.

awan magellanic

Terdapat satu lagi eksperimen yang mampu membuktikan bahawa berlakunya kesilapan dalam eksperimen yang dilakukan di Geneva tersebut.

Pada tahun 1987, cahaya dari supernova gergasi di Awan Magellan menghentam Bumi dan dalam masa yang sama, neutrino dikesan dalam pengesan neutrino gergasi di Jepun.

Jadi di sini berlakunya dua kejadian yang sangat besar secara serentak, iaitu cahaya dari supernova dari kawasan berdekatan galaksi Bima Sakti menghentam bumi serentak dengan neutrino dari galaksi yang terletak beribu-ribu tahun cahaya dari Bumi.

Jadi persoalannya, mengapa kita harus percaya eksperimen yang dilakukan dalam jarak 730 kilometer ini, sedangkan neutrino dan pancaran cahaya menghentam bumi secara serentak dalam jarak beribu-ribu tahun cahaya.

Itulah sebabnya banyak ahli fizik percaya bahawa mereka mesti membuat kesalahan sistematik di mana-mana dan kelemahan dalam rantaian pertimbangan ini adalah sistem GPS dan sistem GPS itu sendiri adalah sistem relativistik.

Jadi dalam kata lain, mereka menggunakan relativiti untuk mengalahkan kerelatifan dan di sini berlaku kitaran.

Rujukan:

1. Youtube

2. GCN




Hakcipta iluminasi.com (2017)