Sentimen agama dan kaum sering menjadi penghalang utama di kalangan rakyat Malaysia, membolehkan kita mampu melihat isu Palestin-Israel secara  objektif.

Ini kerana sentimen kita masih didorong emosi dan mitos yang sebenarnya boleh dijawab dengan fakta sekiranya kita cuba mencari penjelasannya. Ramai di luar sana mudah terpengaruh dengan perkongsian tular tanpa sumber, satu masalah besar di kalangan ahli masyarakat kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh itu, kami cuba perjelaskan enam salah faham yang masih popular di kalangan rakyat Malaysia melibatkan isu rampasan Palestin oleh rejim zionis, agar kita lebih cakna tentang isu di sana - dalam perspektif yang berbeza.

1. Adakah McDonalds masih menyalurkan dana kepada Israel?

mcdonald malaysia israel salur dana

Setiap kali Israel membedil Palestin, akan tular gesaan agar rakyat Malaysia memboikot rangkaian restoran McDonald. Ada pepatah sering dikongsikan berbunyi : 'makan di McDonald's seolah-olah kita sendiri sumbang dana peluru untuk tentera Israel tembak warga Palestin.'

Sudah bertahun-tahun mitos ini 'segar' sedangkan jika kita rajin membaca berita, sepatutnya kita tahu seluruh perniagaan McDonald's yang ada di negara kita telahpun dibeli konglomerat perniagaan gergasi dari Arab Saudi iaitu Kumpulan Perniagaan Ali Reza, melalui anak syarikat mereka Reza Food Services Co Ltd (RFS).

Sejak tahun 1994 RFS telah menjadikan rangkaian restoran McDonalds bawah kendalian mereka di Asia Barat dan telah berjaya mencapai persetujuan untuk membeli keseluruhan rangkaian restoran di Malaysia dan Singapura pada bulan Disember tahun 2016.

Apa yang agak melucukan pada 18 Mei 2021 - McDonald's Malaysia masih perlu melakukan laporan polis setelah tular mesej Whatsapp menggerakkan usaha memboikot rangkaian restoran tersebut di kalangan rakyat Malaysia, ekoran hubungkaitnya dengan Israel.

Entah berapa banyak laporan polis telah dibuat McDonald's Malaysia dalam tempoh 1 dekad, bagi mengawal impak penularan palsu kepada perniagaan mereka?

2. Semua Yahudi sokong agenda Zionis kan?

naturei karta yahudi haredi

Satu salah faham kerap berleluasa di kalangan ahli masyarakat kita adalah berkenaan kritikan terhadap Yahudi, Israel dan Zionis yang bercampur aduk ; seringkali gagal membezakan ketiga-tiganya.

Orang Yahudi dituduh dengan bermacam dakwaan seperti jahat, busuk hati dan kejam sedangkan realitinya ketiga-tiganya berbeza; Yahudi adalah kepercayaan agama dan identiti bangsa, Zionis adalah piagam atau ideologi nasionalis/politik.

Sementara istilah Israel pula adalah nama negara haram yang telah pun ditubuhkan hasil rampasan tanah orang Palestin, diambil sempena nama gelaran Jacob (Nabi Yaakub as. dalam Islam) yang diberi gelaran itu oleh Tuhan setelah mengalahkan Tuhan dalam perlawanan gusti. 'Israil' dalam konteks ini bermakna 'dia yang bertembung dengan Tuhan dan menang.'

Wujud banyak organisasi penganut Yahudi lantang melawan apa yang cuba dilakukan oleh individu gerakan Zionis yang cuba menubuhkan sebuah negara atau kerajaan mutlak, berasaskan identiti dan kepercayaan spiritual yang dibawa oleh ajaran Yahudi.

Ideologi 'anti Zionis' ini haruslah difahami tidak terhad kepada masyarakat Islam semata-mata, sebaliknya turut dikongsi orang Yahudi yang benci dengan kemungkaran rejim Zionis walaupun mereka saudara seagama.

Kumpulan paling lantang di kalangan masyarakat penganut Yahudi yang melawan agenda Zionis adalah komuniti Yahudi Haredi, sebuah kumpulan Ortodoks yang sudah kami ulas panjang lebar dalam artikel ini. 

3. Orang Islam mestilah anti Israel kan?

muslim dalam israel defense force idf 357

Terdapat hampir 1.89 juta individu berbangsa Arab, majoritinya Muslim merangkumi 17% daripada jumlah populasi Israel dan mereka adalah komuniti minoriti terbesar di situ.

Oleh kerana asimilasi itu, terdapat keperluan untuk angkatan tentera Israel atau Israel Defense Force (IDF) membuka kemasukan kepada anggota dari komuniti Muslim Israel, menyertai perkhidmatan tentera.

Wujud kumpulan kecil anggota tentera beragama Islam yang berkhidmat untuk mempertahankan negara Israel, walaupun berbangsa Arab dan beragama Islam. Bahkan ada juga yang ditugaskan untuk melakukan sekatan ke atas warga Palestin.

Jumlah mereka syukurlah tidak ramai, dianggarkan sekitar 500 orang kesemuanya namun penyertaan individu Muslim ke dalam angkatan IDF dilaporkan semakin meningkat saban tahun ekoran prospek kerjaya yang stabil.

Walaupun begitu sentimen negatif masih kedengaran di kalangan masyarakat Muslim yang tinggal di Israel setiap kali ada individu Muslim menyatakan persetujuan untuk berkhidmat dengan IDF.

Mereka masih berpegang teguh kepada stigma anti Israel, disokong sentimen masyarakat Muslim Israel yang enggan melihat ada individu Muslim menjadi tali barut Israel yang mengerah tenaga kepada pengusiran rakyat Palestin dari bumi mereka sendiri. 

