Kredit foto: Projek MM
Pengacara sensasi, Azwan Ali memohon maaf secara terbuka kepada Azmin kerana menganggap dirinya banyak berdosa dengan abang kandungnya itu.
Sebagai menghormati kemuliaan bulan ini, Azwan mahu hubungan kekeluargaan mereka, pulih semula.
“Peminat-peminat ada tanya saya, tak nak berbaik ke dengan Azmin sempena Hari Raya kali ni. Banyak kali juga mereka tanya sampai lah dah raya sekarang.
“Di hari baik bulan baik ni, saya fikir kenapa tidak untuk berbaik dengan dia. Kalau dia baca artikel ini, saya nak cakap; Min (Azmin) selama ni aku banyak buat salah, buat dosa pada kau. Aku minta ampun, minta maaf pada kau Min,” katanya kepada portal Mstar.
Sebelum ini, ramai menyedari ketegangan hubungan mereka adik-beradik, susulan beberapa serangan peribadi dibuat Azwan melalui media.
Azwan berkata, permohonan maaf yang dilakukan bukan hanya kerana menteri itu adalah abang kandungnya, sebaliknya turut mengenangkan didikan yang diajar kedua orang tua mereka.
Kredit foto: Instagram @azmin_ali
“Saya akui sebelum ini begitu keras hati, tapi orang tak tahu apa yang dilalui antara kami adik-beradik kerana ia hal peribadi dan keluarga. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.
"Saya akui banyak berbuat dosa dengan dia. Sebagai adik, saya yang sepatutnya beralah nak memohon maaf daripadanya,” katanya yang menetap di London sejak Februari lalu.
Dalam pada itu, Azwan berharap permohonan maaf secara terbuka itu dapat diterima baik, selain keikhlasannya tidak dipertikaikan ramai.
“Hasrat saya ini untuk berbaik dengan Azmin bukan disebabkan politik, tetapi kerana kerelaan saya sendiri.
“Sebab bila saya fikir sampai bila nak berakhirnya macam ni. Walaupun kami berbeza pendapat, tapi adik-beradik kan... ibarat air yang dicincang tak akan putus.
“Hati yang terdetik untuk berbaik-baik ini baru saja hendak bermula, maka berikanlah saya masa. Mohon semua pihak tidak mengecam saya, sebaliknya mendoakan yang baik-baik,” katanya.
Diajukan pertanyaan sama ada dia bersedia bertentang mata dengan Azmin, Azwan tidak mempunyai masalah dan menerima baik jika diberi peluang.
“Saya tahu dia seorang yang begitu sibuk. Sebelum jadi menteri pun sangat sibuk, apatah lagi sekarang. Cukuplah permohonan maaf saya secara terbuka ini dapat dibacanya.
“Tapi, sekiranya saya pulang ke Malaysia dan ketika itu Allah lembutkan hati dia untuk berjumpa dengan saya, sudah tentu saya sedia dengan hati terbuka.
“Bersalam dan bermaafan bersama abang, ibarat satu mimpi yang amat bermakna. Jika berlaku, ia akan menjadi kemaafan dendam yang terindah,” katanya.
Sumber berita: Mstar