Seorang remaja berusia 19 tahun berjaya terselamat selepas 49 hari terapung tanpa arah beribu batu jauhnya di tengah Lautan Pasifik dengan hanya berbekalkan makanan dan minuman yang amat terhad.
Bekerja sendirian di tengah lautan
Aldi Novel Adilang yang berasal dari Sulawesi, Indonesia bekerja sebagai penjaga lampu di atas sebuah perangkap ikan terapung yang dipasang 125km dari pesisiran pantai. Seorang tukang penjaga lampu seperti Aldi perlu menarik minat ikan dengan menghalakan lampu ke arah pukat.
BESARKAN TEKS A- A+
Aldi telah bekerja bersama syarikat perikanan di perairan Manado itu sejak berusia 16 tahun lagi dengan bayaran sekitar RM538 sebulan. Seorang pegawai dari syarikat akan datang mengutip hasil tangkapan dan meninggalkan bekalan makanan selama seminggu untuk penjaga rumah rakit yang dipanggil rompong.
Sekitar bulan Julai 2018, Aldi sedang bekerja seorang diri di atas rompongnya seperti hari-hari yang lain. Rumah rakit Aldi adalah salah satu daripada 50 buah rompong yang terdapat di situ namun ia terletak agak berjauhan daripada rompong-rompong yang lain. Setiap rumah rakit ditambat menggunakan seutas tali panjang yang diikat pada sauh di dasar laut.
Hanyut seorang diri selama tujuh minggu
Pada malam kejadian, hujan lebat dan tiupan angin ribut yang sangat kuat telah menyebabkan tali rompong Aldi terlepas daripada ikatan menyebabkan dia dibawa arus tanpa arah tujuan.
Setelah 49 hari hilang, lokasi anak muda ini akhirnya ditemui selepas menggunakan radio kecil yang diberikan oleh rakannya. Ketika ditemui pada 31 Ogos 2018, Aldi sudahpun hanyut di perairan Guam iaitu sejauh 1,920km dari lokasi asalnya. Dia diselamatkan oleh sebuah kapal MV Arpeggio dari Panama dan dihantar ke pelabuhan di Jepun pada 6 September 2018.
Melangsungkan hidup
Dilaporkan, Aldi hanya mempunyai bekalan makanan terhad yang hanya cukup untuk dua ke tiga hari sahaja. Dia meneruskan kehidupan sepanjang tempoh tersebut dengan menangkap ikan, membakar sedikit kayu daripada rumah rakit tersebut untuk memasak dan menapis air laut menggunakan kemeja-T untuk membuang sisa garam sebanyak yang mungkin.
Menurut duta Indonesia di Osaka, Aldi sering menangis dan berasa takut sepanjang masa dia dibawa arus di tengah lautan. Harapannya juga semakin hancur apabila lebih 10 buah kapal Jepun yang melalui kawasan dia berada tidak dapat mengesan kehadirannya di situ.
Setiap kali ada kapal yang lalu, dia cuba memasang lampu sambil mengibas-ngibaskan kemeja-T namun usahanya tidak berjaya. Selepas itu dia cuba pula untuk berhubung dengan menghantar isyarat kecemasan kepada kapal tersebut melalui radio yang dimiliki.
Akhirnya usaha Aldi membuahkan hasil apabila kapal Panama tersebut dapat mengesan Aldi. Kapal MV Arpeggio yang sedang menuju ke Jepun itu menghubungi stesen pengawal pantai Guam dan mereka membuat keputusan untuk menyerahkan Aldi kepada pejabat kedutaan Indonesia di Jepun sebaik berlabuh di Tokuyama.
Aldi diberikan rawatan perubatan sejurus tiba di Jepun dan dibenarkan pulang untuk kembali ke pangkuan keluarga di Indonesia pada pertengahan September 2018.
Keajaiban doa
Melalui satu temu bual dengan Tribun News, Aldi menceritakan kembali kisahnya di mana dia tidak sangka akan dijumpai dan hanya terfikirkan kematian sahaja sepanjang tempoh dibawa arus tersebut.
Pernah Aldi pernah memasang niat untuk mencabut nyawa sendiri akibat putus asa namun dia teringat kembali kata-kata orang tuanya yang sentiasa menyuruh dia berdoa apabila menghadapi saat sukar. Setiap hari Aldi berdoa agar dia diselamatkan dan selepas tujuh minggu, akhirnya doa Aldi dimakbulkan Tuhan.
Menurut ayah Aldi, Alfian Adilang, keluarga mereka sangat gembira dengan kepulangan Aldi. Walau bagaimanapun, mereka berasa agak berang dengan majikannya yang dilihat seperti tidak bertanggungjawab kerana ini bukanlah kali pertama rompong anaknya hanyut ke tengah lautan. Sebelum itu, Aldi pernah dua kali dibawa arus berpunca daripada kesilapan yang sama namun dia tidak terdampar terlalu jauh dan dapat diselamatkan oleh kapal syarikat itu sendiri.
Selepas tragedi yang menimpa dirinya, Aldi membuat keputusan untuk tidak menyambung bekerja di atas rompong lagi dan pilihan ini dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapanya.
Kejadian ini mengingatkan kami pada kisah Salvador Alvarenga yang sesat di lautan sehingga 438 hari. Jika anda berada di tempat Aldi atau Salvador, apakah yang anda akan lakukan?
Rujukan:
1. Boston
2. Tribun News