Dengan penglibatan badan besar seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam menyediakan stesen pengecasan kenderaan elektrik, negara kita tampak sudah menemui batu loncatan utama dalam merealisasikan peralihan kepada kenderaan elektrik dengan lebih giat.

Namun kita tidak dapat menafikan kita masih di belakang negara maju seperti negara jiran kita, Singapura yang sudah di depan memanfaatkan teknologi yang dikenali sebagai EV untuk sebaran umum.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Situasi ini mengakibatkan kita di Malaysia agak kurang cakna tentang beberapa isu berkait EV, disebabkan kekangan yang ada.

Kami yakin anda ada banyak soalan 'bodoh' tentang kereta elektrik yang anda malu nak tanya. Berikut 8 soalan asas yang kami sendiri kerap fikirkan dan kami olahkan di sini, agar dapat membantu anda.

1. Apa beza kenderaan hibrid dengan elektrik?

beza kenderaan hibrid dan ev

Ini soalan paling asas.

Tak lama dahulu trend kenderaan hibrid pernah menjadi bualan, tetapi industri automotif tampaknya lebih fokus ke arah pembangunan kereta elektrik penuh, disokong teknologi bateri yang semakin baik.

Kenderaan hibrid mempunyai sistem enjin yang dipacu dengan kedua-dua model sama ada berasaskan petrol atau diesel, dengan motor elektrik dicas semasa enjin bergerak.

Sementara kenderaan elektrik pula hanya mempunyai motor elektrik yang dicas menggunakan plag dan kabel ketika dimatikan enjinnya.

Kami meramalkan kenderaan elektrik akan menjadi standard di masa depan, kerana kelebihannya yang terlalu besar. Enjinnya tidak perlu diisi dengan minyak fosil, membolehkan tidak ada pengeluaran asap dari ekzos.

Untuk jangka masa panjang, masalah pencemaran yang berlaku akibat emisi ekzos selama ini bakal diselesaikan. Jalan raya juga bakal jadi lebih senyap kerana enjin elektrik boleh dikawal tahap bunyi yang dihasilkannya.

2. Berbaloi ke tukar ke kenderaan elektrik?

hyundai kona kenderaan ev malaysia

Berbaloi atau tidak buat masa sekarang, masih perlu dilihat dalam perspektif bajet kita. Ini kerana kos pembelian dan penyelenggaraan kereta elektrik di Malaysia masih tinggi untuk orang kebanyakan. 

Jika anda lihat senarai kenderaan elektrik yang sudah dijual di Malaysia, kebanyakan model EV dengan rekabentuk serupa masih belum mampu menawarkan harga yang setanding dengan harga kereta berasaskan minyak fosil.

Mungkin kita masih perlu menunggu di antara 5 ke 10 tahun sebelum dapat menyaksikan kereta elektrik pertama dijual pada harga standard bajet orang Malaysia, sekitar RM60,000 ke bawah. Kita sama-samalah doakan.

3. Ada tak EV yang harganya bajet?

nissan leaf stesen charge cas

Nissan Leaf

Buat masa sekarang ada empat model kenderaan elektrik yang dikatakan paling bajet dalam pasaran kita...tetapi masih mahal jugalah.

Dua dikeluarkan syarikat China, iaitu BYD Atto 3 - adalah sebuah SUV 5 tempat duduk dengan harga di antara RM150,000 ke RM168,000. Satu lagi model adalah GWM Ora Good Cat, sebuah kereta hatchback yang menyerupai sebuah model popular dari Jerman, dijual pada harga RM140,000 ke RM170,000.

byd atto 3 malaysia

BYD Atto 3

Jika anda masih menyimpan was-was dengan jenama China, dua pilihan paling bajet dari Jepun dan Korea Selatan ada dalam pasaran kita. Nissan Leaf merupakan model yang berharga RM176,000.

Satu lagi pilihan adalah Hyundai Kona, yang menawarkan pilihan di antara RM157,000 hingga RM210,000 bergantung kepada spesifikasi. Tak perlulah kami senaraikan harga jenama Eropah di sini kan?

