Malaysia merupakan negara yang mempunyai jumlah pengguna Facebook yang agak tinggi berbanding dengan jumlah populasi, dengan anggaran 12.75 juta orang daripada populasi 33 juta rakyat Malaysia merupakan pengguna Facebook.
Abaikan kemungkinan wujudnya pertindihan akaun-akaun palsu atau satu individu yang mempunyai beberapa akaun, kerana agak sukar untuk kita dapat mengenalpasti sekiranya perkara itu berlaku untuk dimasukkan ke dalam kiraan statistik.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa yang jelas - Facebook memainkan peranan yang cukup besar dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
KITA KASI VIRAL!
Seolah sudah jadi satu amalan biasa rakyat Malaysia meluahkan perasaan tidak puas hati dengan melapor terus kepada akaun Facebook rasmi badan penguatkuasa. Facebook juga seperti sudah menjadi medan menyebarkan maklumat paling mudah serta paling pantas dalam menyampaikan sesuatu pengumuman. Malahan, kempen politik di negara kita juga banyak berlaku dalam media sosial, khasnya Facebook sehingga mampu memberikan kesan kepada keputusan pilihan raya.
Facebook dilihat satu alat penting dalam masyarakat Malaysia, sehinggakan kita sendiri akan memberikan reaksi pelik sekiranya ada individu tidak ada akaun Facebook dan harus diakui, ramai kalangan peniaga dalam talian yang bergantung kepada Facebook sebagai salah satu strategi pemasaran.
Jadi mengapakah, pencipta-pencipta Facebook sendiri dilihat ada yang berusaha untuk 'membunuh' Facebook? Mari kita baca pandangan mereka yang terlibat dalam penciptaan Facebook itu sendiri.
MY CHILDREN AREN'T ALLOWED TO USE THAT SH*T
Chamath Palihapitiya adalah bekas timbalan presiden dalam bidang penambahan pengguna Facebook. Semasa dalam satu syarahan di Stanford Graduate School of Business pada bulan November tahun 2017, Chamath memberitahu media sosial merupakan sesuatu yang akan merosakkan pemikiran manusia, tanpa pengguna menyedari perkara itu berlaku.
"Kami telah mencipta satu alat (Facebook) yang merosakkan bagaimana jaringan sosial berfungsi," kata Chamath dalam syarahannya. "Ini bukannya masalah Amerika, ini adalah masalah global."
"Terlalu banyak perkara tidak benar berlaku akibat media sosial," ujar Chamath. "Sehinggakan pelakon yang tidak berbakat pun mampu meminta ramai individu melakukan apa saja yang mereka minta." Chamath mengakui dia cuba menggunakan FB seminima mungkin dan dia tidak akan membenarkan anak-anaknya menggunakan FB.
"My children aren't allowed to use that sh*t."
FACEBOOK SASAR GOLONGAN BERMASALAH MENTAL
"Sekiranya anda melayari internet dan nampak sebarang iklan berkait dengan apa yang anda telah beli di Facebook, salahkan saya. Sayalah pencipta sistem itu," kata Antonio Garcia Martinez, pengurus produk Facebook pada tahun 2011 hingga 2013.
Menurut Antonio, FB menggunakan sistem yang bertindak dalam peringkat mikro melalui iklan-iklan yang mensasarkan golongan pengguna berdasarkan kriteria, khasnya golongan remaja ketika mereka berada dalam emosi tidak stabil, seperti rasa rendah diri, tidak berguna atau stres.
Salah satu kebolehan sistem pengiklanan Facebook adalah kemampuan meramal dan mengesan tahap 'psikometrik' seseorang pengguna, jadi FB akan menjana iklan bergantung kepada kelemahan-kelemahan pengguna ketika itu.
Laporan yang dikeluarkan berkenaan pelanggaran kod etika FB itu dinafikan oleh pihak Facebook, dengan Facebook memberitahu sistem pengiklanan yang digunakan tidak mempunyai kebolehan untuk melakukan sasaran prospek sedemikian rupa.
Bagi Antonio, itu adalah satu pembohongan besar Facebook kepada penggunanya sendiri.
PENCIPTA BUTANG 'LIKE' BENCI CIPTAANNYA SENDIRI
Menjadi salah seorang jurutera yang membangunkan fungsi butang 'like' yang menjadi kegilaan pengguna FB, Justin Rosenstein pada ketika ini benar-benar menjauhi sebarang jenis medium media sosial, termasuklah aplikasi yang sama-sama dibangunkannya sebelum ini, Facebook.
Ekoran begitu takut dengan kesan media sosial ke atas dirinya, Justin memaksa pembantu peribadinya mengawal telefon pintar miliknya dengan fungsi kawalan ibu bapa, supaya Justin tidak memuat turun mana-mana aplikasi media sosial.
Satu dekad selepas dia berjaga malam menulis program untuk satu butang yang dinamakan 'awesome button' sebelum ditukar kepada butang 'like' yang kita kenali ketika ini, Justin percaya kesan buruk media sosial lebih besar berbanding kebaikannya.
