Oleh pada 17 Oct 2021 kategori

Sebahagian kisah jenayah membuatkan kita terfikir bagaimana minda manusia mampu merancang sesuatu demi mencapai apa yang diinginkan dan terlepas daripada diburu pihak berkuasa. Malah, banyak filem yang menunjukkan kehebatan penjenayah melakukan rompakan besar dan terlepas.

Walau bagaimanapun, ada juga kisah mengenai penjenayah lucu yang membuatkan kita ketawa. Mereka ini melakukan jenayah tanpa rancangan rapi yang akhirnya menyebabkan mereka ditangkap. Berikut adalah penjenayah yang ditangkap kerana kebodohan sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Telefon dahulu sebelum merompak

penjenayah telefon sebelum merompak

Dua orang penjenayah merancang untuk merompak sebuah bank di Fairfield, Connecticut. Salah seorang daripada mereka telah menelefon bank itu dan memberitahu untuk menyediakan wang sebanyak USD 100,000 jika tidak mahu pekerja bank mati.

Penjenayah itu turut memberitahu bahawa rakannya berada di dalam bank ketika itu. Pekerja yang menerima panggilan itu terus menghubungi pihak polis dan bank itu ditutup secara "lockdown". Seorang lagi penjenayah yang berada di dalam bank ketika itu turut terperangkap.

Pihak polis kemudian tiba dan memberkas penjenayah di dalam bank dan rakannya yang membuat panggilan. Kedua-duanya dituduh melakukan rompakan tahap pertama dan ugutan untuk mencederakan. Pihak polis ketawa apabila mengetahui bahawa penjenayah itu menelefon terlebih dahulu sebelum merompak.

2. Tertidur ketika merompak

tertidur ketika merompak

Dua orang penjenayah di Alberta, Canada, bekerjasama merompak beberapa perniagaan di beberapa daerah. Mereka turut mencuri sebuah trak bernilai $60,000 dalam siri rompakan itu.

Tidak lama selepas itu, kedua-dua perompak itu ditangkap polis ketika tertidur di dalam trak curi yang sarat dengan barangan curi. Pihak polis mendakwa mereka terlalu penat merompak sehingga tidak sempat bersembunyi.

Pihak polis juga mendapati penjenayah itu turut memecah 15 buah kenderaan dan mencuri barangan berharga di sepanjang laluan mereka. Ketika diberkas, pihak polis menemui semula lebih daripada 160 barangan bernilai $200,000 di dalam trak itu.

3. Tersilap hulurkan pistol

tersilap serahkan pistol

Pada Januari 2012, sebuah cawangan Halifax Bank di London telah diserbu seorang perompak yang meminta wang sebanyak £700,000 daripada pekerja bank. Namun, perompak itu telah melakukan satu kesilapan besar.

Dia yang sepatutnya menyerahkan beg untuk diisi dengan wang sebaliknya tersilap menyerahkan pistol kepada pekerja bank. Pekerja bank yang terkejut itu merampas dan membawa lari pistol perompak itu.

Walaupun panik, perompak itu berjaya melarikan diri sebelum bank itu dikunci sepenuhnya. Pihak bank kemudian menawarkan ganjaran sebanyak £25,000 bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan perompak itu. Perompak itu berjaya diberkas tidak lama kemudian.

4. Tinggalkan nombor telefon

peti besi

Pada 26 Mac 2008, seorang penjenayah berusia 18 tahun telah masuk ke dalam sebuah kedai eksesori kenderaan di Chicago pada jam 8.00 pagi dengan membawa sepucuk senapang. Dia mahukan wang tetapi para pekerja memberitahu bahawa majikan mereka belum lagi tiba dan hanya dia sahaja yang tahu kombinasi kunci peti besi.

Penjenayah tidak matang itu kemudian meninggalkan dua nombor telefonnya untuk dihubungi sekiranya majikan itu tiba. Dia turut mengugut untuk menembak sekiranya mereka tidak menghubunginya.

