Dalam politik antarabangsa, konflik di antara Palestin dan Israel merupakan salah satu isu utama yang menjadi pemisah, dijadikan kayu ukur hubungan diplomatik atau kerjasama di antara negara-negara dunia.

Ini kerana isu ini jelas dapat memberikan kita gambaran awal apakah hala tuju dan pegangan sesebuah negara, apakah harapan yang dikendong dan siapakah sekutu atau lawan yang mahu dibentuk. Begitulah juga dengan kita di Asia Tenggara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun bersatu dalam gabungan ASEAN bagi menjalinkan pelbagai jenis kerjasama, perspektif negara-negara anggota ASEAN sendiri dalam melihat keabsahan Israel nyata berbeza-beza. Berikut adalah bagaimana negara jiran kita melihatnya.

1. Thailand

duta israel ke thailand

Orna Sagiv, duta Israel ke Thailand

Dalam isu diplomatik, Thailand dan Israel telah lama menjalinkan kerjasama secara rasmi sejak tahun 1954, menerusi pembukaan pejabat kedutaan Israel di Bangkok.

Dari aspek ekonomi, Thailand dan Israel merupakan rakan dagangan yang layak dikatakan penting, selepas Israel memulakan perubahan dasar sekitar dekad 1980-an untuk menggantikan tenaga kerja warga Palestin kepada kumpulan tenaga kerja berbeza; dengan Thailand menjadi antara negara penyumbang utama dalam sektor pertanian.

Bagi mengurus dengan lebih baik keperluan kerjasama ini, sebuah perjanjian dinamakan Thailand-Israel Cooperation on the Placement of Workers atau TIC dibuat, memudahkan warga Thailand dibenarkan bekerja secara minima 5 tahun dan 3 bulan tanpa bayaran visa yang terlalu tinggi.

Jika dilihat dalam aspek sokongan, majoriti warga Thailand menyokong Israel dengan hanya majoriti komuniti Muslim di bahagian selatan Thailand, sekitar 4 juta orang berpihak kepada Palestin.

Pada ketika ini, dianggarkan 14 ke 18 orang warga Thailand sedang berada dalam kawalan pejuang Hamas sebagai tebusan.

2. Filipina

hubungan israel filipina

Jika kita benar-benar mahu mengukur, Filipina adalah negara yang layak dikatakan paling awal mengiktiraf Israel berbanding negara-negara ASEAN lain. Kerjasama keduanya bermula selepas Filipina mengiktiraf kewujudan Israel pada tahun 1947 sebelum dimeteraikan melalui penubuhan kedutaan di Manila dan Tel Aviv pada tahun sama 1962.

Seperti Thailand, Filipina merupakan rakan dagangan penting Israel di mana Filipina menjadi negara pengeksport tenaga kerja, dengan anggaran ada sekitar 31,000 warga Filipina yang berdaftar bekerja di 3 bandar utama Israel, Tel Aviv, Jerusalem dan Haifa.

Selain tenaga kerja, Filipina adalah destinasi popular pelancong dari Israel, yang membolehkan kedua-dua negara mencapai beberapa bentuk kerjasama.

Ketika ini kedua-dua negara masih dalam perbincangan bagi mengaturkan jadual penerbangan secara terus di antara Manila dan Tel Aviv, yang diharap akan memudahkan urusan warga kedua-dua negara.

Jadi tidak menghairankanlah secara rasmi, Filipina menyatakan sokongan secara terbuka kepada Israel.

3. Indonesia

kibar bendera palestin

Seperti Malaysia, Indonesia juga secara rasmi tidak mengiktiraf kewujudan Israel - menjadi salah sebuah negara di Asia, selain kita, Brunei, Bangladesh, Maldives dan Pakistan yang memegang pandangan serupa.

Sama seperti kita juga, Israel tidak henti-henti menyatakan kesediaan untuk mewujudkan hubungan dua hala yang lebih baik dalam kerjasama antarabangsa dengan kita dan Indonesia.

Oleh kerana kedudukan mereka sebagai negara paling ramai masyarakat Muslim di dunia serta pengaruh mereka ke atas politik serantau, wujud perspektif yang melihat kini hanya Malaysia dan Indonesia saja dikatakan layak menjadi negara yang akan terus membawa suara sebenar rakyat Palestin, berbanding negara-negara Arab yang ketika ini tampak mahu beralih mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara.

Pandangan rasmi Indonesia tegas menyatakan semua konflik yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat berpunca daripada pencerobohan yang dilakukan rejim Israel ke atas Palestin, yang jelas pro Palestin.

4. Singapura

singapura penyokong kuat israel

Selepas lama menjalinkan hubungan rasmi secara diplomatik, kerajaan Singapura dan Israel akhirnya mengumumkan persetujuan pada bulan Mac 2022 untuk Singapura membuka sebuah kedutaan di Tel Aviv, Israel.

Persetujuan ini membuka lembaran baru selepas Israel telah mula membuka pejabat kedutaan di negara republik itu, sejak tahun 1969 lagi.

Kerjasama Singapura dengan Israel pada awalnya bermula melalui kerjasama ketenteraan, selepas Singapura merdeka bilaman kerajaan Singapura mendapat bantuan daripada angkatan tentera Israel dalam membantu menubuhkan pasukan pertahanan sendiri.

Sinambungan daripada hubungan rakan strategik itulah sehingga ke hari ini, eksport Israel ke Singapura mempunyai nilai yang cukup besar dalam peralatan ketenteraan, menjadi rakan dagang Asia kedua terbesar Israel di benua ini.

Sudah termakan budi, tidak mengejutkan kerajaan Singapura berpihak kepada Israel dalam isu peperangan di sana, menyifatkan kumpulan Hamas sebagai pengganas yang perlu dihentikan.

Perdana Menteri Singapura sendiri, Lee Hsien Loong turut sama mengirim surat peribadi rasmi kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengucapkan takziah ke atas tragedi yang melanda serta menyatakan sokongan penuh Singapura kepada negara haram tersebut.




Hakcipta iluminasi.com (2017)