Kebiasaannya bila kita dapat berita ada ahli keluarga atau rakan yang sakit, kita bingung tak tahu nak buat atau beli apa. Apatah lagi kalau pesakit itu terlantar atau lebih teruk lagi berada dalam keadaan koma. Nak duduk berapa lama? Nak bawa apa?
Apakah adab dan cara yang betul untuk menziarahi orang yang sakit? Mari kita pelajari sama-sama.
#1 Hubungi dahulu pesakit atau ahli keluarga, maklumkan anda nak datang ziarah.
BESARKAN TEKS A- A+
Ini sama macam adab nak pergi rumah orang. Maklumkanlah terlebih dahulu sebelum menziarah kerana anda tidak tahu bagaimana jadualnya di hospital ataupun adakah dia perlukan sedikit masa untuk berehat tanpa kehadiran pelawat. Jangan main terjah aje, ok?
Jika pesakit terlantar di rumah pun sama. Harap maklumkan dulu kerana pasangan atau ahli keluarga yang menjaga pesakit itu juga punya life tersendiri. Fahamilah bahawa si penjaga itu juga perlu rehat atau keluar sebentar untuk menguruskan hal peribadi.
#2 Jangan datang pada waktu-waktu yang dia nak berehat
Elakkan menziarah pada waktu makan dan waktu berehat seperti tengah hari dan malam. Memanglah anda datang seorang diri atau berdua je, tapi bukan anda je yang datang melawat. Cuba bayangkan kalau ada 10-15 kali orang datang melawat tanpa henti, bilakah masa si pesakit dan penjaga nak berehat?
#3 Padamkan telefon atau tetapkan ke silent mode
Ini sering terjadi di wad dengan penghuni yang ramai. Pesakit katil no. 1 tak ada pelawat, dia baru nak lelap tapi tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi nada dering lagu Aiman Tino versi disko dangdut oleh pelawat di katil no. 2.
Sama juga ketika anda menziarahi seorang ibu yang baru lepas melahirkan. Padamlah telefon tu, anak dia nak tidur pun susah, asyik terkejut dengar bunyi handphone anda tidak henti-henti notification masuk.
#4 Jangan datang membawa rombongan satu bas
Kalau boleh elakkanlah datang beramai-ramai memenuhi segenap ruang sampai pesakit rasa sesak nafas. Apatah lagi kalau pesakit berada di wad kelas ketiga hospital kerajaan yang sedikit sempit ruangnya. Kalau anda datang konvoi 5 biji kereta, pastu datang ramai-ramai sembang duduk keliling katil, pesakit-pesakit lain di situ tak rasa terganggu ke?
Kalau dah memang datang ramai sangat, masuklah secara bergilir-gilir. Anda bukan hanya perlu hormati pesakit yang anda nak lawat, malah anda perlu juga hormati para doktor, nurse dan semua pesakit lain di situ.
Sekiranya anda ramai-ramai datang melawat pesakit di rumah, mohon bantu untuk menyediakan juadah dan mencuci pinggan mangkuk setelah menghidangkan air/kuih untuk anda. Cuba kira kalau sehari ada 7-8 buah keluarga yang datang menziarah. Si penjaga tu memang masak, buat air dan cuci pinggan sajalah tidak henti-henti. Nak menjaga pesakit lagi. Anda tu datang sedapppp je duduk makan, minum, gelak-gelak pastu balik.
#5 Elakkan duduk lama-lama untuk berbual kosong
Kalau setakat datang nak borak kosong gossip artis, lebih elok anda balik je lah melainkan orang yang anda ziarahi tu duduk di wad single patient dan mempunyai sakit yang tidak begitu kronik.
Kalau pesakit tu duduk di bilik multiple occupancy, mohon hormati pesakit lain dalam bilik yang sama. Wad hospital bukanlah tempat yang sesuai untuk sesi catch up bersama keluarga atau rakan-rakan. Pesakit pula memerlukan rehat yang secukupnya. Jadi, lepas dah tanya khabar, sembang sikit-sikit, mintalah diri untuk beransur pulang. Harap jangan buat meriah sangat ye.
#6 Buat kajian sebelum datang dan bawalah buah tangan yang sesuai
Kenalpasti dahulu apa yang pesakit boleh makan dan bawalah makanan bersesuaian. Kalau pesakit baru selesai menjalani pembedahan tonsil, janganlah bawa satu bucket ayam KFC hot & spicy pula.
Buah dalam bakul pula memang nampak cantik dihiasi dengan bunga berwarna-warni. Tapi pernahkah anda terfikir siapa pula yang nak jadi tukang kupas di situ? Adakah anda beli buah tangan itu untuk pesakit, penjaga ataupun pelawat? Hehe. Fikir-fikirkan ye.
Ada juga jenis pelawat yang sanggup makan sendiri buah tangan yang dibawa. Yang ini dah kategori lain dah ni.... Lain macam.
#7 Elakkan membawa anak kecil
Sebagai ibu bapa, anda lebih mengenali anak anda sama ada mereka jenis yang suka menjerit-jerit, bergaduh ataupun gemar berlari ke sana-sini. Kalau ada anak-anak yang begini, kalau boleh elakkan bawa bersama. Kesian kat pesakit.
#8 Jangan duduk di katil sebelah yang tidak bertuan
Ini adalah perkara common sense. Orang yang tidak berakal saja senang-senang nak duduk di katil sebelah yang tidak berpenghuni. Anda ingat jururawat di hospital tu tak ada kerja lain?
Dan agaknyalah, apa perasaan anda seandainya anda merupakan seorang pesakit yang baru nak admit. Anda masuk-masuk saja wad terus nampak katil penuh bekas Twisties perisa kari, ada kesan air tumpah atau cadar katil tu berkedut-kedut? Anda rasa nak marah ke tak? Anda nak marah siapa?
Jadi, sebagai pelawat, tolonglah jangan jadi selfish dengan menambah beban kerja jururawat ya.
#9 Jangan bercerita pengalaman buruk atau kaitkan sakit dengan kematian
Semasa berborak, elakkan bercerita pengalaman pesakit lain yang anda kenali tapi telah meninggal dunia ataupun menjadi semakin uzur. Ini boleh mematahkan semangat pesakit dan membuatkan mereka merasa sedih. Ceritalah perkara yang positif dan boleh membantu pesakit secara mental agar mereka terus tabah.
#10 Jangan guna tandas pesakit
Ini pun sama common sense. Andai kata anda melawat wad yang ramai penghuni tapi tandas cuma ada satu atau dua sahaja, silalah keluar sebentar dan cari tandas lain yang dikhaskan untuk orang awam.
Kita tak tahu pesakit di situ tiba-tiba nak muntah ke, nak tercirit ke ataupun tak tahan nak buang air kecil. Kalau pelawat ramai-ramai datang memenuhi tandas, pesakit-pesakit ni nak lari cari tandas di mana? Maka, mohon bertimbang rasalah ya?
#11 Berdoa untuknya dan berilah kata-kata semangat
Yang ini sudah sememangnya adab sebagai orang Islam. Sentiasa doakan kesihatan pesakit, ucapkan kata-kata yang baik dan beri motivasi agar pesakit cepat sembuh.
Ok, sekarang anda dah tahu adab melawat orang sakit, jangan buat perangai macam-macam dah tau. Sila sebarkan sekiranya bermanfaat. Semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik.