Kenapa ada orang anak dia nampak berkebolehan, dengan ada sesetengah orang lain anaknya pula nampak seolah sukar untuk dikawal?

Tingkah laku yang diterapkan oleh ibu bapa sejak mula sebenarnya sangat penting dalam pembentukan peribadi awal usia kanak-kanak. Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam membantu merangsang anak-anak mereka supaya dapat memiliki sikap yang baik?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah tujuh perkara yang setiap ibu bapa patut amalkan hasil kajian sains, dalam memberikan anak-anak anda persediaan supaya mereka lebih berjaya kemudian hari.

1. Jangan didik anak yang dia boleh jadi apa yang dia nak

anak jadi pelakon terkenal

Kajian yang dilakukan melibatkan lebih 400 orang remaja mendapati remaja di Amerika Syarikat terlalu bebas dalam menentukan hala tuju masing-masing tanpa sebarang kekangan dari ibu bapa. Ini kerana ramai di antara mereka nak kerja yang bersifat 'hispter' seperti beraspirasi mahu menjadi seorang pemuzik, pereka permainan video atau atlit sukan.

Sepatutnya ibu bapa perlu mendorong anak untuk mempunyai impian yang lebih berpaksikan masa depan, kerana kerja-kerja tersebut bukanlah cita-cita yang mempunyai permintaan tinggi. Ajar anak supaya mempunyai impian, namun pastikan impiannya berpaksi pada realiti.

2. Makan bersama setiap hari

makan bersama keluarga

Dalam satu kajian yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Harvard, penyelidik mendapati golongan remaja yang meluangkan sekurang-kurangnya lima hari seminggu untuk makan bersama keluarganya mempunyai peluang lebih rendah untuk terlibat gejala masalah sosial.

Kesan positif makan bersama ini mengelakkan majoriti remaja terlibat dengan penyalahgunaan dadah, seks luar nikah serta masalah kemurungan. Mereka juga menunjukkan pencapaian lebih baik dalam pembelajaran, pertuturan serta rasa nilai diri.

3. Telefon pintar 24 jam? Tak boleh!

skrin berikan kesan pada mental anak

Kajian sains sudah membuktikan penggunaan telefon pintar serta peranti tablet memberi kesan kekal pada golongan kanak-kanak, dengan keupayaan mereka untuk memberikan fokus, bertutur dan kemahiran bersosial akan terjejas.

Bayi berumur 18 bulan ke bawah pula sepatutnya langsung tidak menonton sebarang jenis skrin dengan usia 2 hingga 5 tahun pula dihadkan selama satu jam sehari.

Kajian-kajian lain membuktikan kesan melarang penggunaan telefon pintar atau sebarang alat peranti di meja makan, kenderaan dan bilik tidur bagi remaja, akan memberikan kesan positif jangka panjang kepada hidup individu tersebut.

4. Berikan mereka kerja

kanak kanak bekerja

Kajian jangka panjang selama lebih 75 tahun yang dijalan Universiti Harvard, sejak tahun 1938 dan masih lagi berjalan, ada dua perkara yang membuatkan seseorang itu gembira. Pertama, rasa kasih sayang. Kedua? Etika kerja.

Hasil daripada kajian ini diterapkan sebagai panduan kepada ibu bapa dan hasilnya, penyelidikan menunjukkan kanak-kanak yang diberikan tugasan untuk dilakukan setiap hari mempunyai pemikiran yang lebih ke depan berbanding kanak-kanak lain.

Kanak-kanak yang sejak awal dilatih dengan tugasan, mempunyai sikap lebih professional ketika dewasa kerana mereka sudah mula memahami tugasan, walaupun tidak seronok untuk dilakukan merupakan sesuatu yang perlu dilakukan tanpa ada banyak pilihan.

5. Latih tabiat konsisten

buat kerja rumah

Penyelidikan yang dilakukan sejak tahun 1972 mendapati kanak-kanak yang mampu melawan godaan akan membesar dengan mempunyai ciri-ciri positif. Dalam kajian tersebut, kanak-kanak yang terpilih ditawarkan gula-gula di atas meja dan sekiranya mereka berjaya untuk tidak makan gula-gula tersebut selepas 15 minit, ganjaran gula-gula itu akan digandakan.

Majoriti kanak-kanak yang berjaya menahan diri daripada makan dalam eksperimen itu didapati mempunyai kebolehan sosial yang lebih baik, lebih bijak dalam ujian serta bebas daripada masalah sosial.

Eksperimen yang dijalankan membuktikan sekiranya kanak-kanak dilatih untuk mempunyai sikap konsisten sejak mula, mereka akan membentuk kegigihan sendiri secara semulajadi. Jadi ibu bapa perlu menyediakan tabiat yang konsisten setiap hari pada anak-anak, seperti mengemas atau tolong menyapu walaupun mereka berat melakukannya kerana tabiat yang konsisten itu - akan membentuk psikologi mereka.

6. Bacakan anak buku sejak bayi

banyakkan membaca 7dj18

Tahukah anda, bayi yang dibacakan buku sejak kecil akan menerima kesan positif sehingga dia besar? Itulah yang berjaya ditemui penyelidik pada tahun 2017 apabila bayi yang dibacakan buku sejak awal, mempunyai kemahiran bertutur dan membaca lebih cepat berbanding kanak-kanak lain.

Bayi yang dibacakan bahan bacaan sejak mula turut sama mempunyai kebolehan menulis nama sendiri lebih awal, dengan majoritinya mampu menulis nama sendiri seawal usia 4 tahun.

Jadi mulakanlah daripada hari ini membaca kepada anak-anak anda, cuma pastikanlah bahan bacaan yang dibaca itu sesuai dengan mereka.

7. Biarkan mereka berdepan kesusahan

biar anak usaha dan gagal

Salah satu perkara paling sukar untuk dilakukan ibu bapa, adalah membiarkan anak mereka berdepan kegagalan. Walaupun kegagalan itu sendiri negatif, kesan menghadapi kegagalan secara kendiri sejak kecil adalah sesuatu yang positif.

Kanak-kanak yang merasai kegagalan sudah belajar bagaimana menangani kegagalan itu. Mereka juga sudah merasai bagaimana dicabar, perlunya bekerja keras dan berusaha dengan konsisten. Kanak-kanak yang tewas akan mempunyai semangat yang lebih kental serta lebih terbuka untuk mencabar diri sendiri, dalam melakukan sesuatu tugasan.

Penyelidikan mencadangkan agar ibu bapa tidak tergopoh-gapah menyelamatkan anak-anak mereka ketika dia berhadapan kesukaran, kerana sikap ibu bapa itu akan dianggap oleh anak-anak sebagai satu bentuk ketidakpercayaan ibu dan bapa, pada kebolehan serta kemampuan anak sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)