Zaman sekarang, teknik-teknik belajar dah jadi bermacam kaedah sehinggakan dalam negara kita sendiri sudah wujud tanggapan bahawa pembelajaran tidak lagi memerlukan guru, hanya boleh dilakukan dengan perkongsian media sosial sama ada melalui video, penulisan dan sebagainya.

Adakah tanggapan ini ada asasnya? Kami di Iluminasi sendiri kadangkala mempersoalkan keberkesanan kaedah kami, kerana satu perkara yang sangat kami takuti adalah perkongsian kami setiap hari - menjadi ilmu 'belajar buang' pada para pembaca kami.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa itu ilmu 'belajar buang'? Mengapakah penulis merasakan wujudnya kesilapan dalam penafsiran pembelajaran zaman sekarang oleh masyarakat kita? Ini lima hujah penulis sebagai penyokong pandangan penulis.

1. Tertib mencari ilmu tak lagi diikuti

adab dan tertib dalam menuntut ilmu

Kewujudan internet khasnya media sosial membolehkan perkongsian dilakukan dengan serta merta. Jika satu masa dulu hendak jadi popular atau bergelar selebriti memerlukan kerja keras bertahun lamanya namun kini - setiap orang sangat mudah untuk diangkat menjadi selebriti. Hanya dengan satu perkongsian mudah akan membolehkan seseorang diangkat sebagai 'sumber' kepada ilmu pengetahuan yang asing untuk kita.

Akibat daripada tabiat baru belajar dengan guru-guru segera ini (maaf kami guna istilah itu); kepercayaan kita terhadap bagaimana mahu menuntut atau mempelajari sesuatu juga berubah. Semakin ramai percaya kredibiliti yang kita ada hanya dengan menuntut sesuatu berdasarkan kepada video Youtube atau perkongsian media sosial semata-mata, boleh diterima dan dianggap cukup relevannya.

Sedangkan proses belajar itu mesti ada interaksinya, di antara seorang guru dengan murid-murid di mana kesilapan atau kesalahan boleh diperbetulkan secara bersemuka. Kita sudah ada 'pakar pemasang pendakap gigi' kelahiran Youtube yang perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan. Selepas ni, apa pula kemahiran yang bakal menjadi bualan kita?

2. Belajar dan lupa perkara ilmiah

ilmu ilmiah media sosial

Adakah anda sedar - majoriti perkara yang kita rasakan ilmiah di internet, khasnya melalui aplikasi Facebook, merupakan perkara yang sangat mudah untuk kita lupakan dan hanya nampak penting bila kita dikongsikan tentangnya?

Mungkin ada rakan anda berkongsikan tentang pautan kami, menceritakan tentang diskusi berkenaan topik politik dunia tetapi sejauh mana keberkesanan perkongsian itu pada anda sebenarnya? Adakah anda membaca artikel-artikel itu disebabkan topik itu relevan pada anda atau anda membaca artikel itu, kerana topik itu menarik pada anda?

Dua perkara itu berbeza, walaupun nampak serupa. Setiap hari kita memang dihidangkan dengan bermacam perkongsian ilmiah. Penulis sendiri baru saja membaca satu artikel berkenaan kelemahan Donald Trump dalam menjaga profesionalisme beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat - namun 5 minit selepas tamat membacanya, apa faedahnya pada penulis untuk menghabiskan masa membacanya?

Ilmu yang dipelajari tidak relevan dengan sesuatu yang penulis gemari sebagai topik, tetapi disebabkan tajuknya menarik dan sindirannya mengena - artikel itu dibaca tetapi pada akhirnya, nyata tidak membawa apa-apa faedah sebenarnya.

3. 'Netflix' ilmu

timeline facebook sharing

Sekiranya anda seorang pelanggan televisyen berbayar seperti Netflix, Astro atau iFlix, pasti ada masanya anda hanya menghabiskan masa menelaah satu per satu rancangan atau filem yang ada tanpa mampu memutuskan apa mahu anda tengok. Itulah juga yang berlaku dengan perkongsian perkara ilmiah dalam media sosial di mana kita dihidangkan dengan terlalu banyak perkara, sehinggakan kita tidak lagi benar-benar menemui sesuatu yang kita suka.