Setelah perompak itu beredar, pekerja kedai itu menghubungi pihak polis. Polis tiba dengan berpakaian biasa dan menghubungi perompak itu. Perompak itu kembali pada waktu tengah hari dengan memakai pakaian dan topeng yang sama.

Apabila perompak itu cuba untuk mengeluarkan senapangnya, salah seorang polis telah melepaskan tembakan. Penjenayah yang cedera itu dibawa untuk rawatan sebelum ditahan dan dibicarakan. 

5. Tercicir surat beranak

zachary tentoni

Seorang peragut dari Boston bernama Zachary Tentoni telah meragut seorang wanita di sebuah stesen kereta api di Dorchester. Ketika meragut wanita itu, Zachary turut tercicir sebuah beg yang dibawanya.

Di dalam beg itu terdapat baju, kasut dan surat beranaknya. Pihak polis tidak menunggu lama untuk mengetahui tempat tinggal Zachary yang berhampiran stesen kereta api itu.

Ketika pihak polis tiba di rumahnya, Zachary cuba menipu bahawa namanya ialah John Foisy. Namun, pihak polis tetap memberkasnya. Dia didenda sebanyak $10,000 di atas jenayah ragut yang dilakukannya.

6. Bawa kenderaan curi ke mahkamah

tony van

Tony Van adalah seorang pekerja salun yang ditahan pada tahun 2008 kerana memandu sebuah Porsche Carrera yang dicurinya di San Anselmo, California. 

Ketika hari perbicaraannya di mahkamah, drama jenayah Tony sekali lagi terbongkar. Dia memandu ke mahkamah menggunakan sebuah SUV curi. Lebih lucu lagi, dia meninggalkan beberapa ekor anak anjing curi di dalam kenderaan itu di tengah panas.

Pihak polis memeriksa nombor pendaftaran kenderaan itu dan mendapati ianya dilaporkan hilang. Ketika diperiksa, mereka mendapati terdapat sebuah komputer riba curi di dalam SUV itu.

Tony yang sedang dibicarakan atas tuduhan mencuri Porsche itu dituduh mencuri SUV, komputer riba, anak anjing dan melakukan kekejaman haiwan dengan meninggalkan haiwan itu dalam kereta yang panas. Ikat jamin Tony yang sepatutnya bernilai $10,000 kemudian ditambah menjadi $250,000.

7. Bawa kayu dan pisau rompak kedai senjata api

derrick mosley

Seorang perompak bernama Derrick Mosley nekad untuk merompak sebuah kedai senjata di Portland, Oregon. Dia telah memecahkan kaca rak pameran dan mencuri sebuah pistol untuk dijadikan senjata. Namun, senjata yang diambilnya itu tidak berpeluru.

Pekerja kedai itu kemudian mengajukan pistolnya ke arah Derrick. Dia mengarahkan Derrick untuk membuang kayu besbol dan pisau yang dibawanya serta pistol curi ke atas lantai. Perompak itu terpaksa akur kerana tahu dia sebenarnya yang berada dalam keadaan bahaya.

Ketika polis sampai, mereka mendapati perompak itu sedang terbaring di atas lantai sambil tangan di kepalanya. Derrick akhirnya didapati bersalah atas rompakan kelas pertama dan dikenakan ikat jamin sebanyak $250,000.

8. Menyerah diri secara tidak sengaja

komputer kereta polis

Pada Oktober 1988, polis peronda sedang menerangkan peralatan terbaru kereta peronda mereka kepada kanak-kanak di sebuah kejiranan di Detroit. Seorang lelaki berusia 21 tahun bernama R. C. Gaitlin berasa kagum dengan teknologi terbaru itu.

Gaitlin kemudian meminta polis tersebut melakukan satu demonstrasi bagaimana komputer kereta peronda itu berfungsi. Pihak polis meminta lesen memandunya dan Gaitlin memberikannya dengan gembira.

Ketika pihak polis memasukkan maklumatnya, mereka mendapati Gaitlin adalah salah seorang buruan polis berkaitan rompakan bersenjata yang berlaku dua tahun sebelumnya di St. Louis. Gaitlin kemudian ditahan serta-merta.




Hakcipta iluminasi.com (2017)