Bercerita tentang wabak Covid-19, ramai yang ingin tahu tentang kadar kematian disebabkan wabak tersebut.

Ini kerana peratusan mortaliti kematian jangkitan tersebut memudahkan kita memahami risiko dan bahaya penyakit tersebut. Semakin rendah kadar kematian, menandakan peluang untuk sembuh tinggi. Semakin tinggi kadar kematian? Itu bermakna risiko untuk pulih lebih rendah. Bagaimana pula dengan jangkitan atau wabak di mana kadar peratusan kematiannya adalah 100%?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima penyakit di dunia yang mempunyai peratusan kematian 100% yang menyebabkan penghidapnya mampu meninggal dua disebabkan jangkitannya.

1. Jangkitan prion

jangkitan kepada otak

Diistilahkan sebagai 'transmissible spongiform encephalopathies' (TSE) dalam dunia perubatan, masyarakat dunia lebih mudah menggunakan istilah wabak Prion bagi merujuk penyakit ini.

Nama 'prion' datang daripada kehadiran patogen/bendasing ke dalam otak yang mampu merangsang penghasilan sejenis bahan protein yang digelarkan 'protein prion' secara mendadak, tanpa kawalan di bahagian otak kita. Apabila kehadiran protein ini berlaku secara luar kawal, ini akan menyebabkan kerosakan pada bahagian otak seterusnya memulakan bermacam jenis jangkitan pada penghidapnya.

Wujud beberapa jenis wabak prion yang boleh berlaku pada manusia antaranya jenis variant Creutzfeldt-Jakob - sejenis penyakit yang berasal dari lembu yang akan membunuh penghidapnya dalam masa setahun selepas jangkitan berlaku. Jangkitan pula berlaku melalui sentuhan dengan haiwan atau termakan makanan yang telah dijangkiti. Bagaimanapun, kes ini sangat jarang berlaku.

Kadar jangkitan wabak ini dikatakan pada kadar 1 dalam 1 juta orang dan kesemua individu yang dijangkiti akan maut akibat wabak prion.

2. Wabak tidur Afrika

penyakit mematikan

Wabak tidur Afrika atau 'African sleeping sickness' merupakan sejenis penyakit bawaan parasit yang dipindahkan melalui lalat, digelarkan 'lalat tsetse' oleh penduduk tempatan.

Parasit yang menjangkiti manusia itu pula tergolong dalam genus 'trypanosoma', jadi istilah jangkitan ini dalam bahasa perubatan ditulis sebagai 'trypanosomiasis.'

Sehingga kini wabak ini dikategorikan sebagai wabak endemik di benua Afrika, masih menyerang 36 buah negara. Telah berlaku beberapa fasa jangkitan besar-besaran sejak penyakit ini dikenalpasti daripada penghujung abad ke 19 sehinggalah epidemik terakhir pada penghujung tahun 1990-an. Buat masa sekarang, keadaannya terkawal.

Jangkitan yang berlaku hanya akan bermula selepas 1 ke 3 minggu gigitan lalat tsetse yang menyebabkan parasit berpindah badan. Kesan gigitan lalat akan mula membengkak, sebelum individu yang dijangkiti mula demam panas, sakit kepala, merasa penat dan sakit otot. Apabila jangkitan mula sampai ke bahagian otak, ada pesakit yang mengalami masalah hilang ingatan dan bertukar-tukar personaliti.

Walaupun masih berlaku, jangkitan penyakit ini telah berjaya dikawal dengan tahun 2009 mencatatkan kes di bawah paras 10,000 pesakit buat kali pertama. Buat masa sekarang, kaedah rawatan mampu menangani jangkitan tetapi sekiranya seseorang tidak mendapat sebarang bentuk rawatan, kadar kematiannya berada pada tahap 100%.

3. Wabak kala-azar

jangkitan penyakit

Digelarkan sebagai wabak kala-azar kerana dinamakan oleh masyarakat India, merujuk kepada 'demam hitam'; kerana individu dijangkiti kulitnya akan mempunyai tompok-tompok gelap yang ketara. Dalam bidang perubatan, wabak ini dipanggil 'visceral leishmaniasis.'

Pada awalnya, jangkitan wabak ini kerap kali disalah anggap sama dengan jangkitan malaria sebelum sains membuktikan jangkitan ini datang dari sumber yang berbeza, iaitu gigitan lalat yang akan memindahkan protozoa 'leishmania' ke dalam tubuh manusia.

Seseorang pesakit kala-azar akan mengalami demam panas berpanjangan, hilang berat badan, bengkak di bahagian usus dan hati serta yang lebih serius akan menghidap anaemia, penyakit kekurangan sel darah merah dalam badan yang selalunya menjuruskepada maut.

Walaupun kadar kematiannya 100% jika tidak dirawat, rawatan moden mampu menangani wabak ini. Malangnya, semua individu yang sembuh akan mengalami satu lagi jangkitan dinamakan sebagai 'post-kala azar dermal leishmaniasis' atau PKDL.

Ruam-ruam besar akan terbentuk pada bahagian di mana kala-azar menampakkan kesannya seterusnya mengubah struktur kulit seseorang. Kebiasaannya PKDL akan berlaku 6 ke 12 bulan selepas pesakit sembuh dan ada sesetengah kes, PKDL boleh juga berlaku serentak dengan jangkitan kala-azar.

