Semenjak tahun 2005, sebuah pertubuhan antarabangsa bernama BDS atau Boycott, Divestment and Sanctions mula memperjuangkan sebarang bentuk sekatan ke atas apa saja yang berkait dengan negara haram Israel.

Semua itu hanya akan dihentikan selepas hak negara Palestin dikembalikan dan segala sekatan yang dikenakan ke atas warga Palestin dihapuskan. Individu-individu berpengaruh dalam industri muzik seperti vokalis kumpulan Pink Floyd, Roger Waters dan komposer legenda Brian Eno, adalah antara nama-nama besar yang bersetuju untuk memboikot semua aktiviti yang melibatkan budaya di Israel atau berkait dengan negara tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, muncul gerakan menentang agenda BDS yang dinamakan Culture for Coexistence (COC), sebuah pertubuhan yang mahu memperbanyakkan lagi hubungan dua hala dengan Israel agar kerjasama dapat dicapai.

Antara nama besar yang menyokong COC adalah penulis siri novel Harry Potter, JK Rowling. Pertubuhan itu yang berjaya mendapatkan 700 tandatangan daripada pelbagai kelompok individu berpengaruh bersetuju penyelesaian konflik di Palestin, hanya akan dapat dicapai melalui persetujuan penubuhan negara masing-masing.

Di tengah-tengah konflik ini, adalah kumpulan Radiohead.

Radiohead, Palestin dan Israel

tunjuk perasaan radiohead israel di glasgow

Pada bulan Julai tahun 2017, kumpulan terkenal Britain, Radiohead dijadualkan akan mengadakan sebuah konsert di Hayarkon Park, Tel Aviv. Krisis timbul setelah wakil pihak BDS berusaha untuk memujuk Radiohead daripada meneruskan konsert mereka dan menyertai boikot yang dilangsungkan.

Thurston Moore, vokalis kepada kumpulan klasik Sonic Youth berusaha meyakinkan Radiohead agar menghentikan konsert tersebut sebagai menghormati pengorbanan yang telah dilakukan oleh rakyat Palestin menghadapi penindasan.

Berada di tengah-tengah konflik antarabangsa, kumpulan Radiohead mengambil keputusan meneruskan konsert mereka di Tel Aviv. Langkah ini seterusnya menimbulkan konflik lebih besar. Selepas tamat konsert tersebut dan mendapat kecaman dunia, kumpulan Radiohead membuat dua kenyataan balas terhadap insiden tersebut yang mendapat liputan seluruh dunia.

Yang pertama adalah pandangan yang mereka yang tidak menyokong agenda BDS dan kenyataan kedua, berkenaan pandangan berkecuali mereka terhadap kerajaan Israel. Thom Yorke, vokalis kumpulan Radiohead berpendapat bermain di hadapan peminat mereka di Israel bukan membawa maksud mereka menyokong apa yang dilakukan oleh kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mengetahui dengan lebih dalam sejarah kumpulan Radiohead, Radiohead dan negara Israel sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat signifikan.

Bagaimana Israel menjadikan Radiohead popular

peminat di israel menunggu konsert radiohead

Selepas pelancaran album Radiohead yang pertama berjudul 'Pablo Honey' pada tahun 1992, album tersebut boleh dikatakan kurang berjaya dipasaran. Sekiranya lagu 'Creep' menjadi siulan ramai ketika ini, pada waktu pelancaran album tersebut lagu popular mereka itu sebenarnya tidak membawa impak yang diharapkan.

Kecuali di Israel.

Seorang DJ radio terkenal Israel yang bernama Yoav Kutner mula memainkan lagu 'Creep' berulang kali di udara. Sehinggakan ada ketikanya semasa waktu siaran, Yoav memainkan lagu itu tiga kali dalam satu jam.

Pada waktu tersebut, industri muzik di Britain sedang berlangsung pertarungan hebat antara kumpulan Oasis dengan kumpulan Blur. Citarasa di Israel pula berbeza. Menurut pengarah syarikat rakaman EMI Israel, Uzi Preuss - rakyat Israel pula bertelagah tentang siapa lebih hebat, Radiohead atau sebuah lagi kugiran terkenal, Suede.

Semuanya bermula dengan sambutan orang ramai terhadap lagu yang menjadi kegilaan Yoav. Uzi melihat peluang, menjemput Radiohead untuk hadir mengadakan persembahan di Israel bagi memenuhi hasrat peminat fanatik mereka di sana. Tiga persembahan di atur untuk Radiohead di Tel Aviv dengan satu kemunculan di televisyen, untuk Radiohead mempersembahkan lagu 'Creep.'

