Sepanjang sejarah, terdapat segelintir manusia di mana sumbangan mereka kepada sains dianggap luar biasa dan tidak dapat dilupakan. Antara beberapa nama terkenal dalam bidang aeronautik ialah seperti da Vinci, Montgolfier, Zeppelin, Wright, Alcock, Lindbergh dan ramai lagi.
Namun, terdapat juga nama-nama besar dalam bidang ini yang telah hampir dilupakan walaupun jasa mereka benar-benar luar biasa. Antaranya ialah ilmuan Islam yang juga merupakan seorang saintis, sejarawan, penyair, pencipta dan perintis penerbangan iaitu Abbas Ibn Firnas.
BESARKAN TEKS A- A+
Ramai yang terkejut apabila lelaki ini ialah manusia pertama yang berjaya terbang menggunakan jentera yang lebih berat daripada udara selama kira-kira 10 minit. Apa yang lebih menakjubkan ialah dia melakukannya 1,000 tahun sebelum Wright bersaudara, secara tepatnya pada tahun 875. Jadi, siapakah sebenarnya Abbas Ibn Firnas ini.
Latar belakang Abbas Ibnu Firnas
Beliau dilahirkan pada tahun 810 sebagai Abu al-Qasim Abbas Ibn Firnas di kota Ronda (di wilayah Malaga, Sepanyol). Tidak banyak yang diketahui tentang zaman kanak-kanaknya melainkan bahawa dia memperolehi pendidikan yang luas dalam pelbagai bidang.
Dia memperolehi pendidikannya itu di Cordoba, di mana pada waktu itu merupakan bandar paling kaya dan paling berpengaruh di Andalusia. Dia begitu menonjol sebagai seorang saintis, pencipta, penyair, ahli falsafah, ahli kimia, ahli muzik dan ahli astrologi. Kerana kehebatannya dalam pelbagai bidang ilmu itu, Abbas Ibn Firnas telah dikenali sebagai Hakim Al-Andalus (Cendiakawan Andalusia).
Ketika berada di Cordoba, beliau terus membangunkan aspek-aspek pengetahuannya yang memberi sumbangan besar kepada kemajuan sains dan seni di zaman pemerintahan Sultan Abdul Rahman II (memerintah dari 822–852) dan Sultan Muhammad I (memerintah dari 852-886).
Antara pengasas sains Quadrivium
Beliau adalah ahli sains yang pertama di Eropah yang menggunakan jadual astronomi Sindhind yang berasal dari India. Jadual itu kemudian terbukti menjadi asas perkembangan sains di Eropah dan digunakan untuk pengajian di universiti Zaman Pertengahan sebagai Subjek Quadrivium yang berkaitan dengan kajian muzik, aritmetik, geometri dan astronomi.
Beliau juga telah memperkenalkan kepada dunia Barat dengan teknik untuk mengukir batu kristal dan mengembangkan prosedur kimia untuk menghasilkan kristal dari beberapa mineral yang berbeza.
Abbad Ibnu Firnas pencipta jam anaforik dan sfera armila
Selain itu, beliau telah membina jam anaforik, satu mekanisma kompleks yang menggunakan air sebagai enjin cecair (tenaga). Aliran air ditutup atau dibuka dengan satu siri injap dan jam berfungsi untuk menentukan pada waktu bilakah siang atau malam. Ia adalah teknologi yang baru pada waktu itu.
Dia juga membangunkan sfera gelang atau sfera armila yang pertama di Eropah (peranti zaman silam yang terdiri daripada beberapa gelang logam yang mewakili khatulistiwa samawi, ekliptik dan bulatan sfera samawi yang lain) untuk melakukan pengiraan dan pengamatan astronomi.
Sfera gelang atau sfera armila
Antara contoh kehebatannya dalam bidang astronomi ialah, beliau membina planetarium yang teratur secara mekanikal di kediamannya di Cordoba yang mewakili cekrawala. Dia juga melengkapi planetarium itu dengan kesan bunyi dan visual yang mensimulasikan pelbagai fenomena cuaca seperti badai, kilat dan guruh.
Kehebatan Abbad Ibnu Firnas dalam bidang fizik penerbangan dan udara
Dalam bidang penerbangan pula, Abbas Ibn Firnas adalah rujukan luar biasa sebagai seorang pelopor penggunaan payung terjun dan juga sebagai orang pertama yang berjaya merekabentuk, membina dan menguji jentera yang boleh bertahan ketika melakukan penerbangan.
Beliau melakukan semua ini enam ratus tahun sebelum Leonardo da Vinvi mengembangkan rekaan mesin terbangnya dan lebih daripada 1,000 tahun sebelum Wright bersaudara melakukan penerbangan sulung mereka yang terkenal.
Wright bersaudara
Percubaan pertama yang dilakukannya ialah pada tahun 852, apabila beliau melompat dari menara Masjid Cordoba menggunakan kanvas sebagai payung terjun. Percubaan sedemikin tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Walaupun hasilnya Abbas Ibn Firnas mendarat dengan kasar dan mengalami kecederaan patah beberapa tulang, ia menunjukkan kaedahnya itu boleh berfungsi. Percubaannya itu merupakan penggunaan payung terjun yang pertama dalam sejarah.
Pencipta peluncur udara pertama di dunia dan berjaya terbang
Kemudian pada tahun 875, beliau telah menghasilkan sebuah peluncur (glider) yang diperbuat daripada kayu dan sutera dan dilengkapi hiasan bulu daripada beberapa jenis burung yang berbeza. Beliau kemudian mencuba peluncurnya dengan terjun dari Bukit La Arruzafa.
Abbas Ibn Firnas begitu yakin dengan ciptaannya sehingga dia menjemput ratusan orang untuk menyaksikan acara itu. Antara yang turut hadir ialah pegawai-pegawai istana yang mewakili Sultan Muhammad I, khalifah Andalusia.
Percubaannya itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya terbang menggunakan arus udara selama antara dua hingga sepuluh minit (terdapat beberapa rekod berbeza). Walaupun mengalami pendaratan yang sukar, beliau terselamat dan menjadi manusia pertama berjaya terbang menggunakan jenteranya.
Walaupun diambil kira rekod terpendek penerbangan yang dilakukan Abbas Ibn Firnas, ia adalah jauh lebih baik dalam bentuk masa dan jarak yang dicapai oleh Wright bersaudara pada tahun 1903.
Kini, nama Abbas Ibn Firnas banyak disemadikan di kebanyakan lapangan terbang, jambatan, bukit, taman, jalan dan pertubuhan sains terutamanya negara-negara Arab. Namun, namanya pasti dikenang sampai bila-bila apabila salah satu kawah di Bulan juga dinamakan sempena namanya.
Rujukan :