Kredit foto: Beautifulnara
Perkhabaran putus cinta antara Zul Ariffin dan Zahirah Macwilson makin panas apabila penerbit, Gayatri Su-lin Pillai, dianggap menjadi orang ketiga dalam perhubungan mereka.
Gayatri yang sebelum ini pernah menjalinkan hubungan istimewa dengan aktor sasa itu, dalam temubual bersama portal Harian Metro bagaimanapun menegaskan, antara dirinya dan Zul tidak lebih daripada sekadar rakan baik.
Malah kontroversi yang memalitkan namanya itu tidak akan sekali-kali menghentikan persahabatannya dengan Zul.
“Saya dan Zul sudah berkawan baik hampir sedekad. Banyak kami lalui bersama, baik ataupun sebaliknya, sejarah kami hanya kami dan keluarga yang tahu.
“Kami akan tetap berkawan, selagi Tuhan izinkan, sebab saya terkenang budi Zul kepada saya dan keluarga yang tidak boleh dibalas dengan wang ringgit pada satu ketika dulu.
“Tiada istilah menjadi orang ketiga dalam perhubungan Zul. Namun kami saling berkomunikasi dan berjumpa atas urusan kerja,” katanya.
Dalam pada itu, dia yang dituduh sebagai punca terlerainya ikatan Zul dan Zahirah, akui tidak terkesan, sama ada berkecil hati mahupun marah.
Kredit foto: mynewshub.cc
“Saya tidak marah atau berkecil hati. Walaupun dari dulu saya kunci mulut dan tidak memberikan komen mengaibkan sesiapa, saya tetap menerima provokasi serta hinaan melalui media sosial.
“Namun begitu, saya tidak mengambil pusing atau melayan sebarang bentuk provokasi, kerana bagi saya tidak guna membuang masa melayan mereka yang hanya berani di media sosial namun tidak berani untuk bersemuka dengan saya sendiri.
“Biarlah orang nak kata apa-apapun, kami tidak boleh tutup mulut ataupun puaskan hati semua orang.
“Kalau fikir secara logik berbaloi ke saya putuskan hubungan persahabatan dengan Zul? Dia seorang pelakon yang berbakat besar. Jadi saya harus bekerjasama dengan dia dan mendorong dia untuk lagi berjaya dalam industri,” katanya.
Mungkinkah kalian akan kembali bersama memandangkan Zul sudah beralih ke status solo?
“Soalan ini juga ditanya pada Zul yang baru memberi kenyataan dan boleh dipusing lagi seperti Zul akan beralih dengan cepat dan saya rasa ini kurang sesuai. Biarlah dia diberi ruang sedikit untuk fokus kepada kerjayanya daripada fikirkan soal cinta dan saya pun tidak fikir ke arah itu.
“Memang betul saya pernah beritahu Zul saya berhasrat mendalami Islam beberapa tahun lalu dan sejak itu saya cuba belajar sikit demi sikit untuk memahami lebih tentang Islam," katanya.
Dalam pada itu, penerbit berusia 55 tahun ini bersyukur atas sokongan penuh yang diraih daripada orang sekelilingnya dalam usaha mendalami Islam.
“Saya bernasib baik sebab ramai di sekeliling saya dapat memberi dorongan dan nasihat kepada saya dan saya amat menghargainya,” katanya.