Kisah-kisah pengembaraan yang menceritakan kesengsaraan manusia semasa di lautan menjadi antara catatan fiksyen dan juga sejarah yang kerap kali menjadi bualan. Terdampar di tengah laut tanpa bantuan, pelayar menghadapi kesukaran memahami lokasi serta waktu - terpaksa bergantung dengan naik turun matahari untuk mengetahui hari-hari yang berlaku.
Oleh kerana ketiadaan apa-apa binaan atau struktur untuk dijadikan penanda perjalanan di lautan, pelayar zaman dahulu tidak mengetahui berapa pantas mereka belayar. Jadi bekalan makanan dan minuman yang dibawa kerap kali berdepan masalah, sehingga terpaksa dicatu semasa di lautan.
BESARKAN TEKS A- A+
Berbeza dengan sistem batu dan kilometer (pada era moden) yang digunakan di darat, pelayar di lautan satu masa terpaksa mencipta kaedah sendiri bagi menentukan kelajuan mereka belayar. Untuk memahami kenapa unit 'knot' digunakan, kita perlu memahami apa itu satu batu nautika terlebih dahulu.
Apa itu satu batu nautika?
Berdasarkan bentuk bumi yang melengkung dengan setiap segmen bumi boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian yang mengambil kira jarak di antara satu titik latitud ke latitud lain. Setiap perubahan satu darjah pergerakan di bumi sekiranya dikira, bersamaan dengan 60 minit.
Dengan melakukan sedikit perkiraan mengambil kira jarak latitud, ahli matematik zaman dahulu mendapat solusi bahawa untuk setiap satu minit pergerakan di latitud yang konsisten, sebuah kapal akan berjaya belayar sejauh 1,852 meter atau 1.852 km.
Oleh kerana itu untuk setiap pelayaran di lautan, 1 batu nautika diisytiharkan bersamaan dengan 1.852 km. Jadi untuk pelayaran di lautan, jarak diukur dengan menggunakan kaedah ini serta diklasifikasikan menggunakan unit 1 batu nautika bermula sejak abad ke 15 lagi.
Apa itu 'Knot'
Berbeza dengan batu nautika, 'knot' pula digunakan bagi mewakili kelajuan - bukan jarak. Kisah bagaimana unit 'knot' dicipta sangat menarik untuk diperkatakan.
Berikutan ketiadaan cara atau kaedah yang lengkap untuk mengukur kelajuan dalam pelayaran di lautan, pelayar-pelayar menghadapi kesukaran menganggar masa yang mereka perlukan untuk belayar walaupun boleh menganggar jaraknya.
Pada abad ke 16, pelayar-pelayar di Belanda mula mencipta satu kaedah bagi mengukur kelajuan kapal mereka dengan menggunakan kayu yang dikenali sebagai Dutchman's log. Kayu itu ditandakan dengan beberapa takat bagi mengetahui berapa masa diperlukan sebuah kapal melepasi jarak tersebut.
Kaedah ini ditambah baik lagi oleh pelayar-pelayar selepas itu. Dengan menggunakan tali yang sangat panjang serta dibuat simpulan-simpulan yang konsisten jaraknya antara satu sama lain serta diikatkan kayu sebagai penanda. Tali yang panjang itu dijadikan ukuran berdasarkan kepada ukuran 1 batu nautika, dengan setiap penanda yang dipasang diberikan jarak 14.4 meter setiap satu.
Dengan mengambil kira jarak di antara simpulan-simpulan serta dibandingkan dengan tempoh 30 saat, pelayar zaman itu mengira tempoh waktu yang diperlukan bagi setiap simpulan yang ada pada tali tersebut melepasi jarak yang telah mereka tetapkan.
Dalam cubaan itu, mereka mendapati untuk setiap satu simpulan atau 'knot', jarak yang dapat dihabiskan oleh kapal itu menyamai 20.25 inci/saat atau 1.8516 km/jam.
Berdasarkan usaha itu, pelayar Eropah zaman tersebut mula menggunakan knot sebagai unit ukuran kelajuan mereka, diambil daripada tempoh masa simpulan yang mereka buat pada tali panjang itu.
Rujukan