Kalau jenama Eropah, minimum RM250,000 ke atas adalah harga permulaan untuk model asas.

4. Senang ke nak cas kenderaan?

gentari stesen pengecas

Bercakap pasal kaedah cas kenderaan ni, kita perlu faham bezanya di antara cas di rumah dengan cas di stesen pengecasan.

Dengan menggunakan Nissan Leaf sebagai contoh, semua model jenama ini mempunyai bateri dengan kapasiti 40kWj. Setiap pembeli menerima pengecas jenis biasa yang boleh disambungkan ke soket elektrik rumah masing-masing, mampu mengecas selaju 6.6kWj. 

Ini bermakna kalau cas di rumah, model ini memerlukan kira-kira 7 jam untuk mengecas bateri sehingga penuh.

Stesen pengecasan seperti yang dikendalikan oleh TNB dan banyak lagi pengendali, mempunyai tahap pengecasan tinggi dengan kadar di antara 80kWj atau 180kWj. Untuk mengecas Nissan Leaf sehingga penuh baterinya (40kWj), anggaran 30 minit diperlukan jika kita menggunakan pengecas 80kWj.

Tetapi kita juga perlu tahu satu isu penting iaitu kos mengecas.

5. Berapakah kos cas kenderaan berbanding beli petrol?

stesen pengecas shell kapasiti tinggi

Majoriti pengendali stesen pengecasan menawarkan perkhidmatan pengecas yang dikira berasaskan tempoh minit penggunaan.

TNB sebagai contoh, mengenakan caj RM2.05 seminit untuk pengecas 80kWj atau RM2.35 untuk pengecas 100kWj.

Jika sebuah Nissan Leaf dari kosong hingga penuh memerlukan anggaran 30 minit yang kita darabkan dengan kos seminit pengecas 80kWj iaitu RM2.05, kita akan dapat jumlah kosnya RM61.50.

Cas di rumah menggunakan pengecas biasa yang berkapasiti 6.6kWj pula, memerlukan 7 jam pengecasan - memberikan kita kos RM10.07 atau 46.2kW sekali cas. 8 kali cas sebulan, kosnya sekitar RM112 tanpa mengambil kira penggunaan elektrik lain di kediaman kita. 

Nampak murah, tetapi bila dihitung dalam angka dunia nyata - kami yakin angkanya tak jauh beza dengan kos pembelian petrol bulanan anda. 

Sekali cas penuh membolehkan kita bergerak sejauh 310-330 km jaraknya, mengikut spesifikasi asal sebuah Nissan Leaf. Murah ke? Pada pandangan penulis, masih mahal buat masa sekarang. 

6. Kalau bateri habis, apa akan berlaku? 

turtle mode kereta elektrik

Inilah soalan paling ramai orang bimbangkan bukan?

Jawapannya mudah saja, kereta akan berhentilah; sama macam kereta kita habis minyak. 

Tetapi disebabkan teknologi EV yang memungkinkan wujud sistem perlindungan bagi pemandu, kenderaan elektrik sebenarnya lebih susah nak 'habis minyak' berbanding kereta biasa.

Bila cas sudah mula menurun ke satu tahap, sistem amaran akan dikeluarkan bagi mengingatkan pemandu untuk mengecas kenderaan mereka. Sekiranya amaran ini gagal dipatuhi, fungsi kenderaan yang dikategorikan tidak perlu akan mula dihentikan, untuk memaksimakan jarak pergerakan kenderaan.

Fungsi yang dikenali sebagai 'mod kura-kura' atau 'turtle mode' adalah sistem yang mengehadkan semua keupayaan enjin dan aksesori dalam kereta elektrik agar kereta memaksimakan jarak akhir pada kelajuan minimum, dengan anggaran kemampuan berjalan sejauh 5 ke 20 km lagi sebelum benar-benar kering.

