Nama Gagasan Sejahtera (GS) mungkin tidak segah dua lagi nama parti yang bakal menjadi pilihan kita pada pilihanraya 2018. Walaupun begitu tak dinafikan ada banyak juga idea menarik yang ditonjolkan oleh parti-parti dalam gabungan GS ini yang boleh membuatkan kita rasa ingin memberikan mereka peluang melaksanakan dasar mereka.
Bertanding dalam pilihanraya sebagai sebuah gabungan baru buat kali pertama, GS memperkenalkan manifesto berteraskan Islam yang menjadi tunjang dengan beberapa idea yang segar kerana cuba menggabungkan kelebihan sistem kewangan Islam dalam sistem. Walaupun begitu, artikel ini ditulis untuk mencari isu yang terkandung dalam manifesto mereka jadi berikut, merupakan 6 kelemahan paling ketara yang kami jumpai dalam manifesto mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Menghapuskan GST
Kami faham sebagai salah satu blok pembangkang, pihak GS memerlukan hujah untuk mengambil hati rakyat. Bagaimanapun sekiranya difahami, GST sebenarnya jauh lebih baik dan lebih telus berbanding sistem cukai lama kita SST yang tersembunyi.
Kami tidak pasti bagaimana GS mampu memastikan cukai atas simpanan korporat dan cukai saham cukup untuk menampung pembangunan negara jadi untuk tawaran ini, kami memilih untuk berkecuali.
2. Melupuskan hutang peminjam PTPTN
Sukar untuk difahami apa mekanisme yang akan diperkenalkan oleh pihak GS dalam merungkai isu PTPTN ini, tanpa penjelasan lebih terperinci. Apakah yang berlaku pada mereka yang sudah membayar?
Adakah mereka tidak layak untuk mendapat imbuhan semula? Bagaimana pula dengan peminjam yang sudah selesai separuh bayarannya? Kami rasakan idea ini sangat bagus dan sekiranya terpilih, kami harapkan kerajaan GS dapat memuaskan hati semua pihak dalam melaksanakannya.
3. Insentif pembelian kereta pertama 1300cc
Banyak faedah yang boleh diperolehi menerusi insentif ini. Syarikat pengeluar kereta mampu menjual kuantiti lebih tinggi dan keperluan kereta individu dapat dipenuhi.
Namun persoalan lain juga timbul dalam mekanisme pelaksanaan idea ini - mengapa kita mahu membanyakkkan lagi kenderaan di atas jalan raya? Tidakkah ini sedikit sebanyak bakal menggalakkan pembelian kereta baru berbanding kereta terpakai?
4. Pengenalan semula subsidi petrol dan diesel
Pada pendapat kami, sistem penetapan harga mengikut harga pasaran yang digunapakai sekarang ini sudah memadai berikutan harga yang masih boleh dikatakan rendah. Jadi tidak nampak ada keperluan dalam memperkenalkan semula subsidi ketika ini melainkan harga minyak melonjak naik atas harga pasaran dunia.
GS sepatutnya mengekalkan sistem penetapan terurus yang diamalkan, kerana ini membolehkan harga minyak diapung serta membenarkan campur tangan kerajaan sekiranya diperlukan.
5. Kelemahan GS hanya menumpukan pengundi luar bandar
Sepanjang menelaah manifesto GS, tak dapat lari kami daripada terus menganggap manifesto ini adalah manifesto yang akan dapat menarik minat sebahagian besar pengundi luar bandar.
GS sepatutnya menyelitkan juga apa hasrat atau dasar yang mereka mahu perkenalkan kepada kawasan bandar dan dijadikan bahan utama, kerana ramai pengundi di luar sana yang sebenarnya mahu tahu apa perancangan GS dalam membawa masyarakat urban ke aras yang lebih tinggi.
6. Islam agama sejahtera namun..
Sebagai seorang umat Islam, kami sendiri tahu bagaimana indahnya Islam bagi manusia sejagat. Bagaimanapun, pimpinan GS perlu menyedari realiti, untuk membentuk sebuah kerajaan di Malaysia mereka memerlukan juga sokongan bukan Muslim.
Bagi mereka yang faham, sudah pastilah dapat menerima elemen-elemen Islam dalam manifesto GS. Bagaimana pula dengan golongan bukan Islam? Golongan anti Islam? Golongan yang tidak anti tetapi terpedaya dengan propaganda barat tentang Islam?
Manifesto yang mampu menangani persepsi dan stigma semua pihak, adalah sesuatu yang perlu diperhalusi oleh pemimpin GS. Sekiranya bukan Muslim tetap menjauhi, sukar untuk melihat GS berjaya merealisasikan hasrat untuk naik membentuk kerajaan.