Setiap antara kita pasti ada filem yang benar-benar kita gemari dan boleh kita tonton berulang kali tanpa jemu. Sama seperti perkongsian media sosial, bahan-bahan ilmiah yang kita gemari juga selalunya setiap hari akan datang daripada satu atau dua sumber yang serupa - dengan selebihnya cuba menarik perhatian kita dan gagal, namun tetap berjaya menghabiskan masa kita menelaah satu per satu.

Apabila wujudnya terlalu banyak pilihan dalam perkongsian bahan ilmiah - mudah dialihkan perhatian kita daripada satu isu ke isu lain, sehingga kita sendiri tidak mampu fokus dengan sesuatu topik atau isu yang benar membawakan manfaat pada kita.

4. Bukan pengetahuan yang penting pada anda

fear lack of knowledge

Yang lebih penting dan harus kita sedari - perkongsian di media sosial sebenarnya tak bermanfaat pun pada kita walaupun ramai mengakui perkongsian itu mempunyai manfaat. Mungkin manfaat itu ada untuk seketika, tetapi tak semua perkongsian akan berkait dengan anda.

Anda boleh habiskan masa berjam-jam menonton video tentang idea-idea gempak dalam melakukan dekorasi rumah atau idea masakan yang unik, dikongsikan 'selebriti-selebriti internet' yang anda kenali tetapi adakah proses pembelajaran itu benar-benar membawa kepada aplikasi dalam dunia nyata?

Kebiasaannya tidak. Ini kerana banyak perkongsian sebenarnya perkara yang tak penting pun pada kita, tetapi kerana penyampaiannya menarik - ia mampu membuatkan kita rasa kita nak cuba. Berapa orang benar-benar cuba buat sesuatu yang dia pelajari dari internet, angkat tangan?

5. Kita tak kejar ilmu yang dikongsikan

panduan belajar di media sosial

Satu perkara tentang adab dalam menuntut ilmu ini, memerlukan pelajarnya tahu apa yang dikehendakinya. Sekiranya kita mahu belajar menjahit, kita akan ke kelas menjahit. Seandainya kita nak belajar memasak, kita ke kelas memasak. Faham kan?

Namun perkongsian di internet ini selalunya berlaku secara santai dan spontan. Tak semena-mena boleh berlaku. Kita sedang sibuk melakukan perkara lain, keluar artikel terbaru Iluminasi menceritakan tentang topik-topik ilmiah yang kita rasa menarik jadi kita bacalah. Seronok memang seronok membaca, namun pada penghujungnya pembacaan kita itu bukan sesuatu yang kita cari.

Bayangkan anda ke perpustakaan nak mencari rujukan untuk sesuatu. Anda tahu buku apa yang perlu anda dapatkan, anda dah tahu di mana letaknya buku-buku itu jadi sampai di perpustakaan anda terus ambil buku itu. Tetapi di rak majalah, ada pula majalah baru terbitan bulan tersebut yang belum sempat anda telaah.

Anda tolak buku rujukan anda ke tepi dan mula membaca majalah dengan tekun, lebih tekun berbanding anda membaca buku rujukan. Pada kami, itulah ibaratnya perkongsian di internet ni. Kita seronok baca, tetapi sesuatu ilmu itu hanya akan berguna kalau kita yang cari dia, bukan ilmu itu datang cari kita.

Persoalannya - bagaimana nak ubah budaya ini? Kita perlu berhenti bergantung dengan media sosial untuk menyediakan bahan bacaan untuk kita. Jika anda suka artikel Iluminasi? Terus ke laman kami dan jangan tunggu Facebook yang kongsikan pautan artikel kami kepada anda, setiap hari sebagai contoh.




Hakcipta iluminasi.com (2017)