Harus kami ingatkan, sistem ini direka dengan tujuan asas untuk membolehkan kenderaan dihentikan dengan selamat di lokasi yang bersesuaian. 

Kalau anda memandu kereta EV dan nampak ikon kura-kura seperti gambar di atas, bersedialah ya!

7. Siapa nak tolong kalau bateri habis?

nissan leaf tersadai ditolak

Dalam situasi di mana bateri benar-benar telah kosong dan kereta sudah dihentikan dengan selamat, apa yang pemandu boleh buat adalah telefon kawan dan minta kawan hantarkan minyak!

Hahaha! Taktik itu dah tak boleh lagi digunapakai la.

Oleh kerana sistem kereta elektrik hanya boleh dicas semula di lokasi yang ada sambungan elektrik, tidak ada banyak pilihan bagi pemandu melainkan memanggil trak tunda untuk mengangkut kereta ke stesen pengecas terdekat atau kenderaan tersadai dihantar pulang ke rumah.

Sekiranya anda bernasib baik tesadai betul-betul di tepi rumah orang, bolehlah juga anda ketuk-ketuk pintu rumah dia tanya kalau dia benarkan anda tumpang cas kereta anda.

Dapat cas dalam 2-3 jam pun jadilah; asalkan anda bawa bersama kabel pengecasan anda. Bagi la tuan rumah bayaran saguhati sebagai bayaran pinjaman dia.

Janganlah pula lepas cas, terus lari begitu saja.

8. Apa Malaysia perlu buat untuk rancakkan peralihan EV?

kenderaan pengecas ev mobil bergerak

Buat masa sekarang, jelas kos kenderaan jenis EV masih di luar jangkauan majoriti. Kami mohon Proton atau Perodua menawarkan kenderaan elektrik dengan harga bajet secepat mungkin.

Rupa macam Proton Juara pun tak apa, asal EV.

Pembangunan fasiliti menjadi perkara terbesar dalam menangani evolusi kenderaan elektrik. Memang semakin banyak stesen pengecas diwujudkan, namun kekangannya masih banyak.

Kadar pengecasan yang agak lama telahpun mengakibatkan kes-kes pemilik kenderaan bergaduh kerana terlalu lama menunggu. Ini adalah satu isu penting yang wajar ditangani. Kita isi minyak paling lama 5 minit pun, orang yang beratur tarik muka kalau kita lambat sikit.

Pemilik stesen pengecasan juga haruslah mula berfikir apa yang boleh ditawarkan kepada pemandu yang perlu menunggu. Paling tidak, pasanglah Playstation atau Netflix di stesen pengecas, supaya masa berlalu lebih pantas.

trak tunda rata untuk angkut ev

Menunda kenderaan elektrik pula biasanya memerlukan kereta tunda jenis rata, bukan jenis tarik.

Kami yakin dengan penggunaan lebih meluas, syarikat insurans serta tukang tarik kereta akan menambah baik dan memperbaiki perkhidmatan mereka - khususnya dalam mewujudkan sistem pengecas mobil yang dapat membantu pemandu yang tersadai tepi jalan.

Pemasangan alat pengecas di tempat awam seperti kompleks beli belah, kompleks pejabat dan lokasi lain yang menjadi tumpuan orang ramai harus digiatkan lagi.

Dari aspek pengguna, skim perumahan di negara kita juga sebaiknya sudah boleh  memperkenalkan dasar di mana setiap unit kediaman dipasangkan sistem litar elektrik 3 fasa (3 phase) sebagai standard, yang memungkinkan tahap beban elektrik lebih tinggi (22kW) disalur berbanding sistem fasa tunggal (7.5kW).

Pemasangan plag elektrik di kawasan parkir kenderaan kediaman juga seharusnya dilihat sebagai satu kemestian yang perlu ada, bagi memastikan Malaysia dapat beralih ke kenderaan EV dengan lebih lancar.

Bagaimana, ada rasa takut lagi tak nak beralih ke kenderaan elektrik? 




Hakcipta iluminasi.com (2017)