Kredit foto: Instagram Ziana Zain

Penyanyi Ziana Zain akui beliau tidak sekalipun menyimpan dendam terhadap bekas suaminya, Armin Zaharin selama tempoh usia perkahwinan mereka yang mencecah 20 tahun.

Ini berikutan, Ziana atau nama lengkapnya, Siti Roziana Zain, 50, mendedahkan dirinya bukanlah seorang yang pendendam, apatah lagi kesalahan suaminya itu sudahpun dimaafkan sebelum perceraian mereka lagi.

“Sudah lama saya maafkan... Saya tidak berdendam dan saya bukannya orang yang begitu,” katanya memetik laporan Mstar Online.

Pada 2.45 petang semalam, bertempat di Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam, Armin, 53, melafazkan cerai talak satu terhadap penyanyi Puncak Kasih ini.

Berkenaan perceraiannya pula, penyanyi bersuara lantang itu memberitahu, dia masih belum dapat menafsirkan perkara yang terjadi, bagaimanapun bersyukur kerana semua urusan berjalan dengan lancar.

Ziana berkata, dia memohon agar orang ramai dapat mendoakan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilalui beliau dan bekas suami selepas episod perceraian itu.

akhirnya ziana zain dedah sudah maafkan armin 2

Kredit foto: Instagram Ziana Zain

“Saya sendiri tak tahu nak cakap apa atau mentafsirkan air mata saya namun Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik.

“Sekarang fokus saya hanyalah anak-anak dan perkara lain saya tidak mahu fikir buat masa ini,” katanya.

Masalah keretakan rumah tangga mereka mula dihidu media selepas Armin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mencederakan anak mereka pada Mac lalu.

Ziana dan bekas suami yang disatukan pada 9 Mei 1998 dikurniakan empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.




Hakcipta iluminasi.com (2017)