Kredit foto: Utusan Online

Jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman panik apabila anak bongsunya, Ibraheem Adham, 4, hilang sewaktu berada di pulau Gili Trawangan, Lombok, Indonesia baru-baru ini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas Aliff terlibat dalam acara sukaneka tepi pantai bersama keluarga dan 40 kakitangan serta stokis D'herbs yang turut bercuti bersama.

"Saya memang terkejut dan sangat panik apabila tiba-tiba Baim (panggilan Ibraheem) hilang daripada pandangan pengasuhnya yang terleka dengan keriuhan acara kami beramai-ramai.

"Iyalah, sukaneka hanya melibatkan orang dewasa, kanak-kanak dibiarkan bermain tepi pantai dengan pengawasan pengasuh.

"Hanya orang yang ada anak sahaja yang tahu betapa menggelabahnya saya apabila anak sendiri lesap daripada pandangan walaupun sekejap," katanya kepada portal Astro Gempak.

Misi mengesan Ibrahim berlangsung selama 10 minit melibatkan kawasan pesisir pantai utama pulau itu dan beberapa premis perniagaan yang juga kawasan kali terakhir kelibat anak bongsunya itu dilihat.

Namun, Aliff yang ketika itu ditemani isterinya, Datin Seri Norshahida Mohd. Rashid dan dua anak mereka, Ahmad Rayyan, 11, dan Qadejah El Zahra, 6, akhirnya berjaya menemui Ibraheem bersama seorang warga tempatan.

Ibraheem ditemui berdekatan kawasan sukaneka tersebut, sedang teresak-esak menangis sambil dipimpin lelaki tempatan berkenaan.

"Saya bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku dan akan lebih berwaspada selepas ini," beritahu Norshahida yang kini hamil enam bulan.

Rakaman kejadian terbabit menjadi antara paparan program realiti musim kedua, Oh Abang Kosmetik yang bakal ke udara tidak lama lagi.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)