Oleh pada 25 Mar 2017 kategori

Selalunya susu sejat digunakan dalam masakan, pencuci mulut ataupun minuman. Susu sejat (evaporated milk) merupakan susu yang telah melalui proses penyejatan untuk menyingkirkan sehingga 60% kandungan air. Susu sejat tidak ditambah gula dan ia berbeza dengan susu pekat (condensed milk) yang menjadi pekat dan manis.

Bunyi macam mudah kerana cuma ada dua terma di situ. Tapi bila anda berkunjung ke pasar raya, tiba-tiba nampak rak penuh dengan pelbagai jenis tin susu sejat, susu isian sejat, krimer sejat, susu isian pekat, krimer pekat manis. Eh, banyaknya! Apa beza semua jenis susu ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Baiklah. Mula-mula, kita fahamkan perkara asas ini dulu.

Krimer - merupakan produk keluaran sampingan (byproduct) susu. Ia bukanlah susu sebenar tapi cuma lemak susu yang dikaup dari permukaan semasa proses penghomogenan susu ataupun lemak tumbuhan.

Susu isian - Susu isian atau filled milk merupakan susu yang telah disingkirkan lemak susunya kemudian digantikan pula dengan lemak/minyak tumbuhan seperti minyak sawit.

susu sejat vs susu segar 713

Sekarang, mari kita lihat produk-produk berkaitan pula.

Sebelum anda meneruskan pembacaan, anda perlu ketahui bahawa senarai ini dibuat mengikut turutan keaslian dan kandungan susu. Kedudukan pertama merupakan produk yang dihasilkan menggunakan susu sebenar manakala produk yang paling akhir sekali tidak mengandungi sebarang susu langsung.

1. Susu sejat (evaporated milk)

Tahukah anda bahawa TIADA susu sejat sebenar yang dihasilkan di Malaysia? Di negara luar seperti Australia dan United Kingdom, syarikat Nestle di sana mengeluarkan produk susu sejat yang dibuat menggunakan susu segar. Jadi, produk ini memang benar-benar 100% susu. nestle negara lain mengeluarkan susu sejat sebenar yang dibuat menggunakan susu segar 20

2. Susu sejat penuh krim (evaporated full cream milk)

Susu sejat di negara luar hanya mengandungi 3 atau 4 bahan sahaja kerana ia diperbuat menggunakan susu asli. Apa yang membezakan susu sejat dengan susu sejat penuh krim ini adalah kandungan bahannya. Susu yang terdapat di Malaysia ini merupakan campuran pepejal susu bersama lemak susu. susu sejat penuh krim Jika anda perhatikan pada gambar tersebut, kandungan lemak adalah 1.6 gm bagi setiap 20 gm, bermakna ia mengandungi 8% lemak.

3. Susu isian sejat (evaporated filled milk)

Jika anda ingat perkara asas yang diberitahu di atas, "isian" bermakna susu ini telah dicampur dengan lemak/minyak tumbuhan. susu isian sejat2

4. Susu pekat manis (sweetened condensed milk)

Seperti susu sejat, produk ini juga tidak dikilangkan di Malaysia. Dalam kategori susu pekat, susu ini merupakan yang paling asli bahan kandungan tenusunya. Cuma dua saja bahan yang digunakan untuk membuat susu pekat manis ini iaitu susu dan gula. susu pekat manis2 Ia cuma terdapat di negara luar. Rasanya di Singapura ada dijual tetapi sukar didapati di Malaysia. Kalau anda terjumpa susu seperti ini di mana-mana pasar raya, boleh maklumkan kepada kami ya. Kami akan kemaskini artikel ini.

5. Susu penuh krim pekat manis (sweetened condensed full cream milk)

Seperti biasa, Malaysia hanya mempunyai 'the next best thing' iaitu susu pekat hasil campuran pepejal susu dan lemak susu. susu pekat manis penuh krim

6. Susu isian pekat manis (sweetened condensed filled milk)

Diingatkan lagi sekali, jangan lupa makna perkataan isian. susu isian pekat manis

7. Krimer sejat (evaporated creamer)

Tahukah anda 'susu sejat' Carnation Malaysia sebenarnya adalah krimer? Ini mungkin disebabkan peratus kandungan lemak tumbuhan di dalamnya melebihi kandungan susu. Sebab itu ia tidak boleh dilabelkan sebagai susu sejat dan menjadi krimer. krimer sejat carnation2

8. Krimer manis (sweetened creamer)

Produk ini PALING BANYAK dijual di Malaysia. Malah, jika anda buat carian di Google menggunakan kata kunci "sweetened creamer", susah untuk jumpa negara lain yang mengeluarkan produk krimer manis seperti ini. cuba google sweetened creamer atau krimer manis semuanya produk malaysia

Lihatlah sendiri hasil carian semuanya majoriti dari Malaysia. Jika anda lihat label krimer manis ini, anda boleh dapati kebanyakan bahan pertama yang disenaraikan ialah gula.

krimer manis 1

Dengan kandungan gula yang melebihi 40-50%, adakah anda masih berasa hairan mengapa kadar pesakit kencing manis di Malaysia semakin meningkat? Apalah gunanya jika krimer ini dilabel sebagai 'tiada kolestrol' dan disuntik dengan pelbagai vitamin, kalsium dan mineral sekiranya ia lebih banyak mendatangkan mudarat.

9. Krimer bukan tenusu (non-dairy creamer)

Contoh produk krimer ini adalah Coffee-mate. Produk ini dibuat menggunakan lemak dan minyak tumbuhan. Walau bagaimanapun, ia mungkin mengandungi bahan sampingan terbitan susu (milk derivatives) seperti sodium caseinate namun secara umumnya ia bukanlah produk tenusu.

coffeemate 359

Sekarang anda dah tahu apa yang anda letak dalam teh dan kopi anda setiap hari. Label produk-produk 'susu' ini pun dilihat semakin lama menjadi semakin panjang. Mungkin itulah strategi pemasaran mereka. Mungkin juga bertujuan untuk mengelirukan pengguna. Tiada siapa yang tahu. Tapi sebagai pengguna, anda perlulah menggunakan kebijaksanaan ketika memilih barang dan makanan yang menjadi darah daging. Jadilah pengguna bijak.

Dengan peningkatan kadar diabetes dalam negara, mungkin sudah tiba masa pihak kerajaan mula campur tangan untuk menyeru pihak pengeluar supaya menghasilkan susu pekat dan susu sejat yang asli untuk rakyat Malaysia. 

Kurangkan gula dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman.

Sumber rujukan dan bacaan tambahan:

1. Kementerian Kesihatan Malaysia

2. Nestle

3. GCCA

4. International Dairy Foods Association

5. Jabatan Kesihatan Negeri Selangor




Hakcipta iluminasi.com (2017)