Oleh pada 18 Jan 2018 kategori

Penulis sedar bahawa para pembaca di iluminasi.com terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza, dari segi umur, bangsa mahupun agama.

Di sini penulis ingin memohon agar semua pembaca untuk menghormati orang lain walaupun berbeza agama.

Artikel ini ditulis sekadar untuk memberi pengetahuan baharu kepada semua pembaca dan bukannya bertujuan untuk membuktikan siapa betul dan siapa salah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi, kepada para pembaca semua, bacalah artikel ini dengan hati dan minda yang terbuka. 

Asal Usul Holy Bible

Bible atau Holy Bible adalah kitab suci bagi penganut agama Kristian. Perkataan Bible diambil daripada perkataan Greek iaitu Biblos yang membawa maksud buku. 

Bahagian Pertama - Hebrew Scriptures (Old Testament)

bahagian pertama bible hebrew scriptures old testament

Sumber Foto: zoroastrianheritage.blogspot.my

Bible terbahagi kepada 2 bahagian. Bahagian pertama mengandungi 39 buah buku yang mengandungi 'pengumuman suci dari Tuhan' (Roman 3:2). Tuhan menginspirasikan manusia untuk menulis buku-buku ini dalam tempoh yang lama, sekitar 1100 tahun dari 1513 BC hingga ke 443 BC. 

Kebanyakan dari buku-buku ini ditulis dalam bahasa Hebrew, jadi bahagian ini dipanggil 'Hebrew Scriptures', yang turut dikenali sebagai Old Testament.

Bahagian Kedua - Christian Greek Scriptures (New Testament)

bahagian kedua bible christian greek scriptures new testament

Sumber Foto: restlesspilgrim.net

Bahagian kedua Bible terdiri daripada 27 buah buku yang juga merupakan 'kata-kata Tuhan' (1 Thessalonians 2:13). Tuhan memberi inspirasi kepada murid-murid Jesus Christ untuk menulis buku ini dalam tempoh yang lebih pendek berbanding bahagian pertama. 

Bahagian kedua ditulis dalam tempoh 60 tahun, dari sekitar tahun 41 AD hingga 98 AD. Kebanyakannya ditulis dalam bahasa Greek, jadi bahagian ini dipanggil  'Christian Greek Scriptures', yang turut dikenali sebagai New Testament

Gabungan kedua-dua bahagian yang terdiri daripada 66 buah buku inspirasi  menghasilkan Bible. Namun, mengapa terdapat banyak versi Bible? Terdapat 3 sebab mengapa terdapat banyak versi Bible yang berbeza-beza.

Pertama, bagi membolehkan manusia membaca Bible dalam bahasa ibunda mereka. Kedua, bagi membuang kesalahan-kesalahan yang dibuat oleh penyalin atau penterjemah. Ketiga, bagi mengemas kini bahasa lama atau kuno. 

The Greek Septuagint: Terjemahan Hebrew Scriptures Ke Bahasa Greek

the greek septuagint terjemahan hebrew scriptures ke bahasa greek

Sumber Foto: smithcreekmusic.com

300 tahun sebelum kehadiran Jesus, ulama-ulama Yahudi mula menterjemah Hebrew Scriptures ke bahasa lain, iaitu Greek. Hasil terjemahan ini dikenali sebagai Greek Septuagint.

Namun, apakah sebab terjemahan ini dilakukan? Sebab utamanya adalah bertujuan untuk membantu orang-orang Yahudi yang pada masa itu bahasa ibundanya adalah Greek, dan bukan Hebrew.

Terjemahan ini membantu mereka untuk lebih dekat dengan 'penulisan suci' tersebut (2 Timothy 3:15). Greek Septuagint juga membantu ramai orang bukan Yahudi, mereka yang berbahasa Greek untuk mengenali ajaran Bible. Bagaimana?

Menurut Profesor W.F. Howard, pada pertengahan abad pertama, Greek Septuagint telah dijadikan Bible di gereja-gereja Kristian.

Mubaligh-mubaligh Kristian telah pergi dari sebuah sinagog (rumah ibadat Yahudi) ke sinagog yang lain bagi 'membuktikan bahawa Messiah adalah Jesus berdasarkan Greek Septuagint itu' (Acts 17:3 , 20:20).

Menurut seorang ilmuan Bible, atas sebab itulah mengapa ramai orang Yahudi mula hilang minat terhadap Greek Septuagint

Murid-murid Jesus secara progresif menerima buku-buku Christian Greek Scriptures, dan menggabungkannya dengan Greek Septuagint yang telah diterjemah daripada Hebrew Scriptures. Gabungan keduanya menjadi Bible yang digunakan hari ini. 

