Adakah anda menyedari dalam tempoh beberapa jam lalu - kerajaan Amerika Syarikat baru saja menggerakkan dua kapal perang bernama USS America dan USS Bunker Hill, ke kawasan perairan milik negara kita?

Tindakan ini dikatakan berpunca daripada pencerobohan sebuah kapal milik negara China, yang sudah beberapa hari berada berdekatan dengan sebuah kapal milik syarikat petroliam negara kita bernama West Capella yang bertanggungjawab menjalankan penggalian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berdepan dengan masalah Covid-19 yang melanda, kerajaan China didakwa tidak menghentikan aktiviti mereka di bahagian Laut China Selatan - menceroboh masuk ke kawasan-kawasan yang dimiliki negara lain selain kita, Vietnam, Indonesia dan banyak lagi. Untuk tujuan apa pencerobohan ini berlaku?

Haiyang Dizhi 8 menceroboh masuk perairan berkali-kali

haiyang dizhi 8 kapal china ceroboh malaysia

Dilaporkan pada hari Jumaat lalu, kapal milik China bernama Haiyang Dizhi 8 (Geologi Marin 8) mula memasuki perairan negara kita. Kapal China itu dilaporkan diekori oleh 10 buah kapal lain, termasuk kapal milik pasukan militia lautan China dan pasukan pengawal lautan.

Insiden itu sangat mirip dengan satu insiden pada penghujung tahun 2019, selepas kapal yang sama menceroboh masuk perairan Vietnam.

China menyifatkan kemasukan kapal milik mereka itu hanyalah untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan bagi mengkaji gerakan seismik di kawasan itu.

Dalam insiden terbaru melibatkan Malaysia, wakil kerajaan China di Beijing menyifatkan tuduhan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat bahawa China sedang melakukan tekanan bagi meluaskan wilayah mereka adalah keterlaluan. Reaksi Amerika Syarikat menghantar dua kapal perang, adalah turut dikritik China.

Beijing menuduh Amerika Syarikat sengaja mencipta isu bagi memburukkan nama mereka, serentak dengan propaganda Amerika Syarikat yang kerap kali menamakan virus penyebab Covid-19, sebagai 'virus Wuhan' dan berulang kali mahu Beijing bertanggungjawab atas penularan wabak.

Pergaduhan China dan Vietnam yang merebak

kapal peronda china ceroboh vietnam

Tidak tahu kenapa China sangat agresif dalam menunjukkan kekuatan mereka di perairan yang menjadi kawasan kontroversi dalam tempoh beberapa bulan ini.

Dalam insiden bertarikh 3 April 2020, sebuah bot nelayan milik Vietnam dilaporkan dilanggar oleh kapal peronda milik China - selepas China menuduh bot itu menceroboh sempadan negara mereka.

Jurucakap Beijing mengatakan bot nelayan Vietnam itu bertindak melanggar kapal peronda milik mereka, selepas amaran agar berpatah balik tidak diendahkan.

Bagaimanapun Vietnam tidak sependapat dengan China.

Vietnam merasakan kehadiran kapal peronda China di kawasan itu merupakan satu bentuk pelanggaran kedaulatan negara mereka - kerana kawasan itu milik negara mereka.

Dalam insiden tersebut, tidak ada nyawa terkorban.

Malaysia mendapat sokongan kerajaan Amerika Syarikat?

kapal perang amerika uss bunker hill

Selepas tentera Amerika Syarikat menggerakkan dua kapal perang milik mereka belayar di sekitar Laut China Selatan, kerajaan Amerika Syarikat mengesahkan kedudukan mereka ketika ini berada tidak jauh daripada West Capella yang masih belayar.

Jurucakap tentera Amerika Syarikat menyifatkan bantuan itu sebagai satu tanda sokongan, dalam menjaga kebebasan navigasi lautan yang mematuhi ketatapan prinsip sempadan antarabangsa yang sudah dipersetujui semua.

Haiyang Dizhi 8 mula hadir di perairan Malaysia pada 16 April 2020, dilaporkan secara rasmi melakukan kajian maritim.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Zubil Mat Som mengesahkan pencerobohan kapal milik China itu namun mengakui tidak dapat memastikan apakah tujuan sebenar kehadiran kapal itu ke sini.

Penganalisis berpendapat tindakan kerajaan Amerika Syarikat menghantar sokongan, bukanlah disebabkan oleh permintaan Malaysia - sebaliknya adalah usaha sendiri Amerika Syarikat bagi menekan kembali pengaruh China yang dilihat semakin berani melakukan provokasi demi provokasi.

Kenapa isu ini menjadi hangat?

pertembungan amerika syarikat dengan china melibatkan malaysia

Usaha kerajaan China meluaskan sempadan mereka dipercayai bermula dengan pembukaan bandar Sansha pada tahun 2012, yang didakwa menceroboh sempadan Vietnam.

Kerajaan China menukarkan kawasan tersebut menjadi sebuah pekan kecil dengan pembinaan landasan kapal terbang bukan komersial serta pelabuhan bagi membolehkan kapal berlabuh. Tindakan ini dilihat satu isyarat keras bahawa China tidak takut untuk mencabar tuntutan negara lain di kawasan tersebut.

Pada 18 April 2020, kerajaan China mengumumkan pembukaan dua buah unit pentadbiran baru yang bakal mentadbir kawasan-kawasan yang menjadi rebutan banyak negara.

bandar shansa bukti pencerobohan china

Daerah Xisha dan daerah Nansha diumumkan pembukaannya secara rasmi oleh penyelia perbandaran dari Beijing, akan diletakkan di bawah bidang kuasa Wilayah Hainan. 

Kedua-dua daerah ini merangkumi beberapa kepulauan yang ada serta kawasan perairan yang lebih luas, dengan keluasan lebih 20 juta kilometer persegi keseluruhannya dan hanya 20 km persegi kawasan daratan.

Pengumuman itu dikritik sebagai satu usaha China melukis semula garis sempadan antarabangsa sedia ada. Sehingga kini beberapa kawasan kepulauan seperti kepulauan Paracels dituntut oleh Vietnam, Taiwan dan China selain kepulauan Spratly yang menjadi rebutan lima negara : Malaysia, Filipina, Taiwan, Vietnam dan China.

Kes-kes sebegini bukanlah baru apabila melibatkan China dan usaha mereka meluaskan jajahan mereka. Nak tahu lebih lanjut latar belakang usaha China selama ini? Kami sudah melaporkan tentang isu Pulau Natuna yang menjadi titik perbalahan China dan Indonesia.

Kisah Pulau Natuna menarik, kerana mampu membuatkan kita lebih memahami ketamakan China meluaskan wilayahnya - serta mampu membuatkan kita tertanya; bagaimana ada orang Melayu sampai ke sana?




Hakcipta iluminasi.com (2017)