Hidup dalam era teknologi sekarang membolehkan kita duduk dalam suasana yang penuh dengan informasi dalam pelbagai peringkat.
Selain informasi berbentuk berita dan pengetahuan am, kita juga semakin terdedah dengan informasi-informasi berbentuk peribadi seperti berapa langkah kita berjalan hari ini, berapa kadar degupan jantung kita, apa perkembangan kawan-kawan kita dan bermacam lagi informasi yang kita anggap perlu kita tahu.
BESARKAN TEKS A- A+
Bercakap tentang informasi, media sosial sudah menjadi satu standard komunikasi dan informasi yang meluas diamalkan di seluruh dunia, dengan rakyat Malaysia saja menggunakan secara purata lebih 8 jam sehari menatap telefon - majoritinya dihabiskan melayari media sosial dalam pelbagai platform.
Kita dilambakkan dengan bermacam jenis informasi dan pengetahuan, ada yang berguna, ada yang tak berguna; tetapi sedar tak, semakin banyak informasi ada pada kita, semakin dungu jadinya kita? Biar penulis jelaskan.
Luang masa cari ilmu yang tidak bermanfaat
Media sosial menyajikan kita pelbagai perkara sekelip mata, yang hadir dalam pelbagai jenis media sama ada teks, audio, video dan sebagainya. Ramai di antara kita mampu menghabiskan berjam sehari melayari apa saja yang ditayang depan kita.
Tidak penulis nafikan, walaupun media sosial sering dikritik sebagai medan di mana informasi dan perkongsian tidak bermanfaat bermaharajalelala; dalam masa yang ada banyak juga perkongsian yang benar-benar mendatangkan manfaat kepada kita khususnya perkongsian-perkongsian berbentuk ilmiah.
Ramai pengguna media sosial saban hari tidak jemu berkongsikan apa yang mereka tahu dalam bentuk santai serta benar-benar layak dikategorikan sebagai ilmu bermanfaat. Kita juga dapat mengikuti perbincangan dan perdebatan pengguna media sosial yang terbuka membicarakan tentang perkara-perkara serius malahan layak dikategorikan sebagai topik akademik setiap hari.
Ini semua baik untuk perkembangan mentaliti masyarakat; jika kita lihat pada permukaannya. Bagaimanapun penulis cuba membawa perbincangan berbeza kepada anda hari ini;
Bagaimana kalau penulis katakan sebaik mana pun perkongsian berilmiah di media sosial, realitinya perkara positif, bermanfaat dan baik itu sebenarnya langsung tidak membawa faedah kepada kita?
Kita kena cari ilmu, bukan ilmu yang datang pada kita
Adat dalam belajar ini rukunnya satu; hendak belajar sesuatu, kita yang kena cari ilmu. Kita yang kena berusaha mencari guru, mencari buku, rujukan dan sebagainya. Malahan kalau nak mempelajari sesuatu dalam internet pun, rukunnya sama. Kita perlu cari sendiri.
Media sosial mempersembahkan bahan ilmiah kepada kita sebagai tayangan yang topiknya ditentukan bukan oleh kita, tetapi oleh algoritma media sosial itu sendiri berdasarkan faktor seperti kesukaan dan minat kita, apa topik yang popular pada hari itu dan mungkin juga pihak mana yang melaburkan dana bagi menaikkan populariti perkongsian mereka.
Algoritma ini jelas bertentangan dengan disiplin mencari ilmu itu sendiri, di mana ilmu itu datang kepada kita tanpa kita cari tanpa kita pinta.
Anda sedang menelaah garis masa media sosial, keluar video perkongsian ilmiah yang dibuat seorang ahli akademik terkenal dalam bidang tersebut yang jelas mahir dan fasih dalam bidang tersebut. Anda baca atau tonton. Anda buka komen. Anda mungkin berinteraksi semula dengan penulis perkongsian itu bagi memberikan pandangan anda pula. Ingat, semua ini berkait dengan topik yang ilmiah.
Tetapi pada akhirnya tanya pada diri kita sendiri; adakah ilmu yang kita pelajari secara tiba-tiba itu dan interaksi kita dengan penulisnya itu memberikan faedah kepada kita? Besar kemungkinan tidak ada, kerana pada penghujungnya ilmu bersifat ilmiah itu hadir akibat algoritma yang menghidangkannya kepada kita.
Kita mungkin rasa ada 'meningkat' tahap kepandaian dan pemikiran kita pada waktu tersebut, tetapi akhirnya selepas satu ke dua jam, ilmu yang baru kita pelajari tadi sudah jadi tidak bermakna.
Bahana ilmu pakai buang
Oleh kerana itulah penulis merasakan, majoriti perkongsian media sosial walau benar-benar membawa manfaat hanya layak dikategorikan sebagai 'ilmu pakai buang'. Kejuruteraan media sosial memang direkabentuk untuk membuatkan kita cepat rasa pandai dan berpuas hati dengan ilmu yang kita pelajari tanpa diminta ini.
Bagaimanapun berapa perkongsian ilmiah sehari yang kita 'pelajari' benar-benar memberi kesan kepada perkembangan diri kita? Lebih penting, apa keperluan untuk kita belajar benda-benda yang langsung tak terkait dengan diri kita, hidup kita dan kerjaya kita walau se-ilmiah mana sekalipun perkongsian tersebut dan sehebat mana pun kelulusan penulisnya?
Melalui media sosial, kita sebenarnya banyak membuang masa mempelajari sesuatu yang tak perlu kita pelajari. Lebih teruk, algoritma media sosial juga direka supaya mudah mengalihkan perhatian kita.
Pernah tak anda ketika melayari media sosial, melompat dari satu topik ilmiah ke satu topik ilmiah lain, bergelut dalam perbincangan dan melontarkan pandangan dalam pelbagai topik berbeza sehingga tanpa sedar dah berjam-jam lamanya masa anda dihabiskan untuk terlibat dalam aktiviti ilmu bermanfaat yang langsung tak mendatangkan manfaat kepada kita?
Penulis yakin, ramai di antara kita percaya aktiviti perkongsian ilmu bermanfaat di media sosial mampu menyemarakkan minat untuk masyarakat kita belajar tentang sesuatu - namun akhirnya apa yang berlaku, kita hanya terperangkap dalam kurungan ilmu dan perkongsian ilmiah yang ada dalam media sosial, ditentukan bukan oleh kita tetapi algoritma yang cukup tahu bagaimana nak mengekalkan kita di sana.
Kepada mereka yang mati-matian mempertahankan perkongsian ilmiah di media sosial sebagai sesuatu yang baik, cubalah anda jelaskan apa kebaikan dan manfaatnya kalau ilmu tersebut hanya hadir sepintas lalu, dibaca, dikomen dan dikritik; 15 minit kemudian yang baca terus lupa.