Daripada ribuan pemerintah dalam sejarah di seluruh dunia, hanya segelintir sahaja yang diberi penghormatan dengan gelaran "The Great". Biasanya, gelaran ini diberikan kepada pemerintah yang mempunyai sumbangan yang sangat besar ketika pemerintahannya.
Berikut adalah di antara beberapa pemerintah yang diberi penghormatan gelaran "The Great".
9. Yuknoom the Great : 600-680 Masihi
BESARKAN TEKS A- A+
Yuknoom Ch'een II adalah ketua Dinasti Ular kaum Maya dan dia telah memerintah selama 50 tahun. Ketika kemuncak pemerintahannya, dia berjaya mengalahkan dan menyatukan para pesaingnya. Disebabkan itu, dia dikenali sebagai salah seorang pemerintah kaum Maya yang terhebat.
Yuknoom juga berjaya membangunkan bandar Calakmul iaitu ibu kota bagi tamadun Maya. Di bawah pemerintahannya, bandar seluas 27 batu persegi itu mempunyai populasi seramai 50,000 orang dengan pelbagai kemudahan awam.
8. Kamehameha the Great : 1758-1819 Masihi
Raja Kamehameha I adalah orang pertama dalam sejarah yang berjaya memerintah dan menyatukan semua kaum di Pulau Hawaii. Dia yang dikatakan tinggi, kuat dan berani ini berjaya mengamankan keadaan di pulau itu ketika waktu pergolakan.
Kamehameha berjaya mengalahkan beberapa pesaing, menggagalkan beberapa pemberontakan dan menawan musuh dalam proses menubuhkan kerajaannya. Dia mempunyai kelebihan apabila bekerjasama dengan Inggeris bagi memperolehi kemahiran pembinaan kapal dan senjata.
Dia adalah raja pertama dan yang terhebat dalam sejarah Hawaii.
7. Tamar the Great : 1166-1213 Masihi
Tamar adalah pemerintah wanita pertama Georgia di mana ketika itu kebanyakan pemerintah dunia adalah lelaki. Dia bijak dan tahu memerintah rakyat serta diplomatnya sehingga Georgia pada waktu itu adalah dua kali ganda lebih besar berbanding hari ini.
Ketika penghujung pemerintahannya, Georgia merupakan salah sebuah kuasa besar pada Zaman Pertengahan. Selepas kematiannya, dia diberikan penghormatan dengan diadakan perayaan sempena namanya dan merupakan tokoh paling popular di Georgia.
Tamar the Great merupakan satu-satunya Raja wanita di Georgia.
6. Peter the Great : 1672-1725
Peter Alexeyevich memodenkan Rusia dan menjadikannya sebagai kuasa Eropah yang digeruni. Dia memperkenalkan banyak pembaharuan yang mempengaruhi setiap bidang kehidupan rakyatnya termasuklah pentadbiran, industri, perdagangan, teknologi dan budaya.
Peter juga membina maritim serta tentera laut pertama Rusia. Dia juga merupakan Raja Rusia pertama yang melancong ke luar negara. Dia juga merupakan pemerintah pertama Rusia yang menyokong pendidikan sekular dengan membuka banyak sekolah dan membiayai rakyatnya belajar di luar negara.
Walaupun mempunyai sumbangan yang besar, dia juga diingati dalam sejarah sebagai seorang yang sangat kejam.
5. Frederick the Great : 1712-1786 Masihi
Frederick II mempunyai minat yang mendalam terhadap seni, muzik, falsafah dan puisi. Selain itu, dia juga adalah seorang yang toleransi terhadap agama tetapi menyokong kemajuan dan sains (sains dan agama ketika itu tidak sehaluan).
Walau bagaimanapun, Frederick juga membuktikan dirinya sebagai seorang raja dan pemimpin tentera yang hebat. Dia berjaya meluaskan tanah jajahan Prusia (Jerman lama), memodenkan sistem keadilan, mengharamkan penyeksaan dan meliberalisasikan akhbar.
Salah satu kejayaan terbesarnya adalah memperkenalkan kentang dan lobak kepada petani Prusia sehingga menjadi tanaman makanan ruji di rantau itu.
4. Constantine the Great : 272-337 Masihi
Constantine I merupakan maharaja Rom pertama yang memeluk Kristian dan menamatkan penganiayaan undang-undang terhadap orang Kristian. Tanpa sokongannya, agama Kristian mungkin hanya menjadi sejarah.
Dia juga telah mengembangkan Empayar Rom dan membina banyak jalan raya, struktur dan bandar. Dia juga berjaya membangunkan bandar Konstantinopel sehingga menjadi bandar terbesar dan terkaya di Empayar Rom Timur.
Namun, Constantine I juga diingati atas tindakan kejamnya apabila menjatuhkan hukuman bunuh ke atas isterinya, Fausta dan anak lelakinya, Crispus atas alasan yang tidak diketahui sehingga hari ini.
3. Alfred the Great : 849-899
Alfred adalah salah seorang daripada beberapa pemerintah Inggeris yang diberikan gelaran "The Great". Dia adalah pemerintah Anglo-Saxon pertama yang mewujudkan pendamaian dengan Viking Denmak yang menyerang tanah Inggeris dengan kejam selama 100 tahun.
Dia kemudian mengembangkan pemerintahan Anglo-Saxon sehingga menjadi Kerajaan England dan menubuhkan sebuah dinasti yang bertahan sehingga hari ini.
Dia kemudian memperkenalkan mata wang Anglo-Saxon, memperbaharui sistem pendidikan, menubuhkan tentera laut England yang kuat dan pelbagai kemajuan lain.
2. Cyrus the Great : 580-529 SM
Cyrus dikenali kerana mengasaskan Empayar Parsi yang menjadi empayar terbesar dunia pada waktu itu. Empayar yang juga dikenali sebagai Empayar Echaemenid itu menjangkau lebih daripada 3,000 batu merangkumi Mesopotamia, Mesir, Palestin dan Turki.
Cyrus juga dikenali sebagai seorang raja yang bertolak ansur apabila membenarkan orang luar masuk ke dalam kerajaannya dan mengamalkan amalan keagamaan mereka selagi tetap setia dan membayar cukai.
Dia juga membenarkan lebih daripada 40,000 orang Yahudi kembali ke Jerusalem setelah ditawan Babylon. Dia juga telah mengasaskan Pasargadae iaitu kompleks istana hebat yang dianggap sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
1. Alexander the Great : 355-322 SM
Walaupun hanya hidup selama 32 tahun, Alexander the Great merupakan salah seorang pemerintah dan ahli strategi ketenteraan paling terkenal dalam sejarah. Kehebatannya bermula ketika zaman kanak-kanak lagi apabila dia berjaya menjinakkan kuda liar bernama Bucephalus yang tidak berjaya dijinakkan oleh sesiapapun.
Dia dikatakan tidak pernah dikalahkan dalam sebarang pertempuran selama 15 tahun walaupun berhadapan dengan tentera Parsi yang sangat digeruni. Dia telah berjaya mengembangkan Empayar Yunani sehingga ke Syria, Mesir, Babylonia dan Turki moden.
Sebagai anak murid kepada ahli falsafah Aristotle, Alexander menggunakan pendekatan mengajar berbanding paksaan terhadap kawasan dan penduduk yang dijajahnya. Dia akhirnya terkorban ketika dalam kempen mengembangkan pengaruhnya jauh ke India pada tahun 323 SM.