Oleh pada 29 Mar 2024 kategori

Dari segi teknologi, tidak dapat dinafikan ada banyak faedah yang akan kita sebagai sebuah masyarakat perolehi; sekiranya kita beralih kepada kereta elektrik secara majoriti.

Penggunaannya diramal dapat menjimatkan perbelanjaan dari segi kos 'bahan api' dan kesannya kepada alam sekitar juga memberikan impak lebih rendah berbanding kenderaan jenis bahan api fosil. Bagaimanapun dari segi sosialnya....adakah kita sebagai sebuah masyarakat sudah bersedia menerima impak buruknya pula?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap perkara ada pro dan kontra. Hari ini mari kita membincangkan tentang kontra penggunaan kereta elektrik kepada sebuah masyarakat, khususnya di Malaysia.

1. Kita akan banyak membuang masa

berebut slot pengecas

Pengecasan kereta elektrik, memerlukan masa yang agak panjang untuk dilakukan, sekitar 30 minit ke satu jam. Dalam waktu di mana penggunaannya masih dalam peringkat kecil, mungkin boleh kita kata masalah ini belum benar-benar kelihatan.

Tetapi bayangkan seandainya banyak pemilik kereta elektrik beratur untuk menunggu giliran mengecas, siapa yang akan cas terlebih dahulu?

Bagaimana aturannya ditentukan? Adakah anda sebagai pemilik akan menunggu saja di stesen menantikan kenderaan lain yang sedang mengecas?

Memang sudah ada sistem dibentuk bagi menentukan giliran kereta yang akan dicas, tetapi kalau anda duduk dalam giliran ke 5 dan setiap kereta memerlukan sekurang-kurangnya 40 minit untuk dicas; bagaimana anda akan meluangkan masa anda?

Apa yang akan anda lakukan sementara itu?

2. Kita akan marah kalau ada yang tertinggal kereta

pengguna kereta ev beratur

Satu perkara yang paling kerap terjadi di kalangan pemilik EV di luar negara, adalah kegagalan kenderaan yang sudah siap dicas dialihkan oleh pemilik kereta; menyebabkan ramai terpaksa menanti-nanti bila kenderaan akan beralih.

Apa yang akan anda buat sekiranya anda pemilik EV yang berhadapan situasi sedemikian? Cabut saja plag kereta yang sudah dicas, pasangkan kepada kereta anda?

Atau menunggu dengan sabar, menantikan tuan punya kereta itu hadir mengalihkan kereta mereka? Atau menunggu dengan tidak sabar, memaki hamun tuan punya kereta yang gagal mengalihkan kenderaan miliknya. Dia pun dengan muka ketat berlalu pergi tanpa memohon maaf menyebabkan kemarahan anda naik berlipat kali ganda.

3. Kita akan diserang 'kebimbangan jarak'

masalah akibat penggunaan ev

Sebagai pemandu kereta konvensional, kalau penanda minyak kereta dah berkelip-kelip tu kita dah boleh bajet berapa jauh lagi kita boleh pergi sebelum mengisi minyak. Jumpa saja stesen minyak tak kisah apa pengeluarnya, kita isi dan teruskan perjalanan.

Penulis pernah bertemu dengan seorang individu yang abangnya pemilik kereta EV. Mereka berjalan 4 kereta secara konvoi, 3 kereta biasa dan 1 EV. Pada awalnya semua orang kagumlah dengan EV miliknya...tetapi...kisahnya berubah segera.

Mungkin gagal menganggar jarak dengan tepat, ketika jarak perjalanan masih jauh pemilik kereta EV itu mula merasa gusar meminta agar kelajuan konvoi mereka diperlahankan demi menjimatkan cas. Berjalanlah mereka pada kelajuan jauh lebih perlahan berbanding biasa menantikan stesen pengecasan seterusnya.

Yang buat individu itu lebih meradang...dah sampai ke stesen, mereka semua tak pasal-pasal kena menunggu 45 minit untuk si abang 'mengisi cas' ke dalam kereta. Perjalanan yang patutnya lebih singkat, jadi lama berbanding biasa.

4. Malaysia panas!

pemilik ev beratur di china

Salah satu perubahan yang mungkin gagal dinilai dengan baik, khususnya di negara seperti China yang mempunyai pemilikan EV yang besar adalah faktor persekitaran kepada jalinan stesen pengecasan yang ada.

Di China, akibat suhu yang meningkat mengakibatkan bekalan elektrik yang perlu digunakan tidak dapat ditampung, sudah banyak situasi bekalan elektrik ke stesen-stesen pengecasan terpaksa dihadkan bagi memastikan grid elektrik tidak terputus.

Dan had yang dikenakan ini menyebabkan pemilik EV terpaksa mengecas lebih lama, beratur lebih panjang atau hanya dibenarkan akses pengecasan pada waktu tertentu, bila permintaan bekalan menjadi lebih rendah.

Isu ini bukan hanya timbul di negara beriklim panas seperti kita. Di negara-negara Eropah pun, haba menjadi satu faktor yang besar dalam menentukan kelancaran pengecasan berjalan.

5. Hidup kita sebenarnya akan jadi kurang teratur

masa menunggu cas ev terlalu lama

Satu faktor tentang EV yang masih belum dapat diperbaiki walau sehebat mana pun teknologinya, adalah berkenaan faktor praktikal, impak dan kesan penggunaannya kepada hidup kita.

Memiliki kereta sepatutnya menjadi satu kemudahan. Kita menggunakan kereta, kerana mesin itu memudahkan hidup kita. Memiliki EV pada masa sekarang, memerlukan kita pula yang mengubah hidup kita mengikut ragam kereta kita.

Anda perlu meluangkan banyak masa untuk mengecas. Anda akan diserang rasa gugup bimbang kenderaan anda habis cas. Kalau anda duduk di rumah pangsa atau apartment, anda terpaksa merancang bagaimana nak mengecas kenderaan anda.

Nak ke mana-mana pun, perlu dirancang terlebih dahulu. Kena semak ada tak stesen pengecasan. Boleh tak anda sampai ke sana dengan selamat? Seperti cerita kami di atas, pemilik EV yang berkonvoi akan melambatkan perjalanan orang lain, sekiranya kegugupan mula melanda.

Ketika ini, ramai pemilik EV memilih untuk hanya menggunakan kenderaan mereka dalam bandar di mana banyak terdapat stesen pengecasan, untuk mengelakkan masalah-masalah ini. Tetapi seperti yang sudah dilalui di negara-negara lain, memperbanyakkan stesen pengecasan pun tidak memadai.

Kerana bila semakin ramai beralih kepada EV, akan muncul pelbagai masalah lain yang jarang mahu diceritakan pemilik EV sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)