Oleh pada 11 Jun 2020 kategori

Setiap hari kita bercakap, menulis dan berkomunikasi menggunakan bahasa secara semulajadi.

Proses penghasilan bahasa  berlaku secara spontan dan asli, melalui proses cedokan dan pinjaman serta pertambahan frasa yang telah memakan masa beratus atau beribu tahun lamanya.

Bagaimanapun tanpa kita sedar, ada kalanya proses itu telah menyebabkan wujud beberapa peraturan tidak rasmi, yang tidak kita sedari diaplikasikan dalam pelbagai bahasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu pPeraturan ini yang sangat jelas berlaku dalam Bahasa Inggeris dinamakan sebagai 'pengulangan semula ablaut' atau 'ablaut reduplication' sebenarnya sangat memberikan pengaruh besar dalam komunikasi kita setiap hari, tanpa kita sedar atau tidak.

Trend baru ayat zaman media sosial

together gather slanga moden

Pernah tak anda nampak penulis di media sosial menggunakan istilah 'together-gather' dalam penulisan mereka?

Walaupun penggabungan dua perkataan itu dari segi tatabahasanya adalah salah, pengulangan slanga itu dalam bentuk 'to gather-gather' atau 'together-gather' cukup popular di kalangan ahli masyakat kerana sebutannya agak sedap bukan?

Cuba sebut kuat-kuat. 'TOGETHER-GATHER!'

Sedap kan? Anda tahu tak penciptaan frasa itu (walaupun salah) sebenarnya merupakan salah satu cabang utama proses pembentukan perkataan dalam bahasa, yang dinamakan sebagai 'pengulangan semula' atau 'penduplikasian semula'. Dalam bahasa Inggeris, teknik ini disebut sebagai 'reduplication.'

Wujud beberapa jenis 'pengulangan semula' yang ditemui dalam bahasa seperti pengulangan leksikon, pengulangan fonologikal atau pengulangan penguasaan bahasa. Kali ini, kita hanya fokus kepada satu cabang penting yang kita tak sedar kita amalkan diistilahkan sebagai 'pengulangan ablaut.'

Pengulangan semula adalah teknik ulangan yang banyak digunakan sama ada dalam usaha membentuk perkataan baru atau hanya sekadar untuk menghasilkan slanga yang mencantikkan bahasa; seperti contoh kami di atas 'together-gather.'

Antara frasa lain yang layak dikategorikan sebagai pengulangan semula dalam bahasa Inggeris adalah 'single-mingle', 'calling-calling', 'zig-zag' atau nama coklat 'Kit-Kat.' Bahasa Melayu? 'Jalan-jalan', 'makan-makan', 'haru biru', ronda-ronda' dan bermacam lagi.

Nampak persamaan antara semua istilah di atas dan bagaimana pengulangannya berlaku?

Apa itu ablaut?

duplikasi ablaut bahasa inggeris

Bagi peminat kajian linguistik, istilah 'ablaut' pasti kerap anda dengari. Bagi orang kebanyakan, pasti ramai yang menggaru kepala memikirkan apa bendanya 'ablaut' ini.

'Ablaut' adalah kaedah mengubah huruf dalam sesuatu perkataan, untuk digantikan dengan huruf lain sama ada huruf vokal dan konsonan bagi membentuk perkataan baru yang mungkin membawa makna mirip perkataan asalnya atau satu makna baru.

Dalam bahasa Inggeris khasnya, orang Inggeris gemar membezakan satu kata yang mewakili kata kerja sama ada yang sedang berlaku (present) dan telah berlaku (past tense) dengan melakukan perubahan ablaut kepada frasanya

Sebagai contoh 'sit' bermakna duduk, 'sat' bermakna telah duduk. 'Write' dan 'wrote.' 'Eat' dan 'ate.'

Ada enam kategori berbeza ablaut kesemuanya, tetapi demi menjaga kepanjangan artikel, topik itu akan kita bincangkan lain kali.

Ablaut dinamakan sedemikian rupa pada abad ke 19, mengambil istilah Jerman 'ablaut' yang bermakna 'mengurangkan bunyi' oleh seorang ahli linguistik bernama Jacob Grimm.

Walaupun masih baru, penggunaan kaedah 'ablaut' dalam bahasa lain sudahpun dimulakan sejak 2000 tahun lampau. Bahasa Sanskrit yang merupakan antara bahasa tertua dunia juga menggunakan kaedah serupa dalam mempelbagaikan penciptaan istilah-istilah baru, bagi memudahkan pemahaman penuturnya.

Apa itu 'pengulangan semula ablaut'?

tick tock bunyi jam

Jika anda membayangkan bunyi loceng pintu rumah dalam kepala, bunyi apakah akan anda dengar? Pasti anda akan membayangkan bunyi 'ding-dong.'

Kenapa pula bukan 'dong-ding'?

