Ahli politik dan janji, ibarat irama dengan lagu. Kuah dengan garam. Kedua-duanya saling berkait sehinggakan layak dikatakan kalau tak berjanji, tak layak seorang ahli politik bergelar ahli politik.

Presiden Donald Trump berjaya melakukan comeback yang berjaya, memenangi penggal baru sebagai Presiden Amerika Syarikat atau POTUS seterusnya diberi kunci kepada sebuah negara kuasa besar dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semasa berkempen, dalam banyak janji, ada enam janji utama yang ditaburkan Donald Trump dalam kempen pilihan raya presiden beliau sepanjang 2024. Apakah janji manis yang telah disebut dan adakah dia akan berupaya memenuhinya?

1. Tarif ke atas barangan import

hubungan china usa

Trump merancang untuk mengenakan tarif yang tinggi terhadap barangan dari luar negara, terutamanya dari China.

Selain itu dia juga dikatakan mahu memperkenalkan sistem tarif universal dianggarkan di antara 10-20% ke atas semua barangan bukan pengeluaran domestik, untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import asing dan merangsang industri tempatan.

Tarif ini mungkin sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya kerana penguatkuasaannya berpotensi meningkatkan kos sara hidup bagi pengguna di Amerika Syarikat.

Selain itu, jika Trump berkeras; sistem tarif ini diramal bakal mencetuskan ketegangan bukan saja dengan negara-negara rakan perdagangan utama mereka seperti China, malah akan mencetuskan konfrontasi di antara kerajaan Trump dengan Kongres Amerika Syarikat.

2. Pemotongan cukai menyeluruh

donald trump potus

Salah satu janji Trump berkait tentang pemotongan cukai yang dijangka melibatkan semua lapisan pendapatan daripada kelas pertengahan hingga kelas atasan, dan beliau turut mencadangkan untuk menghapuskan cukai keselamatan sosial bagi golongan warga emas.

Tindakan Trump ini dilihat populis, namun sebarang bentuk pengurangan cukai yang dikutip pasti akan menjejaskan program keselamatan sosial sedia ada. Ini kerana adalah dana besar diperlukan untuk menampung perbelanjaan sosial.

Tidak diketahui apakah perancangan sebenar Trump dalam menabur janji ini. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

3. Memperketatkan dasar imigresen

keputusan pilihanraya usa

Ini adalah antara topik paling kontroversi! Trump mengeluarkan janji untuk mengetatkan lagi kawalan imigresen, termasuk memperkenalkan dasar yang keras dalam memastikan pengusiran tegas kepada pendatang tanpa izin yang mencari rezeki di Amerika Syarikat.

Trump juga mahu meminda faedah seperti perumahan awam dan mengetatkan syarat permit kerja kepada pendatang tanpa izin.

Walaupun Trump layak memulakan sebahagian dasar imigresen baru ini melalui kuasa perintah eksekutif yang dimiliknya, ada beberapa bahagian dikatakan masih memerlukan kelulusan Kongres.

Selain perlu berdepan Kongres, Trump juga akan berdepan cabaran undang-undang daripada kumpulan hak asasi manusia dan organisasi hak pendatang. Kita juga tidak tahu apakah kesannya kepada ekonomi Amerika Syarikat sendiri, sekiranya undang-undang ini dilaksana dengan ketat.

4. Pengisytiharan kartel dadah sebagai organisasi pengganas

kartel dadah trump

Zaman semakin moden, jadi definisi pengganas nampaknya cuba diperkembangkan Trump.

Bekas mentor rancangan The Apprentice mahu mengklasifikasikan kartel dadah yang beroperasi di Mexico sebagai organisasi pengganas. Perubahan ini bakal membolehkan Amerika Syarikat mengambil langkah ketenteraan yang lebih tegas terhadap mereka, mengurangkan pengaruh mereka dengan jiran mereka seterusnya mengurangkan masalah dadah di Amerika Syarikat.

Secara teknikalnya, dipercayai Trump layak melakukan pengisytiharan ini dengan kuasa presiden, tetapi pelaksanaannya mungkin akan memberi kesan jangka panjang dalam hubungan diplomatik Amerika Syarikat dengan Mexico.

5. Mengakhiri konflik di Ukraine

donald trump menang

Salah satu janji Trump yang mendapat reaksi menyeluruh pihak antarabangsa adalah janji ini.

Trump mendakwa sekiranya beliau naik semula sebagai POTUS, dia akan menggunakan kedudukannya untuk menamatkan konflik antara Ukraine dan Rusia melalui rundingan diplomasi.

Selain itu Trump juga mahu menukar hala tuju penglibatan Amerika Syarikat dalam konflik tersebut, memperkenalkan dasar “America First” yang beliau harap akan mengurangkan penglibatan Amerika Syarikat dalam konflik tersebut.

Kita semua tahu konflik antarabangsa rumit rundingannya, jadi janji Trump ini nampak sukar untuk dipenuhi. Tetapi Trump mempunyai kuasa untuk mengubah dasar luar Amerika Syarikat. Jadi kita kena tengoklah adakah Amerika Syarikat akan terus membantu Ukraine atau tidak.

6. Menyelesaikan pembinaan dinding sempadan

dinding sempadan donald trump

Trump dengan dindingnya, sudah jadi sangat sinonim.

Dalam kempen pilihanraya yang telah berjaya dimenanginya, DonaldTrump kembali menyuarakan komitmen untuk menyelesaikan dinding sempadan di antara Amerika Syarikat dan Mexico.

Bagi beliau, dinding ini adalah elemen penting untuk memperkukuhkan keselamatan sempadan yang juga mampu mengawal masalah imigresen di Amerika Syarikat, akibat kebanjiran pendatang tanpa izin.

Semasa tempoh pertama Trump, kira-kira 730 km dinding telah dibina. Sebahagian besarnya adalah projek pembaharuan penghalang lama dengan binaan struktur baru, tanpa tambahan jarak dinding baharu di sepanjang sempadan.

Isu pengambilan tanah milik persendirian, isu undang-undang dan isu logistik menghalang pembinaan dinding baharu di sepanjang kawasan projek ini. Pentadbiran Joe Biden pada awalnya menghentikan projek dinding Trump tetapi menyambung semula beberapa bahagian atas tujuan keselamatan dan pemurnian alam sekitar.

Trump berjanji bahawa jika beliau dipilih semula, beliau akan menyiapkan dinding ini dan melaksanakan langkah keselamatan tambahan. Tetapi seperti biasa, bila kita berbicara tentang ahli politik, kita harus ingatkan diri kita; mereka boleh berjanji.




Hakcipta iluminasi.com (2017)