Agama Islam telah wujud di Amerika Utara beratus-ratus tahun lamanya, sejak apabila hamba-hamba daripada Afrika yang beragama Islam telah dibawa ke sana. Apa yang menariknya ialah, terjemahan al-Quran bahasa Inggeris telah menjadi salah satu buku yang paling laris di kalangan penganut Kristian Protestan di England dan koloni Amerika mereka pada tahun 1700-an.
BESARKAN TEKS A- A+
Salah satu daripada pembaca terjemahan al-Quran itu ialah Thomas Jefferson, salah seorang Bapa Pengasas yang juga merupakan Presiden Amerika Syarikat yang ketiga.
Salinan terjemahan al-Quran peribadi milik Jefferson mula menarik perhatian baru-baru ini, apabila Rashida Tlaib yang menjadi salah seorang daripada dua wanita Islam yang dipilih untuk menjadi ahli Kongres.
Rashida Tlaib
Rashida telah mengumumkan bahawa dia akan menggunakan terjemahan al-Quran salinan peribadi Jefferson semasa upacara mengangkat sumpah namun kemudian menggunakan salinan terjemahan miliknya sendiri.
Ini bukanlah kali pertama seorang anggota Kongres Amerika Syarikat mengangkat sumpah menggunakan al-Quran. Sebelum ini, anggota kongres Islam yang pertama iaitu Keith Ellison telah melakukannya pada tahun 2007 menggunakan terjemahan al-Quran yang berusia lebih daripada satu abad.
Seorang profesor sejarah di University of Texas di Austin dan penulis buku Thomas Jefferson Quran : Islam and the Founders iaitu Denise A. Spellberg berkata, populariti al-Quran meningkat di kalangan Protestan di England dan Amerika Utara adalah kerana rasa ingin tahu yang tinggi.
Salah seorang pemerintah Empayar Uthmaniyyah
Selain itu, ramai yang menyangka bahawa al-Quran adalah buku mengenai undang-undang dan mereka ingin memahami orang Islam itu sendiri. Ini kerana mereka sering berinteraksi dengan orang Islam sejak sekian lama terutama di Empayar Uthmaniyyah dan di Afrika Utara.
Selain itu, beberapa dinasti Islam yang menguasai beberapa bahagian dunia telah lama menarik minat orang Eropah untuk mengkaji agama itu. Ketika itu Islam juga terkenal kerana kebudayaan, syair, seramik, tekstil serta seni binanya.
Jefferson membeli terjemahan al-Qurannya semasa dia merupakan seorang pelajar undang-undang pada tahun 1765, ia mungkin disebabkan minatnya dalam memahami undang-undang Empayar Uthmaniyyah.
Thomas Jefferson
Terjemahan al-Quran juga mungkin telah mempengaruhi Jefferson ketika dia menulis Undang-undang Kebebasan Agama Virginia yang melindungi hak penyembahan untuk orang Yahudi, Kristian, Islam, Hindu dan agama-agama denominasi yang lain.
Toleransi keagamaan yang dianuti ini mengkin kebanyakannya merupakan teori bagi Jefferson. Pada masa itu, dia dan kebanyakan warga Eropah yang lain mungkin tidak menyedari betapa besarnya Islam telah berkembang dan menjadi sebahagian daripada Afrika yang tidak dikawal oleh Empayar Uthmaniyyah.
Terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Inggeris pertama
Ini bermaksud bahawa, secara ironinya mereka tidak menyedari bahawa kebanyakan hamba-hamba yang mereka dagangkan di Amerika Utara telah memeluk agama Islam yang mereka sedang pelajari.
Terjemahan al-Quran milik Thomas Jefferson adalah keluaran tahun 1734 dan diterjemahkan oleh seorang peguam Inggeris bernama George Sale.
Ia merupakan terjemahan al-Quran secara terus yang pertama daripada Bahasa Arab kepada Bahasa Inggeris. Terjemahan al-Quran dalam Bahasa Inggeris sebelum ini adalah terjemahan daripada edisi Bahasa Perancis yang diterbitkan pada tahun 1649.
Terjemahan George Sale ini kekal sebagai terjemahan definitif al-Quran sehingga akhir tahun 1800-an. Dalam permulaan terjemahannya, George Sale menyatakan tujuannya menterjemahkan al-Quran daripada Bahasa Arab ini adalah untuk membantu penganut dan mubaligh Kristian Protestan untuk memahami al-Quran itu sendiri agar boleh digunakan sebagai perdebatan perbezaan pendapat.
George Sale menyatakan bahawa terjemahan yang dibuat itu adalah suatu keperluan untuk mendedahkan sebarang ketidakadilan dan 'penipuan' dalam terjemahan asal yang dikatakan terlalu berpihak kepada umat Islam.
Pada hakikatnya, George Sale hanya belajar Bahasa Arab ketika masa lapangnya sahaja dan tidak pernah sekalipun melawat mana-mana negara Muslim. Sale kebanyakannya hanya merujuk kepada buku-buku yang terdapat di perpustakaan miliknya sahaja termasuk terjemahan al-Quran versi Latin.
Walaupun beberapa terjemahan George Sale dilihat terkeluar daripada objektifikasi sebenar, tetapi terjemahannya dilihat adalah lebih baik dan positif berbanding terjemahan yang pernah dihasilkan sebelumnya.
George Sale melihat Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang mulia dan berbudi pekerti yang tinggi. Selain itu, Sale juga sangat mengagumi hukum-hakam yang terkandung di dalam agama Islam itu sendiri. Ada sesetengah pihak yang membenci Islam telah menganggap bahawa George Sale ini adalah kafir kerana melakukan terjemahan al-Quran ke dalam Bahasa Inggeris.
Walaupun terjemahan yang dihasilkan George Sale secara teorinya merupakan alat yang digunakan para mubaligh untuk berdakwah, mereka tidak melakukan sebarang aktiviti dakwah ketika zaman Jefferson.
Ini kerana mubaligh Protestan tidak memulakan perjalanan ke Afrika dan Timur Tengah dengan tujuan yang jelas untuk menarik orang Islam menyertai Kristian hinggalah pada akhir abad ke-19.
Keith Ellison ketika mengangkat sumpah sebagai ahli Kongres
Profesor Spellberg juga menyatakan bahawa terjemahan al-Quran yang pertama dilakukan secara langsung daripada Bahasa Arab ke Bahasa Inggeris oleh George Sale telah ditaja oleh persatuan mubaligh Anglican.
Walaupun terjemahan al-Quran yang dihasilkan oleh George Sale itu mempunyai 200 muka surat pengenalan yang ditulis oleh Sale, versi itu adalah buku yang paling laris penjualannya ketika itu.
Memandangkan sejarah yang ada pada terjemahan al-Quran milik Thomas Jefferson itu, ia menjadi pilihan Rashida Tlaib dan Keith Ellison untuk menggunakannya ketika upacara angkat sumpah yang dilakukan mereka ketika dilantik menjadi Kongres.
Secara amnya, kedua-dua ahli Kongres itu menggunakan terjemahan al-Quran itu kerana kaitannya dengan Bapa Pengasas Amerika itu sendiri dan sejarahnya di negara itu berbanding kepercayaan mereka sebagai seorang Muslim terhadap kitab suci umat Islam itu.