Kenapa jongkat-jongkit dinamakan 'see-saw', bukan 'saw-see'? Kenapa kita sebut bergerak bersimpang siur sebagai 'zig-zag' bukan 'zag-zig'? Selipar yang anda pakai, bukan 'flop-flip' kan?

Aneh sekali bunyinya bila kita terbalikkan istilahnya. Secara automatik frasa yang kami senaraikan di atas menjadi kurang enak untuk didengari dan yang lebih penting, tak seronok untuk diungkapkan bila kita ubah kedudukan huruf vokalnya.

Kenapa itu berlaku? Fenomena keganjilan yang anda boleh rasai itu sebenarnya datang daripada peraturan 'ablaut reduplication' yang ada dan kita pegang tanpa kita tahu pun perkara itu berlaku - khasnya dalam bahasa Inggeris bagi membantu mencantikkan pertuturan bahasa.

Salah satu peraturan yang ada adalah apabila dua perkataan berbeza perlu diulangi (pengulangan), perkataan yang awal mestilah mengandungi bunyi vokal yang berbunyi 'i' atau 'ee' terlebih dahulu sebelum 'a' atau 'o' sebagai vokal kedua.

Contohnya - 'tik tok', 'ping pong', 'Tic Tac', 'King Kong', 'see-saw' atau 'Hip Hop.'

Nampak bagaimana huruf vokal 'i' atau 'ee' mendahului semua huruf vokal lain? Itu adalah peraturan pertama pengulangan semula ablaut yang berlaku secara tidak rasmi, tetapi sangat membantu menghasilkan bunyi yang sedap.

Cuba terbalikkan kesemua huruf vokal dalam senarai kami di atas dan sebutkan kuat-kuat; "TOK TIK! PONG PING! TAC TIC! KONG KING! HOP HIP!"

Aneh bukan?

Peraturan kedua dalam menjana perkataan sedap

bing bang boom

Peraturan pertama menyusun dua perkataan berpandukan kepada susunan huruf vokal. Peraturan kedua dalam penduplikasian ablaut ini terpakai kepada istilah yang menggabungkan tiga perkataan.

Seandainya sesuatu frasa itu dibentuk daripada tiga perkataan serentak, susunan vokal dalam istilah itu mesti mengikuti turutan vokal 'i' atau 'ee' sebagai yang pertama, kedua vokal 'a' dan mesti berakhir dengan vokal 'o.'

Kita ada 'tic tac' yang menggunakan gabungan dua perkataan. Apabila dipanjangkan, ia akan menjadi 'tic tac toe.'

Nampak bagaimana susunan huruf vokalnya diaturkan?

Wujud juga istilah 'bish bash bosh', 'splish-splash-splosh', 'bing bang boom' serta beberapa lagi yang jelas mengekalkan ritma susunan vokalnya mengikut peraturan kedua ini.

Adakah teknik serupa diamalkan dalam bahasa Melayu?

budak kecil mandi manda

Pengulangan ablaut ini merupakan satu teknik yang digunakan bagi mencantikkan atau menambahkan penekanan pada bahasa. Ada kalanya perkataan tambahan yang disebut tidak membawa sebarang makna pun, sekiranya berdiri sendiri.

Apa yang menarik untuk kita tahu, bahasa Melayu pun turut sama mengamalkan teknik pengulangan semula tetapi tidak jelas apakah peraturan tidak rasminya.

Jika bahasa Inggeris ada dua peraturan yang mengawal pengulangan semula, bahasa Melayu mengandungi banyak contoh pengulangan serupa di mana sesuatu frasa itu diulang dengan perbezaan kecil sama ada pada huruf vokal atau konsonan; bagi memperkuatkan makna yang ingin disampaikan.

Antara pengulangan yang ada dalam bahasa Melayu adalah frasa sayur-mayur, cerai-berai, kuih-muih, selok-belok, lauk-pauk, hiruk-pikuk, gunung-ganang, bukit-bukau, mandi-manda, batu-batan, lintang-pukang dan anak-pinak.

Namun tidak nampak sebarang peraturan atau kaedah tetap dalam menentukan bentuk perkataan yang akan diulangi seperti dalam bahasa Inggeris, di mana susunan huruf vokal akan menentukan tempat letak perkataan itu.


Kami harap artikel ini membantu anda untuk lebih menghargai bahasa yang kita gunakan, tak kiralah bahasa Melayu atau bahasa Inggeris kerana tradisi yang ada di dalamnya unik untuk kita pelajari.

Harap semua dapat calling-calling dalam ruangan komen, supaya kita boleh together-gather dapat memahami selok-belok dan hiruk-pikuk bahasa, sambil makan mayur-sayur.

Mayur-sayur? Pelik kan bunyinya. Kenapa kita ulang sebagai sayur-mayur? Apa bezanya 'sayur-mayur' dan 'sayur-sayuran'? Itulah keindahan bahasa kita. Penggandaan dalam bahasa Melayu boleh datang dalam pelbagai kaedah hanya untuk menyedap dan memperhalusi bahasa kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)