Kenderaan elektrik (EV) kini dianggap sebagai model masa depan pengangkutan, kerana model ini mampu menawarkan banyak manfaat yang membelenggu standard kereta berasaskan bahan bakar petroliam.

Dipuji kerana penjimatan penggunaan bahan api, selain mengurangkan pelepasan gas berbahaya ke udara dan kos operasi yang lebih rendah, EV memang tidak menghairankan kini diminati ramai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun di sebalik semua yang positif tentang EV, ada baiknya anda sebagai bakal pembeli perlu tahu dan menyedari beberapa kelemahan tertentu berkenaan kereta EV dalam spesifikasi yang ada sekarang.

1. Tayar lebih cepat haus

tayar ev haus

Salah satu isu yang kurang dibincangkan mengenai EV ialah kadar penggunaan tayar yang lebih cepat berbanding kereta konvensional.

Ini berpunca daripada rekaan EV sendiri yang cenderung lebih berat daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) disebabkan berat baterinya. Berat tambahan ini meningkatkan tekanan pada tayar, sekaligus meninggikan kadar geseran tayar dengan permukaan jalan. Belum lagi kita ambil kira pemandu EV yang ringan kaki, sikit-sikit nak memecut.

Menurut firma Emissions Analytics, bagi setiap 1,000 paun/453 kg berat tambahan kenderaan, pemakaian tayar akan meningkat sebanyak 20%.

Selain itu, tork yang memulakan enjin dengan kadar segera yang menjadi keistimewaan utama motor elektrik boleh menyebabkan tayar habis sehingga 20-50% lebih cepat berbanding tayar pada kenderaan konvensional.

Ramai guna EV untuk melindungi alam sekitar. Tetapi dengan isu ini, EV bukan sahaja meningkatkan kos penyelenggaraan tetapi juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar melalui pembungan tayar yang lebih kerap perlu diganti.

2. Masalah trak tunda

masalah trak tunda ev

Walaupun di negara maju kapasiti kereta tunda EV telah meningkat baik, isu kereta tunda khusus ini masih menjadi kebimbangan ketara.Ini kerana untuk menunda EV bukan kita boleh tunda macam biasa, kalau rosak. 

Salah satu cabaran utama yang dihadapi pemilik EV adalah kekurangan lori penunda yang khusus untuk menangani EV. Tidak semua lori penunda tradisional sesuai untuk menunda EV kerana keperluan unik kenderaan ini, seperti pengurusan bateri voltan tinggi dan sistem elektrik yang kompleks.

Jika EV mengalami kerosakan atau kehabisan bateri, ia memerlukan teknik penundaan yang khusus untuk mengelakkan kerosakan tambahan pada sistem bateri atau komponen elektronik.

Di banyak kawasan khususnya di kawasan pedalaman negara maju pun, terdapat kekurangan lori penunda yang dilengkapi dengan peralatan yang betul dan operator yang terlatih untuk menunda EV dengan selamat. 

3. Kebimbangan Jarak

bimbang jarak bateri ev

Isu kebimbangan jarak ni rasanya semua dah tahu memang benar-benar berlaku, di kalangan pemilik EV. 

Kebimbangan jarak atau range anxiety adalah ketakutan seseorang yang muncul bila dia bimbang EV yang dipandunya akan kehabisan bateri sebelum sampai ke destinasi. Walaupun terdapat kemajuan dalam teknologi bateri, jarak perjalanan EV masih terhad berbanding kenderaan konvensional.

Kajian International Journal of Low-Carbon Technologies menekankan bahawa kebimbangan jarak sehingga kini adalah penghalang utama kepada populariti penggunaan EV.

Kajian tersebut selain membincangkan masalah, turut mencadangkan penambahbaikan infrastruktur pengecasan dan penyediaan anggaran jarak yang tepat dapat membantu mengurangkan isu ini.

Walau bagaimanapun, perkara ini diramal akan mengambil masa lebih panjang jadi pengguna EV terpaksalah merancang perjalanan dengan baik, baik mengelakkan darah tinggi.

4. Masalah pembaikan

pembaikian ev rumit

Servis EV diketahui lebih murah, kerana mekanismenya jauh lebih ringkas. Tetapi membaiki EV yang ada kerosakan pula dikatakan lebih mencabar dan mahal berbanding membaiki kenderaan ICE.

EV mempunyai sistem elektrik kompleks dan bateri voltan tinggi yang memerlukan pengetahuan dan peralatan khas untuk dibaiki.

Menurut kajian Solera Holdings, kos pembaikan EV secara purata adalah 29% lebih tinggi berbanding kos pembaikan kenderaan ICE. Mereka juga mendapati bahawa bahagian yang dibangunkan khusus untuk EV, seperti bateri voltan tinggi dan unit kawalan bateri mempunyai kos yang sangat tinggi.

Laporan oleh Institute of The Motor Industry menunjukkan bahawa kekurangan juruteknik terlatih dan kerumitan pembaikan EV boleh menyebabkan masa pembaikan yang lebih panjang, membawa kepada kos yang lebih tinggi seterusnya mengakibatkan tuan punyanya lebih banyak berjalan kaki ke sana ke mari.

5. Masalah nilai jual terpakai

resale value ev jatuh

Kalau di Malaysia, 'resale value' memang menjadi ukuran populariti sesuatu jenama dan model kereta. Impaknya dalam EV pula, diramal jauh lebih besar kesannya.

Nilai jual semula EV berdasarkan kajian dalam pasaran di negara maju, dilapor secara puratanya lebih rendah daripada yang pemiliknya jangkakan. Salah satu sebabnya ialah kemajuan pesat dalam teknologi bateri itu sendiri yang secara automatik menjadikan model lama kurang menarik.

Selain itu, bakal pembeli juga merasa kebimbangan mengenai tahap penurunan bateri akibat penggunaan dan pengecasan. Kajian Highway Loss Data Institute mendapati bahawa EV mempunyai dilaporkan mempunyai 79% lebih banyak isu dan masalah berbangkit yang mempengaruhi kadar kebolehpercayaan setiap model terpakai, berbanding kenderaan ICE.

Akibat kebimbangan bakal pembeli, nilai jualan semula EV terjejas sehingga ramai terpaksa buang harga dalam melepaskan model milik mereka. 

Kesimpulan

Begitulah lima kelemahan utama pemakaian EV yang sedang dialami pemilik kenderaan EV di luar negara.

Menjadi pengguna teknologi terawal memang memerlukan seseorang bersabar dan bertahan dengan kerenah yang akan hadir, dalam memanfaatkan teknologi yang belum benar-benar matang pengendaliannya.

Adakah lima kelemahan ini akan menjauhkan anda daripada menjadi tuan punya kepada model EV? Bincangkan dalam ruangan komen media sosial kami ya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)