Oleh pada 21 Aug 2021 kategori

Ketika era Yunani kuno (kini Greece), hubungan sejenis diterima dalam masyarakat. Pasangan sejenis (terutamanya lelaki) sering menunjukkan kesetiaan yang tinggi terhadap satu sama lain sehingga Plato (ahli falsafah terkenal) mencadangkan pembentukan unit tentera yang terdiri sepenuhnya dari pasangan gay.

Dalam catatannya berjudul Symposium yang ditulis sekitar 370 SM, Plato menyatakan bahawa tentera yang terdiri sepenuhnya dari pasangan gay akan menjadi pasukan yang kuat dan tidak terkalah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dia percaya bahawa setiap orang dalam pasukan itu akan berjuang bermati-matian untuk memastikan keselamatan kekasih mereka terjamin ketika berperang. DIa mendakwa cinta akan menyebabkan seseorang itu mempunyai keberanian.

Tentera elit pasangan sejenis

Sebenarnya, beberapa tahun sebelum Symposium ditulis, satu pasukan elit seumpama itu telahpun ditubuhkan. Sekitar tahun 378 SM, satu pasukan elit yang dikenali sebagai "Hieros Lokhos" atau dalam Bahasa Inggerisnya "Sacred Band of Thebes" dibentuk sebagai salah satu cabang tentera Thebes (kota di Yunani Tengah, kini dikenali sebagai Thiva).

arca sacred band of thebes

Pasukan elit yang ditubuhkan oleh seorang jeneral bernama Gorgidas itu terdiri daripada 150 pasangan gay. Ini menjadikan keseluruhan jumlah ahli pasukan elit itu sebanyak 300 orang.

Untuk pengetahuan anda, pasukan elit ini tiada kaitannya dengan pasukan Spartan yang ketuai oleh Leonidas seperti dalam filem "300". Pertempuran antara tentera Leonidas dan Parsi itu berlaku 100 tahun sebelum Sacred Band of Thebes dibentuk.

Tugas pertama Sacred Band of Thebes adalah untuk menjadi barisan hadapan kepada tentera yang dipimpin oleh Chabrias (Jeneral Athen) menentang Agesilaus II (Raja Sparta) dalam Perang Boeotia (378–371 SM). 

Kejayaan Sacred Band of Thebes

Pembentukan Sacred Band of Thebes ini bukanlah sekadar aksi publisiti sahaja. Mereka terlibat dan memenangi beberapa pertempuran penting bahkan memainkan peranan penting dalam membantu Thebes menjadi kota yang penting di Yunani.

sacred band of thebes 2 145

Selain memenangi pertempuran menentang Raja Agesilaus II, pasukan elit itu juga memperolehi kejayaan dalam pertempuran terkenal lain seperti Pertempuran Tegyra (375 SM). Ketika itu, Sacred Band of Thebes bertempur sebagai unit tunggal (tidak bergabung dengan mana-mana unit lain).

Pada tahun 371 SM, mereka sekali lagi menang ke atas tentera Sparta dalam Pertempuran Leuctra. Ketika itu, Sacred Band of Thebes dipimpin oleh dua jeneral bernama Pelopidas dan Epaminondas (dipercayai sebagai pasangan kekasih).

Pemilihan dan latihan Sacred Band of Thebes

Kemasukan dalam pasukan itu tidak terbuka kepada orang ramai. Gorgidas sendiri akan memilih 300 ahli unit elit itu berdasarkan merit dan kebolehan mereka tanpa mengira latar belakang.

Selain itu, setiap pasangan mempunyai ciri-ciri pasangan homoseksual Yunani pada waktu itu di mana kekasih yang lebih tua sebagai pasangan dominan manakala kekasih yang lebih muda sebagai pasangan pasif.

yunani kuno

Pasangan yang diterima masuk juga perlu mengangkat sumpah untuk saling berbakti dan mencintai antara satu sama lain di Kuil Iolaus di Thebes. Iolaus adalah watas mitologi yang dipercayai anak saudara dan kekasih kepada Hercules (Yunani percaya bahawa Hercules adalah seorang biseksual). 

Unit elit ini perlu berada dalam keadaan terbaik dan sentiasa bersedia jika dipanggil menyertai peperangan. Semasa tidak berperang, mereka sering menghabiskan masa melakukan latihan ketenteraan dan fizikal.

Bahkan, mereka juga dilatih untuk bergusti, menari (supaya mereka mempunyai kebolehan tambahan selain ketenteraan) dan menunggang kuda (Gorgidas merupakan bekas pegawai pasukan berkuda). Kebolehan Sacred Band of Thebes dikatakan setanding dengan pasukan elit Sparta.

Pengakhiran tentera elit pasangan sejenis

Walaupun tidak pernah dikalahkan selama 40 tahun, Sacred Band of Thebes akhirnya kecundang pada tahun 338 SM. Ia berlaku ketika Pertempuran Chaeronea di mana Thebes dan Athens bergabung menentang tentera  Macedon (kini Macedonia) di bawah pimpinan Philip II dan anaknya, Alexander the Great.

alexander the great 65

Alexander the Great

Walaupun Sacred Band of Thebes sangat terlatih dan tidak terkalah tetapi mereka bukanlah lawan kepada tentera Macedon yang kuat. Ketika dikepung, Philip II memberi peluang kepada unit elit itu untuk menyerah kalah.

Namun, unit elit itu memilih untuk bertarung sehingga ke hujung nyawa. Kesemua 300 orang ahli Sacred Band of Thebes terbunuh dalam pertempuran itu. Malah, Philip II dilaporkan berasa sedih apabila unit elit legenda itu menjadi timbunan mayat yang tidak bernyawa.

Setelah unit elit itu dihapuskan, Thebes juga dikalahkan tentera Macedon. Dengan itu, berakhirlah penguasaan Thebes ke atas Yunani kuno. Sejak daripada itu, tiada lagi unit tentera elit yang ditubuhkan khas untuk tentera homoseksual.




Hakcipta iluminasi.com (2017)