The Latin Vulgate: Terjemahan Bible Ke Bahasa Latin

antara versi the latin vulgate terjemahan bible ke bahasa latin

Sumber Foto: ourladyisgod.com

saint jerome the latin vulgate terjemahan bible ke bahasa latin

Sumber Foto: epicpew.com

Kira-kira 300 tahun selepas Bible dibukukan, seorang ulama Kristian yang alim iaitu Jerome telah menghasilkan sebuah Bible yang diterjemahkan ke dalam Latin. Hasil terjemahan ini dikenali sebagai Latin Vulgate.  

Terdapat banyak Bible yang telah diterjemahkan ke dalam Latin sebelum Latin Vulgate. Jadi, apa tujuan Jerome berbuat demikian?

Menurut beliau, beliau ingin memperbetulkan tafsiran yang salah, kesilapan jelas, dan penambahan serta ketinggalan yang tidak wajar (The International Standard Bible Encyclopedia). 

Jerome memperbetulkan banyak kesalahan-kesalahan yang ada. Pihak berkuasa gereja kemudiannya mengumumkan bahawa Latin Vulgate adalah satu-satunya terjemahan yang diluluskan sebagai Bible. Hal ini berterusan selama berabad-abad. 

Terjemahan Bible Yang Kian Bercambah

terjemahan bible yang kian bercambah jenis jenis bible

Sumber Foto: billdory-christian-ministries.blogspot.my

terjemahan bible versi syriac peshitta 872

Sumber Foto: jw.org

Dalam masa yang sama, penganut agama Kristian terus menterjemahkan Bible ke dalam pelbagai bahasa. Antara yang popular adalah Syriac Peshitta, yang diterjemahkan sekitar abad ke-5. 

Hanya pada sekitar abad ke-14 terdapat usaha untuk menterjemahkan kitab suci itu ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang ramai. 

Pada penghujung abad ke-14 di England, John Wycliffe memulakan proses untuk keluar dari genggaman bahasa lama atau kuno dengan menghasilkan Bible di dalam bahasa Inggeris, bahasa yang difahami oleh orang-orangnya. 

Tidak lama kemudian, kaedah percetakan yang diperkenalkan oleh Johannes Gutenberg membuka jalan kepada ilmuan Bible untuk menghasilkan dan mengedarkan versi baharu Bible dalam bahasa-bahasa lain ke seluruh Eropah. 

Apabila terjemahan bahasa Inggeris makin bercambah, para pengkritik mempersoalkan keperluan untuk mempunyai versi yang berlainan dalam bahasa yang sama.

Seorang ulama Inggeris yang bernama John Lewis pernah menulis bahawa bahasa akan menjadi tua dan sukar untuk difahami. Oleh sebab itu, menjadi suatu kemestian untuk mengkaji semula terjemahan lama bagi mengemas kini kepada bahasa terkini, agar difahami oleh generasi yang masih hidup. 

Versi Bible Berbahasa Inggeris Yang Lazim Digunakan Hari Ini

versi bible berbahasa inggeris yang lazim digunakan hari ini

Sumber Foto: comingintheclouds.org

King James Version (KJV) adalah versi Bible yang diterjemah untuk Gereja England. Terjemahan bermula sejak tahun 1604 dan selesai pada 1611. Sesetetengah penganut Kristian beranggapan bahawa tiada terjemahan Bible lain dapat menandingi versi KJV.

New International Version (NIV) adalah versi Bible bagi mazhab Kristian Protestan. Pertama kali diterbitkan pada tahun 1978, NIV telah dikemaskini sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1984 dan 2011.

New Living Translation (NLT) adalah versi Bible yang diterbitkan pada tahun 1996 kepada bahasa Inggeris yang lebih moden. NLT mendapat penerimaan baik kerana dikatakan agak tepat dan mudah untuk dibaca.

New American Standard Bible (NASB) adalah versi Bible yang diterbitkan pada tahun 1971, dan melalui kemas kini pada tahun 1995. NASB sesuai untuk pelajar sekolah menengah. 

New Revised Standard Version (NRSV) adalah versi Bible yang diterbitkan pada tahun 1989 melalui editornya iait Bruce M. Metzger. Seperti NASB, NRSV juga sesuai untuk pelajar peringkat sekolah menengah.

New Jerusalem Bible (NJB) adalah versi Bible yang diterbitkan pada tahun 1985 dan versi ini sesuai bagi pengajian dan pengabdian peribadi untuk Kristian bermazhab Roman Katolik. 

Rujukan:

  1. biblica.com
  2. jw.org
  3. christianitytoday.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)