Kami tidak mahu letakkan gambar pesakit kala azar. Seram! Anda boleh cari sendiri dengan klik pautan ini.

4. Jangkitan Munchmeyer

penyakit berjangkit yang mematikan

Jangkitan Munchmeyer merupakan salah satu kecacatan organ manusia yang paling jarang berlaku, menyebabkan tidak banyak kajian dapat dilakukan ke atasnya.

Jangkitan ini akan menyebabkan berlakunya abnormaliti pada bahagian lokomotor tubuh seseorang, bahagian penting yang membolehkan tubuh dibentuk sempurna dan badan boleh bergerak iaitu sistem otot.

Penyakit ini direkodkan kebiasaannya akan muncul semasa dua dekad pertama hayat pesakit sebelum mula menjadi lebih teruk. Pada peringkat akhir jangkitan, keseluruhan bahagian otot pesakit lumpuh. Kenapa? Kami huraikan sebentar lagi.

Hasil kajian seorang penyelidik bernama Ludwig Munchmeyer pada tahun 1869, jangkitan ini dikenalpasti berlaku disebabkan oleh kesan trauma seperti hentakan atau perlanggaran pada bahagian tubuh yang menyebabkan berlakunya abnormaliti pada otot seseorang.

Selepas trauma berlaku, tubuh yang cuba memperbaiki bahagian otot yang rosak akan mengalami mutasi pada gene yang dikenali sebagai ACVR1 - menyebabkan otot yang sedang dibaiki ditukarkan menjadi tisu tulang yang baru.

Itulah penyakit Munchmeyer. Sejenis penyakit yang menukarkan otot-otot anda menjadi tulang. Jika anda rujuk gambar di atas, anda dapat melihat bonjolan pada bahagian tengkorak lelaki tersebut yang ditandakan dengan anak panah kuning. Itu gambar paling kurang mengerikan yang kami temui.

Jika anda mahu melihat sendiri keadaan pesakit Munchmeyer yang lain - kami ulangi sekali lagi; penyakit ini menukarkan otot menjadi tulang. Klik sini jika anda berani nak tengok rupa pesakitnya.

5. Jangkitan Tay-Sachs

budak kecil dijangkiti virus wabak

Jangkitan Tay-Sachs merupakan jangkitan yang sangat menyedihkan, kerana majoriti kes bermula semasa pesakit masih lagi seorang bayi.

Tay-Sachs merupakan penyakit genetik disebabkan oleh ketiadaan sel-sel saraf pada bahagian otak dan tulang belakang seseorang individu, menyebabkan mereka kekurangan sejenis enzim yang dinamakan sebagai beta-hexosaminidase A.

Tidak terhad kepada bayi sahaja, seorang remaja dan dewasa boleh juga mengalami jangkitan ini, tetapi majoriti kes melibatkan bayi.

Bagaimana jangkitan ini bermula? Apabila berlakunya mutasi yang menyebabkan tubuh tidak mampu menghasilkan enzim tersebut, otak akan mula dipenuhi dengan sejenis lemak yang dipanggil GM2 gangliosida. GM2 yang bersifat toksik akan menyebabkan berlakunya pembunuhan sel di dalam organ penting itu.

Jika seseorang bayi terkena jangkitan ini, simptom-simptomnya akan kelihatan pada peringkat awal usianya lagi. Dia tidak mampu mendengar, kerap mengalami sawan serta kurang tumbesaran pada organ pergerakan otot dan mental. Dalam kes melibatkan bayi, kebiasaan individu akan meninggal dunia sebelum mencapai peringkat kanak-kanak.

Seandainya seorang bayi berjaya mencapai umur 2 tahun tanpa sebarang simptom walaupun dia mempunyai kecacatan genetik itu, kebiasaannya dia akan mula menunjukkan simptom bermula usia ini sehinggalah mencecah 5 tahun. Bagi pesakit kategori ini, jangka hayatnya diramal hanya sehingga awal remaja.

Bagi golongan dewasa yang lewat menampakkan simptom, mereka akan mula mengalami masalah mental sehingga tiada lagi kemampuan mengawal tubuh disebabkan oleh kerosakan otak yang berlaku, tetapi mampu mempunyai jangka hayat sehingga tua. Bagaimanapun, kes melibatkan remaja dan dewasa sangat jarang berlaku.

Tay-Sachs merupakan keganjilan genetik yang sangat jarang berlaku, kerana memerlukan penggabungan dua gene resesif daripada pasangan ibu dan bapa yang membawa keganjilan serupa, jadi peluang untuk jangkitan ini berlaku rendah.

Dianggarkan 1 daripada 250 orang mempunyai gene penyakit ini dalam dunia. Walaupun nampak tinggi, seandainya perkahwinan berlaku melibatkan 2 orang pembawa kecacatan ini, peluang untuk anak mereka mendapatkan penyakit Tay-Sachs hanyalah pada kadar 25%, merendahkan lagi kemungkinannya.

Seandainya berlaku? Nasib pesakit serta keluarganya amat malang sekali kerana mempunyai cahaya mata yang diramalkan tidak panjang jangka hayatnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)