Apa menunggu Radiohead di Israel, sangat berbeza dengan sambutan yang biasa mereka dapat di negara mereka sendiri.

Merasai pengalaman selebriti di Tel Aviv

radiohead masa muda

Menjejakkan kaki di Israel, perkara pertama yang dilakukan oleh kumpulan tersebut adalah memenuhi permintaan pegawai-pegawai kastam Israel; menyanyikan lagu 'Creep' dalam bentuk a capella di lapangan terbang. Ratusan peminat sudah menunggu dan keadaan menjadi tidak terkawal sehinggakan ada peminat yang berjaya menarik rambut Thom Yorke. Kumpulan Radiohead agak kaget melihat sambutan yang mereka dapat di Israel kerana tidak menjangka mereka punya peminat di situ.

Lebih memelikkan keadaan, peminat-peminat setia Radiohead di Israel pula tidak menyangka sebuah kugiran daripada Britain akan datang ke negara mereka, hanya kerana lagu mereka meletup di Israel.

Begitupun, realiti kembali melanda Radiohead selepas berangkat balik ke Britain. Selepas dilayan seperti selebriti terkenal, di Britain mereka kembali kepada sebuah kugiran yang tidak dikenali, berbeza dengan apa yang sudah mereka rasakan di Israel.

Kehadiran mereka di Israel memulakan perubahan pada nasib Radiohead. Hasil populariti 'Creep' di Israel merebak di New Zealand, Sepanyol dan negara-negara Scandinavia. Radio-radio di Amerika mula turut sama memainkan lagu tersebut sebelum pengaruhnya berjaya meletakkan lagu tersebut pada kedudukan 34 carta Billboard.

EMI yang menjadi label Radiohead memberikan mereka peluang kedua di UK dan 'Creep' dilancarkan semula untuk kali kedua, berjaya memecah masuk kedudukan carta 10 terbaik UK pada kedudukan ke 7.

Bagi kumpulan Radiohead sendiri, mereka mengakui faktor Israel banyak membantu mereka sebelum ini namun memilih untuk mengelak daripada mengaitkan politik dunia dengan muzik mereka. Lagipun gitaris Radiohead, Jonny Greenwood telah pun berkahwin dengan seorang warga Israel. Dengan meletakkan Radiohead di antara pertelagahan Israel dan Palestin, itu semua hanya akan menyebabkan kesulitan yang tidak mencerminkan realiti sebenar hidup mereka.

Radiohead bakal diusahakan untuk hadir ke Malaysia

Dalam persembahan yang diadakan di Glasgow pada 9 Julai 2017, beberapa orang penunjuk perasaan membantah rancangan Radiohead untuk ke Israel dan mengibarkan bendera Palestin semasa persembahan Radiohead. Vokalis Radiohead, Thom Yorke menjadi agak berang semasa konsert berlangsung, lalu mengeluarkan kata-kata kesat beberapa kali.

Dia juga dikatakan menunjukkan isyarat lucah kepada mereka yang membantah konsert Radiohead di Israel di kawasan legar konsert.Berdepan dengan tunjuk perasaan serta bantahan dunia tidak menghalang Radiohead untuk ke Israel semula. Pada 19 Julai 2017, Radiohead mengadakan persembahan di Hayarkon Park, stadium yang mampu memuatkan 40 ribu orang penonton, yang sebenarnya dibina di atas penempatan asal orang Palestin.

Pada tahun 2018 - atas permintaan seorang peminat Radiohead di negara kita, ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak kepada calon PM ke 8 Malaysia, Nurul Izzah Anwar telah berjanji akan cuba membawa masuk kumpulan tersebut bagi mengadakan persembahan di Malaysia.

Namun selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020, impian itu tampak hanya bakal tinggal impian. Melainkan ada usaha lain untuk membawa mereka ke sini mula digerakkan.

Pesanan kami pada rakyat Malaysia; jangan lupa juga untuk mempelajari lagu-lagu Radiohead yang lain selain lagu 'Creep'.

Harus diingatkan, lagu tersebut sebenarnya dibenci oleh penciptanya sendiri.

Rujukan

NME The Story Of An Anti-Capitalist, Anti-Cynicism Classic

Vulture : Never Forget Radiohead’s Relationship With Israel Goes Way Back




Hakcipta iluminasi.com (2017)