Persoalannya, berapa lama kumpulan minoriti terbesar ini mampu mempertahankan sentimen itu dalam negara kawalan Zionis, yang pasti mampu menjanjikan habuan dunia jika dibandingkan dengan hidup susah yang menimpa masyarakat Islam Palestin?

4. Tiada Yahudi menetap di Palestin?

yahudi anti zionis csl64

Sekiranya di Israel ada segelintir Muslim yang sanggup berkorban nyawa demi negara haram Israel, di bahagian Palestin wujud komuniti masyarakat Yahudi warganegara Palestin, dikategorikan sebagai 'Yahudi Palestin.'

Mereka ini adalah pewaris kepada kumpulan orang Yahudi yang telah hadir lebih awal sebelum usaha Zionis memuncak, ekoran hubungan Palestin sebagai kota suci dengan kepercayaan agama mereka.

Apa yang unik, kumpulan ini sudah beratus tahun lamanya membantah usaha sebarang usaha yang digerakkan oleh komuniti Yahudi ekstrimis, yang merancang mahu merampas Palestin - sehingga sanggup menolak tawaran perpindahan ke Israel, semasa tawaran itu dibuka rejim Zionis.

Kumpulan ini merangkumi 28%-31% daripada 2.9 juta penduduk Palestin yang ketika ini menduduki Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, berjumlah sekitar 850,000 orang kesemuanya. 

5. Orang Islam tiada suara dalam kerajaan Israel?

muslim dalam parlimen israel knesset

Sejak tahun 2015, gabungan al-Qa'imah al-Mushtarakah hasil kerjasama 4 parti politik Muslim telah berjaya menempatkan diri ke dalam Parlimen Israel atau Knesset dengan konsisten.

Walaupun terhad bidang kuasa dan suara mereka kerana hanya memegang sekitar 6 ke 15 kerusi, al-Qa'imah al-Mushtarakah masih mampu bertindak sebagai pembangkang yang efektif menyuarakan pandangan yang mengkritik insiden kekejaman kerajaan pusat Israel ke atas rakyat Palestin.

Ketika artikel ini ditulis, politik Israel masih dalam kondisi tidak stabil ekoran pelbagai dakwaan salah guna kuasa dan korupsi ke atas Benjamin Netanyahu, mengakibatkan sokongan kepadanya agak goyah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Parti Likud pimpinan Netanyahu telah empat kali melalui pilihanraya sejak bulan April tahun 2019, masih gagal mendapat majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan sendiri dalam pilihanraya keempat pada bulan Mac 2021.

Likud juga gagal mencapai persetujuan untuk membentuk kerajaan campuran, menyebabkan Knesset ketika ini masih tergantung.

Banyak pihak mendakwa siri serangan ke atas Palestin yang baru dilancarkan  sebenarnya dibuat, untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada masalah yang dihadapi Netanyahu dan kerajaan Israel ketika ini.

Dengan menyerang Palestin, Netanyahu berjaya menyatukan sentimen komuniti Yahudi Israel untuk terus di belakangnya serta berjaya melonggarkan pengaruh pemimpin komuniti Arab Israel yang bersimpati dengan Palestin.

Melalui kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2019 melibatkan warga Israel, 54% daripada responden bersetuju bahawa penyertaan lebih ramai pemimpin Arab Muslim ke dalam kerajaan Israel adalah sesuatu yang boleh menjernihkan situasi tegang seterusnya memperbaiki hubungan komuniti Yahudi dan Muslim di sana.

6. Gal Gadot bekas aggota tentera IDF?

gal gadot idf

Pelakon terkenal, cantik dan menawan Gal Gadot sering dituduh sebagai anggota tentera Israel. Benarkah dakwaan itu? Memang benar secara teknikalnya tetapi dengar penjelasan kami terlebih dahulu.

Semua warga Israel kecuali mereka yang berbangsa Arab beragama Islam dan Yahudi Haredi, diwajibkan untuk menyertai perkhidmatan tentera bersama IDF tatkala mereka mencapai usia 18 tahun. Warga lelaki perlu menjalankan perkhidmatan tentera mandatori selama 3 tahun manakala wanita pula selama 2 tahun.

Secara teknikalnya, adakah Gal Gadot bekas tentera IDF sekiranya dia diwajibkan berkhidmat dengan badan tersebut dalam tempoh mandatori selama 2 tahun, bertugas sebagai jurulatih kesihatan? Selepas tamat 2 tahun, Gadot bebas meneruskan kerjayanya.

Untuk terus memanggil Gal Gadot bekas anggota IDF, secara logiknya anda juga perlu memanggil seluruh warga Israel yang terlibat dalam program khidmat negara mandatori mereka sebagai bekas askar IDF.

Agak janggal kan?

Kami kurang faham kenapa Gal Gadot sering dikritik sebagai 'seorang yang pernah berkhidmat dengan tentera Israel'.

Realitinya, dia hanya menyertai apa yang lebih mirip dengan program khidmat negara yang diamalkan jiran kita Singapura, di mana semua warga republik itu perlu berkhidmat selama 2 tahun bersama angkatan tentera.

Wujud perbezaan yang sangat besar di antara individu yang dikerah menjalankan khidmat negara mandatori berbanding dengan individu yang sukarela menyertai angkatan tentera sesebuah negara, sebagai profesion utama.

Daripada anda mempersoalkan kredibiliti Gal Gadot ekoran latar belakangnya pernah menyertai khidmat negara selama 2 tahun, adalah lebih baik anda membincangkan satu persoalan yang lebih penting;

Adakah Gal Gadot seorang Zionis? Berdasarkan kepada twit dan perkongsian beliau berkenaan isu Palestin, penulis beranggapan ya, dia seorang Zionis.




Hakcipta iluminasi.com (2017)