Pengarah prolifik, Aziz M. Osman sebak ketika menikahkan anak perempuan sulung hasil perkahwinan bersama bekas isteri keduanya, Datin Nor Aliah Lee Abdullah iaitu Puteri Nur Asyiqin Aziz dengan ahli kumpulan Devotees, Adi Akmal Sehrom pada pagi tadi.
Menurut Aziz M. Osman, sudah menjadi lumrah buat seorang bapa berasa sedih untuk merelakan anak kesayangannya berkahwin sementelah hubungan mereka amat rapat.
Perasaan sebak hendak melepaskan anak kesayangan kepada orang lain memang perkara biasa bagi seorang bapa tambahan pula ini pengalaman kedua saya.
Tetapi Alhamdulillah majlis pernikahan berjalan lancar dan saya sendiri menikahkan anak saya.
Besar harapan saya agar dia dapat memulakan perjalanan hidupnya sebagai seorang isteri dengan baik selepas ini.
Puteri Nur Asyiqin Aziz (24 tahun) dan Adi Akmal Sehrom yang juga merupakan personaliti stesyen televisyen TV Al-Hijrah dinikahkan sekitar jam 10.40 pagi tadi dengan cuma sekali lafaz.
Majlis tersebut diadakan di rumah ibu pengantin perempuan yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Semasa upacara itu berlangsung, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 manakala wang hantaran sebanyak RM15,000.
Adi (31 tahun) turut menyerahkan sejumlah 7 dulang hantaran kepada Asyiqin manakala dibalas dengan 9 dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Mengulas lanjut tentang menantunya itu, Aziz memberitahu Adi mreupakan seorang lelaki yang bersifat baik hati serta berbudi bahasa.
Selain itu, Aziz berbangga dengan keperibadian menantunya itu yang dilihat sentiasa bersikap positif dalam semua perkara.
Anak saya ini seorang yang sangat berdikari dan adakalanya panas baran tetapi Adi sentiasa tahu untuk menyejukkan hati Asyiqin dengan sikap-sikap positifnya.
Sepanjang saya mengenalinya dia seorang yang penyabar dan sentiasa bercakap lembut malah tidak pernah menunjukkan reaksi wajah masam dan sentiasa tersenyum.
Insya-Allah Adi mampu menjaga dan membimbing anak saya dengan baik.
Pasangan itu mula mengenali antara satu sama lain sejak 2 tahun lalu melalui sepupu Adi sebelum membuat keputusan untuk bertunang pada bulan September tahun lepas.
Adi dan Asyiqin akan melangsungkan majlis kenduri di Putrajaya pada malam Sabtu. Sementara itu, majlis menyambut tetamu pula bakal dibuat di Sungai Buloh pada 7 Oktober ini.
Sumber foto: Instagram.com/azizmosman
Sumber berita: mStar Online