Pengasas D'Herbs, yang kini bergelar penyanyi dan pelakon, Datuk Seri Aliff Syukri, mengakui bayaran lakonan yang diterimanya sama seperti bintang baharu lain.

Kata Aliff, dia menyedari dia bukanlah seorang pelakon yang berpengalaman dan dalam masa sama masih mempelajari bidang itu, justeru tiada sebab untuk meletakkan harga tinggi.

"Saya berlakon suka-suka sahaja tapi banyak pula tawaran. Saya tidak boleh ambil semua kerana tiada masa yang banyak untuk itu.

"Bayaran saya untuk berlakon tidak banyak macam pelakon baru dapat. Dalam RM1,000 lebih sahaja untuk satu drama atau satu episod," katanya memetik laporan Mstar Online.

Beliau membuat kenyataan tersebut di majlis sidang media pelancaran tudung Aliff By Sha dan pembukaan restoran Romah Makan Terlajak Laris yang berlangsung di Petaling Jaya, pada Selasa.

Aliff bakal muncul sebagai teraju utama dalam filem sulungnya, Badang, yang bakal menemui penonton di pawagam mulai 15 Februari ini.

Drama bersiri, Tuyul Ke London lakonannya pula sudah berada di kaca televisyen sejak 24 Disember lalu, bersiaran sebanyak 24 episod di saluran Astro Ria.

Beralih kepada kerjaya nyanyian, Aliff mengatakan dia kini sedang dalam rangka promosi lagu Abang Nak Tegur.  

aliff syukri dedah bayaran lakonan 2

"Alhamdulillah, sambutan baik dan sudah pun dimainkan di radio tempatan dan pencalonan Muzik-Muzik.

"Insya-Allah, pihak syarikat rakaman ada perancangan untuk single kedua saya, sebagai penyanyi saya ikut sahaja yang terbaik," katanya.

Kredit foto: Instagram Aliff Syukri

Sumber berita: Mstar 




Hakcipta iluminasi.com (2017)