Bagi mereka yang telah melalui beberapa atau berpuluh temuduga kerja dalam hidup mereka, pastinya anda sudah boleh mengagak jenis soalan killer yang akan ditanya oleh penemuduga.
Apakah kelemahan terbesar anda?
Di mana anda melihat diri anda dalam masa 5 tahun?
Mengapa kami patut pilih anda?
BESARKAN TEKS A- A+
Ini biasanya yang ditanya di dalam temuduga dan ramai yang sudah lali, dan mempunyai jawapan sebelum masuk ke bilik temuduga.
Setiap soalan ditanyakan untuk menguji mindset dan mentaliti seseorang walaupun dengan pendekatan berbeza. Bagi jawatan kepimpinan, kemahiran sosial dan berkomunikasi adalah sangat penting.
iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 6 soalan killer daripada 6 CEO ini yang gemar mereka ajukan kepada calon dalam memilih pemimpin yang baik untuk syarikat mereka.
1. Anda lebih suka dihormati atau ditakuti?
Michael Gregoire, CEO CA Technologies, syarikat pengurusan IT.
Beliau mengakui bahawa ini adalah soalan kegemaran beliau, dan tak pernah gagal mengejutkan calon. Soalan ini, menurut Michael, benar-benar mendedahkan apa yang mereka rasa mengenai cara kepimpinan mereka. Walaupun dari segi teorinya ia tidak mempunyai jawapan yang betul, namun secara praktikalnya posisi yang ditemuduga ini menentukan kecenderugan calon tersebut.
2. Apakah hartanah yang paling anda gemar dalam Monopoly dan mengapa?
Ken Moelis, CEO Moelis & Co, sebuah bank pelaburan.
Beliau gemar bertanyakan soalan yang tidak diduga ini kepada graduan MBA yang ditemuduga untuk posisi mid-level. Ia kedengaran seperti remeh, namun menggambarkan visi seseorang. "Ia adalah salah satu cara yang bagus untuk kita tahu bagaimana seseorang berfikir mengenai risiko dan ganjaran," jelas Ken.
3. Saya tanya kepada orang lain bagaimana calon melayan mereka
Rick Goings, CEO Tupperware, syarikat jualan langsung.
Ini agak jarang, dan sangat pelik, tetapi berkesan. Rick menemuduga calon, dan kemudian bertanyakan kepada orang-orang yang ditemui oleh calon. Menurut Rick, beliau bertanyakan kepada pemandu yang memandu calon ke pejabatnya, pembantu beliau, sehingga ke penyambut tetamu.
"Saya bertanya kepada mereka bagaimana calon melayan mereka. Maklumat yang diterima daripada mereka amatlah berharga dan dari sinilah anda tahu bagaimana perangai seseorang yang sebenar," jelas Rick.
Apa yang dicari oleh Rick adalah seseorang yang mempunyai kemahiran bukan kognitif, iaitu berkenaan sikap, tingkah laku dan juga strategi yang diperlukan oleh seorang pemimpin dalam menguruskan sesebuah pasukan.
4. Ceritakan pada saya mengenai kegagalan anda
Roger Crandall, CEO MassMutual, syarikat insurans.
Bagi mengetahui daya tahan, kreativiti dan juga rasa rendah diri calon, Roger mengorek balik kegagalan lalu. Menurut Roger, sangatlah menarik baginya jika calon mempunyai keterbukaan dalam berkongsi mengenai kegagalan lalu mereka, dan jujur serta terperinci mengenai kekurangan mereka.
Namun, mereka juga harus menjelaskan bagaimana kegagalan itu menjadikan mereka seorang individu, pasangan, pemimpin dan pengurus yang lebih baik.
Soalan ini juga ditanyakan oleh David Serra, pengasas Algebris Investments, "Apakah kesilapan terbesar anda dan apa yang anda pelajari daripadanya".
Bagi syarikat kewangan, bahaya ada di mana-mana dan mereka mahukan pengurus yang tenang apabila masalah menimpa. Mereka juga mahukan seseorang yang peka akan kemungkinan masalah itu datang daripada pengurus itu sendiri.
5. Buktikan kata-kata anda!
Atul Kunwar, Presiden Tech Mahindra, syarikat penyelesaian teknologi rangkaian.
Ini satu pendekatan yang amat bagus. Bagi Atul Kunwar, beliau tidak perlu menyoal soalan-soalan killer atau pelik, sebaliknya menyuruh calon membuktikan kenyataan dan kata-kata mereka. Jika calon memberitahu bahawa beliau minat dalam nyanyian, Atul menyuruh calon tersebut untuk menyanyi.
"Saya menyuruh calon untuk menyanyikan untuk saya dan panel-panel lain," jelas Atul Kunwar. Daripada ini, Atul memberitahu bahawa calon itu berani dan menyanyi dengan bagus. Beliau menyimpulkan bahawa calon seperti ini sangat bersemangat dan mampu untuk mempelajari kemahiran dengan sendiri.
"Dan ketika waktu-waktu getir, kita boleh mengharapkan kepada individu seperti ini, yang mempunyai semangat dan kepercayaan," terang beliau lagi.
6. Mengapa anda berada di sini hari ini?
Gordon Wilson, Ceo Travelport, syarikat software.
Walaupun ia nampak mudah, dan anda mungkin pernah ditanya, namun biasanya mereka menginginkan calon memberikan jawapan yang tepat. Menurut Gordon, beliau hairan dengan kekerapan jawapan yang diberikan oleh calon dengan menceritakan faedah yang mereka akan dapat daripada kerja itu, dan bukan apa yang mereka akan sumbang kepada syarikat.
Dengan jawapan yang diberikan, ia dapat memberi gambaran kepada penemuduga sama ada calon tersebut ingin menyumbang, atau hanya mengambil faedah.
Wallahualam.