Saban tahun, terdapat peningkatan drastik dalam dunia perubatan. Para doktor sering menerbitkan laporan luar biasa mengenai kes pesakit-pesakit mereka yang menghidap pelbagai penyakit "rare" dan menarik. Ada antara penyakit ini sangat pelik kerana tiada penawar, tiada ubat dan tiada cara yang boleh mengubati dan menyembuhkannya. Anda mungkin terkejut dengan beberapa penyakit dalam senarai yang kami ingin kongsikan bersama ini.
BESARKAN TEKS A- A+
8. Fish Odor Syndrome (Trimethylaminuria)
Penyakit ini merupakan sindrom metabolik yang disebabkan oleh perkumuhan trimethylamine yang abnormal. Trimethylamine berasal dari pencernaan bakteria usus makanan yang kaya dengan kolin dan karnitin, biasanya dioksidakan oleh hati.
Proses pengoksidaan trimethylamine yang terganggu dianggap sebagai penyebab sindrom Fish Odor ini menyebabkan pesakit sentiasa berbau seperti ikan busuk pada nafas, air kencing, peluh, air liur dan rembesan vagina. Makanan tertentu yang kaya dengan kolin seperti daging, ikan salmon, kacang dan pelbagai lagi boleh memburukkan lagi keadaan pesakit.
7. Auto-Brewery Syndrome
Pernah terjadi beberapa kes di mana pesakit yang menderita sindrom ini telah ditahan oleh pihak berkuasa untuk menjalani ujian penafasan dan kemudiannya mendapati alkohol dalam badan mereka melebihi had yang dibenarkan, walaupun mereka tidak pernah minum minuman keras.
Ini kerana pesakit sindrom ini mempunyai sejenis ragi atau yiss (saccharomyces cerevisiae) yang terdapat dalam perut dan usus mereka serta menghasilkan etanol secara penapaian dalam perut. Disebabkan perkara ini, pesakit boleh menjadi mabuk walaupun tidak mengambil minuman keras. Keadaan ini biasanya berlaku kepada pesakit selepas mereka menjamah makanan yang kaya dengan karbohidrat.
6. Spatial Orientation Phenomenon
Setakat ini, hanya ada satu pesakit sahaja yang dilaporkan menghidapi penyakit ini di seluruh dunia. Dia adalah Bojana Danilovic, seorang wanita berusia 33 tahun dari Serbia yang melihat dunia secara terbalik, setiap masa. Dia menggunakan monitor komputer secara terbalik di pejabatnya, menonton TV secara terbalik di rumahnya serta membaca dan menulis secara terbalik.
Pakar perubatan berpendapat bahawa Danilovic mengalami keadaan neurologi yang aneh, walaupun secara teknikalnya dia melihat dunia secara biasa, namun otaknya membalikkan segala paparan semasa menafsirkan maklumat itu. Tiada siapa yang boleh memberikan jawapan secara tepat bagaimana ia mempengaruhi seseorang pesakit itu. Bagi Danilovic, ia sudah menjadi perkara normal.
5. Marie Antoinette Syndrome
Sindrom ini merujuk kepada perubahan warna rambut kepada warna putih dalam waktu yang singkat disebabkan keadaan emosi yang melampau, mendapat berita mengejutkan, melalui trauma atau kerja keras. Rambut yang bertukar menjadi putih itu mungkin akan kembali menjadi warna asal atau sebaliknya.
Istilah ini dicipta berdasarkan Ratu Perancis yang terakhir iaitu Marie Antoinette sebelum berlakunya Revolusi Perancis. Ratu itu dikatakan telah bertukar warna rambutnya pada tiga kejadian yang berbeza. Namun, pakar percaya ia mungkin berlaku disebabkan keadaan yang dinamakan Alopecia areata, genetik keturunan atau perubahan hormon.
4. Prader-Willi Syndrome
Sindrom ini adalah keadaan genetik kompleks yang memberi kesan kepada banyak bahagian badan. Sekiranya terjadi pada bayi, keadaan ini menyebabkan otot menjadi lemah (hipotonia), kesulitan makan, pertumbuhan yang lemah dan perkembangan yang lambat.
Namun, sekiranya ia bermula semasa zaman kanak-kanak, individu itu akan mempunyai selera makan yang tidak dapat dikawal, membawa kepada makan berlebihan kronik (hyperphagia) dan obesiti. Pesakit sindrom ini akan sentiasa berasa lapar sepanjang masa dan ingin makan secara berterusan walaupun sebenarnya sudah kenyang.
3. Dancing Mania
Penyakit Dancing Mania ini juga dikenali dengan nama Dancing Syndrome atau St Vitus Dance. Penyakit seakan wabak misteri yang belum terungkai ini dicatatkan dalam sejarah berlaku pada abad ke-14 dan ke-17 di Eropah, bermula di Aachen, Jerman pada tahun 1518.
Beribu-ribu orang dilaporkan keluar dari rumah mereka dan mula menari sehingga kehabisan tenaga. Malah, sesetengah daripada mereka patah tulang rusuk akibat terlalu banyak menari, manakala yang lain pula ada yang terhenti jantungnya akibat terlalu penat dan meninggal dunia.
Pada waktu itu, pihak gereja mengganggap mereka yang terkena penyakit ini sebenarnya dirasuk roh jahat. Di Itali pula, pakar perubatan berpendapat ia berpunca daripada gigitan sejenis labah-labah. Bagi pengkaji moden pula, mereka berpendapat ia adalah sejenis kulat yang menjangkiti tanaman rye, sejenis tanaman seperti gandum dan barli yang sering digunakan penduduk Eropah. Semua teori ini masih belum dibuktikan 100% benar.
2. Marsili Syndrome (Congenital Insensitivity)
Pesakit yang menghidapi penyakit ini boleh dianggap bertuah atau malang pada masa yang sama. Ini kerana mereka yang menghidapi penyakit ini tidak mempunyai deria rasa sakit sama sekali. Kami pernah menulis artikel mengenai sebuah keluarga yang merupakan satu-satunya keluarga yang menghidap penyakit ini di dunia.
Oleh disebabkan penyakit ini begitu "rare", ia diberi nama sempena nama keluarga itu iaitu Marsili. Ahli keluarga Marsili yang menghidapi penyakit ini tidak menyedari ketika mereka mengalami kecederaan seperti patah tulang, melecur atau terseliuh dan meneruskan aktiviti seperti biasa sehinggalah keadaan fizikal membengkak atau berubah warna.
1. Walking Corpse Syndrome (Cotard Delusion)
Sindrom Mayat Berjalan ini adalah penyakit mental yang sangat jarang berlaku. Penghidap biasanya merasakan seakan-akan sebuah khayalan bahawa dia atau tubuhnya telah mati. Ia berlaku kepada pesakit yang mengalami kemurungan teruk atau beberapa gangguan psikotik yang lain.
Sindrom ini juga dikenali sebagai Cotard Delusion atau Nihilistik Delusion. Salah satu punca yang dikenalpasti ialah kegagalan sesetengah kawasan otak berfungsi dengan betul. Pesakit juga akan merasakan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang emosi. Paling teruk ialah penyakit ini boleh mendorong penghidapnya sehingga membunuh diri.