tips temuduga

Dalam hidup kita, ada banyak situasi di mana kita perlu membentang maklumat-maklumat tentang hidup kita yang diperlukan untuk penilaian orang lain. Terutamanya semasa anda memohon pekerjaan. Resume menjadi dokumen sokongan bagi memudahkan kita menjelaskan siapa kita dan kenapa kita layak menjawat jawatan tersebut, namun penilaian tetap dibuat berdasarkan bagaimana reaksi dan perlakuan kita semasa

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda, ada perbezaan besar di antara cara kita menilai diri kita sendiri berbanding penemuduga, setiap kali sesuatu temuduga itu berlangsung. Perbezaan besar dalam bentuk psikologi inilah yang kerap menjadi punca kenapa kita selalu gagal temuduga.

SALAH TANGGAPAN PEMOHON TERHADAP PENEMUDUGA

panel temuduga

Dalam satu kajian tahun 2012 yang diterbitkan dalam Journal of Consumer Research, tulisan Kimberlee Weaver, Stephen Garcia dan Norbert Schwartz dari University of Chicago, mereka mendapati wujud satu paradok yang membezakan cara kita menilai diri kita dan individu lain menilai diri kita. Perbezaan itu dikategorikan dalam dua kumpulan.

Kaedah pertama adalah dengan menggunakan kaedah penambahan atau additive di mana data individu digabungkan dalam membentuk satu penilaian secara menyeluruh. Andaikan seseorang perlu menilai individu lain menggunakan kaedah additive, data yang terkandung dalam bentuk resume akan banyak membantu seseorang melakukan penilaian lebih positif, kerana resume pasti hanya akan mengandungi maklumat yang kita berani letak dengan tujuan untuk menambah nilai diri kita.

Kaedah kedua pula adalah kaedah purata atau averaging yang membuatkan seseorang individu akan memandang negatif mana-mana maklumat positif yang didapati tidak setara dengan maklumat positif lain yang lebih penting, sehinggakan tahap persepsi seseorang berubah menjadi lebih rendah daripada biasa.

PRESENTER'S PARADOX

menghadap panel penilai

Dalam kajian tersebut, mereka mendapati kerap berlaku satu perkara yang tidak dijangka berlaku dalam setiap temuduga dan interaksi calon dengan penilai yang digelarkan 'presenter's paradox.'

Apa yang selalunya berlaku dalam sesuatu temuduga, pemohon akan menggunakan kaedah additive; menceritakan pelbagai perkara positif tentang diri sendiri, sehinggakan menyebut perkara-perkara yang kurang relevan yang pemohon rasakan perlu disebut, dengan harapan penilai akan lebih terpikat.

Berlainan pula dengan penilai-penilai yang menjadi peserta kajian, dilihat lebih kerap menggunakan kaedah purata atau averaging, dengan tidak mengambil kira maklumat positif yang dirasakan tidak menarik atau perlu, sebagai maklumat yang hanya akan merendahkan lagi peluang untuk seseorang pemohon diterima.

JANGAN 'SYOK SENDIRI'

tertidur semasa temuduga

Dalam kajian yang mereka jalankan menggunakan teknik pemasaran sebagai eksperimen, peserta yang bertindak sebagai ejen jualan diminta untuk memilih apakah kaedah jualan sebuah pemain audio digital yang lebih berkesan.

Ada dua pilihan berbentuk positif diberikan yang dirasakan efektif, sama ada storan lebih besar atau muat turun satu lagu secara percuma. Peserta diminta memilih kaedah mana yang dirasakan lebih berkesan dalam meningkatkan jualan pemain audio tersebut.

Penyelidik meletakkan storan lebih besar sebagai lebih positif berbanding muat turun lagu walaupun kedua-duanya positif, kerana kos yang diperlukan untuk menambah storan lebih tinggi berbanding memberi muat turun satu lagu secara percuma.

Hampir 90% peserta memilih menjual pemain audio dengan muat turun satu lagu lebih berkesan pada mereka.

Sebagai imbangan eksperimen, kumpulan kedua diwujudkan untuk bertindak sebagai panel penilai, bagi menetapkan harga yang mereka rasakan sesuai untuk pemain audio yang sama. Perbezaan kali ini, kumpulan kedua ini dibahagikan kepada dua, dengan satu kumpulan menetapkan harga pemain audio itu tanpa pakej tambahan dan kumpulan lagi satu menetapkan harga pemain itu dengan satu muat turun lagu secara percuma.

Majoriti peserta kajian didapati sanggup membayar harga lebih tinggi bagi pemain audio sahaja, jika dibandingkan dengan pemain audio beserta pakej muat turun lagu secara percuma.

Mengapa situasi itu berlaku?

KEEP IT SIMPLE LAH!

tips untuk temuduga

Eksperimen itu menunjukkan apabila seseorang itu mempersembahkan sesuatu seperti kumpulan ejen jualan - kita lebih cenderung untuk mempersembahkan sesuatu yang kita sendiri rasakan menarik.

Apabila seseorang itu menilai sesuatu pula, kita akan jadi lebih skeptik dan tidak mudah terpedaya dengan 'pakej-pakej' yang ditawarkan kerana kita hanya berminat tentang perkara yang benar-benar penting. Majoriti sanggup meletakkan harga yang lebih tinggi untuk sesuatu yang dirasakan keperluan. Muat turun lagu percuma walaupun kelihatan menarik, langsung tidak membantu menaikkan nilai pemain audio, malah menurunkan nilainya pula kerana dirasakan tidak perlu dimasukkan ke dalam pakej jualan.

Kajian ini mampu memberikan panduan yang amat berguna bagi mereka yang sedang memohon pekerjaan atau kerap mempersembahkan sesuatu kepada orang lain dalam pekerjaan, seperti jurujual atau ejen pemasaran; apabila kita membentang sesuatu, ingatlah individu lain secara automatik menilai pembentangan kita secara keseluruhan dan kesesuaiannya dengan diri mereka, bukan menurut ciri-ciri positif yang kita rasa penting pada perspektif kita.

Rahsianya, kejayaan kita dalam sesuatu temuduga tidak bergantung dengan berapa banyak aspek positif yang kita persembahkan dalam sesi temuduga itu, tetapi bergantung kepada bagaimana kita akan memenuhi keperluan pihak penemuduga. Itu yang mereka nak dengar.

Jadi fokuskan persembahan kita pada perkara yang penting sahaja. Contohnya, perkara yang kita dapat sumbangkan kepada organisasi tersebut dan apa relevannya kemahiran kita dengan organisasi pihak penemuduga, tanpa rasa perlu kita ceritakan perkara-perkara positif yang tidak ada kaitan.

Bercakap tentang kemahiran berbahasa yang tidak penting, kemampuan kita berenang, projek-projek tidak berkait atau kisah-kisah pengalaman-pengalaman kerja yang tiada kaitan dengan bidang dipohon, walau sepositif mana pun pengalaman kita  - lebih baik disimpan untuk waktu lain yang lebih sesuai bagi meningkatkan peluang permohonan kita berjaya.

Olahan semula artikel

People Evaluate You Differently Than You Think They Do

Laporan 'The Presenter's Paradox'




Hakcipta iluminasi.com (2017)