100 hari Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan baru semakin hampir namun keluhan berkenaan janji yang tidak dilaksanakan, diselangi kenyataan-kenyataan yang sedikit sebanyak membuktikan wujudnya usaha mengaburi mata pengundi sebelum pilihanraya, agak mencacatkan juga persepsi masyarakat pada kerajaan ketika ini.
Apakah manifesto yang dijaja sebelum pilihanraya serta janji-janji yang terkandung di dalamnya tiada nilai?
BESARKAN TEKS A- A+
Kita rakyat Malaysia memang sudah terbiasa dijaja manifesto-manifesto yang akhirnya tinggal angin, tetapi tidak pernah lagi berlaku dalam skala sebesar janji kerajaan sekarang. Apakah perspektif syariah berkenaan hal ini? Kami rumuskan serba sedikit pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkenaan janji manifesto pilihanraya.
Manifesto termasuk janji atau tidak?
Menurut tulisan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau cenderung untuk menamakan manifesto sebagai satu wadah penyampaian serta idea dasar yang mewakili cita-cita parti politik kepada bakal pengundi dalam menghadapi pilihanraya.
Manifesto adalah sesuatu yang menjadi kelaziman serta dianggap satu perkara penting yang membantu memberi gambaran kepada bakal pemilih kerajaan atau pemerintah hala tuju yang ingin dibawa dan dilaksanakan, sekiranya diberikan mandat oleh orang ramai.
Beliau mengkritik beberapa janji manifesto bersifat populis yang kerap kali menjanjikan sesuatu tanpa mengambil kira kemampuan sebenar serta keterbatasan sumber yang ada.
Memberikan contoh janji Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam membina tembok di sepanjang sempadan Mexico dan janji hil Murphey, calon Gabenor yang berjanji untuk menghalalkan marijuana di New Jersey - kedua-dua kes ini dilihat gagal memenuhi janji walaupun mendapat mandat.
Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan adalah menjadi kesalahan yang amat besar sekiranya sesebuah parti politik membawa manifesto bersifat populis tanpa mengambil kira kemampuan, realiti dan juga kehendak rakyat.
Hujah dan dalil memenuhi janji
Menurut perspektif Islam pula, amat jelas sifat orang beriman adalah menepati janji. Ini disokong melalui beberapa ayat al-Quran seperti
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”(Surah al-Maidah: 1)
وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا
Maksudnya: “dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”(Surah al-Isra’: 34)
Menerusi beberapa rujukan hadis dan kitab, amat jelas sekali sifat menepati janji merupakan sesuatu kewajipan yang perlu dipenuhi mana-mana orang Muslim. Terdapat satu hadis yang dikongsikan berkenaan isu janji;
Daripada Anas R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah memberikan khutbah kepada kami. Baginda bersabda : Maksudnya: “Tiada iman (kurang iman) bagi yang tiada sifat amanah. Tiada agama (kurang agama) bagi yang tidak menepati janji.”
Adakah menunaikan janji itu harus atau wajib?
Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi pandangannya berkenaan perbahasan ini, kerana memang terdapat sedikit khilaf atau perbedaan pendapat berkenaan hukum menunaikan janji.
Imam Syafie, Imam Abu Hanifah serta jumhur ulama' menyifatkan hukum menunaikan janji sebagai 'harus' dan menyifatkan perbuatan tidak menunaikan janji satu perbuatan yang bersifat makruh tanzih, tetapi tidak membawa dosa. Sebahagian ulama' lain pula berpandangan hukumnya wajib, khasnya ulama' yang bermazhab Maliki.
Menurut pandangan peribadi beliau sendiri, menepati janji adalah satu perbuatan yang wajib ditunaikan semampu mungkin dan tidak boleh ditinggalkan atau diabaikan. Tidak menepati janji akan mencalarkan imej seorang Muslim, membolehkan kredibilitinya dipertikaikan dan menyebabkan orang ramai tidak lagi percaya padanya.
Kesimpulannya, mana-mana pihak yang mendapat mandat menubuhkan kerajaan sepatutnya berusaha menunaikan janji yang telah dimasukkan ke dalam manifesto dan tidak memasukkan perkara-perkara yang diyakini tidak dapat dilaksanakan atau hanya umpan untuk pilihanraya semata-mata.
Rujukan Bayan Linnas Siri ke 130