"Semua orang jadi mudah hilang fokus akibat media sosial," kata Justin. Pendapat beliau disokong oleh seorang lagi ahli kumpulan pembina butang 'like', Leah Pearlman.
Leah sendiri terpaksa menggunakan satu plug-in untuk menutup 'news feed' Facebook dan mengupah orang lain menjaga akaun Facebooknya, supaya dia tidak perlu melakukannya sendiri.
BEKAS PRESIDEN FACEBOOK MALU DENGAN ETIKA FACEBOOK
Serangan terhadap Facebook yang berlaku dalam skala lebih besar ini sebenarnya bermula selepas Sean Parker, bekas Presiden Facebook sendiri mula mengkritik Facebook secara terbuka pada hujung tahun lepas.
Dalam sebuah acara di Philadelphia, Sean menceritakan tentang era penubuhan awal Facebook. Pada awalnya menurut Sean, Facebook dibangunkan dengan satu matlamat kurang beretika - bagaimana hendak memastikan pengguna menghabiskan masa dan kesedaran mereka sebanyak mungkin dalam aplikasi ini?
Pemikiran itulah yang menjadi teras semua tambahan fungsi yang diperkenalkan ke dalam Facebook, seperti butang 'like'. serta pengenalan-pengenalan fungsi baru
"Facebook direka untuk membuatkan pengguna mahu rasa pandangan mereka mendapat validasi daripada pengguna lain. Kami dengan sengaja, dalam kesedaran kami, membina satu sistem yang menyerang kelemahan dalam psikologi manusia," ujar Sean.
Sean menyertai Facebook semasa Facebook masih lagi merupakan satu projek kolej. Pada ketika itu Facebook hanya bertujuan untuk mengumpul data-data pelajar di Harvard. Kemasukan Sean, menurut Mark Zuckerberg sendiri - mengangkat projek itu menjadi sesuatu yang mampu menjana keuntungan lebih besar sebagai sebuah syarikat dan visi untuk menjadi platform yang memenuhi ketagihan orang ramai, sedikit-sebanyak mengambil alih rancangan awal mereka.
Sean mengakui kesilapannya. "Kami sedar apa yang kami buat, tetapi kami tetap meneruskannya."
SERANGAN AKTOR JIM CARREY
Pada 6 Februari 2018, pelakon terkenal Jim Carrey secara lantang mula mengajak orang ramai, khasnya rakyat Amerika untuk menutup akaun Facebook mereka, ekoran bukti-bukti jelas yang menunjukkan Facebook telahpun membenarkan kerajaan Russia mempengaruhi pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, yang telah dimenangi Donald Trump.
Setakat ini, Facebook melaporkan mereka dapat mengenalpasti beberapa akaun pengguna yang dikaitkan dengan risikan Russia, yang menghabiskan hampir RM400 ribu dalam bentuk iklan di Facebook. Facebook juga mengakui hampir 126 juta rakyat Amerika Syarikat telahpun didedahkan dengan kandungan-kandungan daripada ejen risikan Russia ketika menggunakan Facebook, dalam tempoh 2 tahun sebelum pemilihan Presiden dilakukan.
Aktor terkenal itu mengumumkan melalui akaun Twitter beliau yang dia akan menjual semua pegangan sahamnya dalam Facebook serta menggesa orang ramai untuk 'unfriend Facebook.' Jim juga mengkritik kelemahan Facebook dalam mengawal selia perkara seperti itu daripada berlaku dan tidak hanya lepas tangan, lebih mementingkan wang pengiklanan masuk tanpa mengambil peduli sumbernya.
PENGARUH FACEBOOK ADALAH ISU GLOBAL
Selain daripada dituduh cuba campur tangan dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat melalui penciptaan laman-laman 'page' palsu dalam Facebook, ejen-ejen Russia juga dikatakan memainkan peranan menggunakan Facebook untuk mempengaruhi pengundi di United Kingdom dalam undian Brexit tempohari.
Begitulah hebatnya pengaruh Facebook kepada mereka yang benar-benar terpengaruh.
Apa yang kami boleh sarankan pada anda semua, hadkan masa menggunakan Facebook setiap hari. Berhenti kongsikan berita yang tidak kita ketahui hujung pangkal cerita dan semaklah dahulu maklumat yang kita terima.
Kami akui memang sukar untuk kita meninggalkan Facebook. Kami harapkan dengan perkongsian ini, sekurang-kurangnya anda sedar keburukan-keburukan penggunaan Facebook pada kita sebagai pengguna dan kesannya bukan saja pada kita, tetapi kepada seluruh masyarakat kita.
Mahukah anda membenarkan Facebook mengawal hidup kita? Kami pasti jawapan anda tidak mahu. Cuma, bila berada dalam kelompok masyarakat yang sudah terbiasa dengan Facebook, menjadi individu yang tidak ada akaun Facebook bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi apabila kita rasa takut andainya kita ketinggalan sesuatu yang sensasi.