Tidak banyak negara yang mampu mempunyai jenama kereta sendiri. Malaysia agak beruntung mempunyai dua jenama besar iaitu Perodua, hasil kerjasama antara Daihatsu, Toyota dan Perdoua serta Proton, satu-satunya jenama kereta Malaysia yang masih lagi bertahan, walaupun terumbang-ambing.

Sejarah awal industri kereta Australia

kereta holden commodore

BESARKAN TEKS     A-  A+

Industri pemasangan kereta di Australia sudah bertapak lebih 100 tahun lamanya. Ford menjadi pengeluar pertama mempunyai kilang pemasangan di Australia pada tahun 1925, selepas mula masuk ke pasaran Australia semenjak 1905 lagi.

Holden, jenama yang cukup sinonim dengan imej Australia sebenarnya bermula sebagai perniagaan pembuatan kereta kuda kecil-kecilan. Holden mula memasang kereta bagi General Motors pada 1936 sebelum mula menggunakan jenama ikonik Holden pada kereta dalam tahun 1948,

Tidak ramai yang tahu, Australia adalah negara pertama di luar Jepun di mana kenderaan Toyota dipasangkan. Industri automotif Australia mempunyai sejarah panjang dengan Toyota, yang dilaporkan mengeluarkan 7 daripada 10 unit Toyota Camry yang dieksport ke Timur Tengah.

Begitupun, semakin lama, semakin kuat berlaku kebergantungan industri mereka kepada produk Toyota, atas kurangnya permintaan pada jenama lain yang dipasang di Australia. Permintaan suram ke atas bekalan kereta yang dipasang di Australia oleh masyarakat Australia membunuh industri automotif mereka, perlahan-lahan.

Subsidi kerajaan dipandang negatif

kartun sindir australia

Dalam tempoh 10 tahun lepas, kerajaan Australia telah pun membelanjakan lebih RM16 billion dalam bentuk subsidi bagi menyokong industri automotif mereka serta menyelamatkan ratusan ribu pekerja yang bergantung dengannya. Ini menjadi satu beban pada pembayar cukai Australia.

Keadaan ini tidak dibantu dengan pengurangan tarif import kereta dari luar, Australia menjadi negara yang mempunyai industri automotif sendiri yang terpaksa bersaing dengan kenderaan luar, mirip dengan negara kita. Pelanggan pula diberikan hak memilih kereta luar yang lebih murah dan mempunyai kelengkapan lebih baik, berbanding kereta yang dipasang di Australia sendiri. Kita sudah tahu apa pilihan pelanggan.

15 tahun dahulu, kereta Holden Commodore mendahului pasaran dengan jualan 90 ribu unit setahun. Pada 2016, model yang mempunyai nilai jualan terlaris hanya mampu mencecah jualan 40 ribu setahun.

Tidak ada pengilang kereta di dunia yang mampu terus beroperasi dalam angka pengeluaran sekecil itu.

Faktor penyumbang penutupan

malaysia buatan kereta

Semua ini tidak dibantu dengan kedudukan Australia yang di kelilingi negara-negara membangun seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia. Negara-negara ini mampu melakukan pemasangan kereta pada kadar yang lebih murah. Dengan kadar gaji pekerja di Thailand sekitar RM40 ribu setahun jika dibandingkan dengan gaji pekerja Australia pada kadar RM224 ribu setahun, tidak menghairankan pengeluar mula keluar dari Australia bagi menurunkan kos.

Kewujudan perjanjian perdagangan bebas di antara Australia dengan Thailand pula menyebabkan lambakan lebih 2 juta kereta pelbagai jenama yang dipasang di Thailand, masuk ke pasaran Australia menimbulkan persaingan yang semakin sukar pada jenama tempatan.

pembuatan kereta thailand

Apa yang dibimbangkan adalah krisis yang mungkin timbul apabila ratusan ribu pekerja kehilangan pekerjaan. Menurut kajian University of Adelaide pada tahun 2013, 1 daripada 3 pekerja yang telah diberhentikan ekoran penutupan kilang Mitsubishi di Australia pada tahun 2008, menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan baru.Jika senario itu berulang, masalah pengangguran akan menjadi satu masalah baru pada masyarakat di sana.

Bekas pekerja industri automotif dilaporkan mempunyai kesukaran untuk berpindah ke bidang atau sektor lain. Keperluan latihan semula pekerja pada kos yang tinggi bakal menjadi kesan negatif yang paling ditakuti, memberikan impak besar pada sosio ekonomi warga Australia.

Penutupan berperingkat sejak 1980

kartun sindir industri kereta australia

Sebenarnya, sudah hampir 20 tahun bermula daripada tahun 1980 lagi, kerajaan Australia sedikit demi sedikit memperlahankan industri automotif Australia yang sudah dikenal pasti tidak akan berupaya bersaing di masa depan. Jangkaan mereka tepat kerana sedikit demi sedikit, kekuatan nilai matawang Australia menjadikan masyarakat mereka bukan lagi sesuai untuk menjadi pekerja industri pembuat dan pengeluar.

Dengan beban tanggungan subsidi ke atas industri automotif tidak lagi membebankan orang ramai, masyarakat Australia rata-rata menyambut baik keputusan kerajaan mereka menutup industri automotif Australia. Namun terdapat kebimbangan yang timbul tentang apa yang berlaku selepas ini. Adakah penjimatan ke atas subsidi yang menanggung industri mereka selama ini akan terpaksa disalurkan bagi menyelesaikan masalah baru yang bakal muncul?

Walau apa pun, keputusan menutup industri automotif Australia yang mempunyai sejarah panjang sudah tidak boleh ditarik balik.

Kereta terakhir 'Made in Australia'

pekerja kilang bawa pulang sagu hati

Pada 20 Oktober 2017, kereta terakhir yang dibuat di Australia berjenama Holden dipandu keluar daripada kilang. Ratusan ribu pekerja hilang pekerjaan sementara jutaan pembayar cukai bersorak kegembiraan dengan masa depan masyarakat Australia, kini terletak dalam imbangan.

Untuk rakyat Malaysia, apa pengajaran yang kita boleh pelajari dari kisah ini? Terlalu banyak sebenarnya, apatah lagi negara kita mempunyai populasi pasaran yang hampir serupa jika dibandingkan dengan negara Australia.

Rujukan

Quartz

CBC News Australia




Hakcipta iluminasi.com (2017)