Mendapati bahawa rumah anda telah dipecah masuk oleh pencuri merupakan satu mimpi buruk yang tak ada siapa mahu alami.
Walaupun ia masih belum berlaku kepada sesetengah orang, dengan hanya memikirkannya sahaja membuatkan kita bimbang.
Sesetengah orang mengatasi rasa takut mereka dengan tidak melakukan apa-apa dan berharap ia tidak berlaku manakala yang lain mengambil langkah-langkah ekstrem untuk memastikan rumah mereka selamat.
BESARKAN TEKS A- A+
Seorang individu mengambil inisiatif untuk menemuramah mereka yang pernah memecah masuk rumah untuk mengetahui apakah cara untuk mengelakkannya daripada berlaku.
Jawapan yang diberkan mendedahkan apa yang membuatkan rumah anda menjadi sasaran mudah untuk melakukan kegiatan mencuri. Sebenarnya, mereka telah merancang lebih awal.
1. Rumah tidak berpenghuni pada waktu siang
Kebanyakan daripada kita mungkin beranggapan bahawa rompakan biasanya berlaku pada waktu malam. Namun, pencuri-pencuri ini menidakkan perkara itu.
Merompak sesebuah rumah yang berpenghuni hanya meningkatkan risiko untuk ditangkap, jadi mereka lebih suka merompak pada waktu siang apabila ketiadaan orang di rumah.
Artikel dari "Center for Problem-Oriented Policing" di Universiti Albany mengatakan bahawa pencuri dan perompak lebih cenderung untuk mensasarkan rumah yang "kerap tidak berpenghuni pada waktu siang".
Pencuri yang serius mungkin akan memerhatikan rumah anda untuk tempoh beberapa hari untuk memastikan anda meninggalkan rumah sebelum memecah masuk.
Sesetengah perompak hanya akan mengetuk pintu rumah bagi mengetahui sama ada ia berpenghuni atau tidak.
2. Rumah tidak berkunci
Mengunci pintu mungkin kelihatan sesuatu perkara yang sangat jelas untuk memastikan anda selamat namun pencuri tahu bahawa ramai orang yang tidak atau terlupa melakukan langkah-langkah keselamatan ini.
Seorang perompak memberitahu bahawa jumlah rumah yang tidak mengunci pintu dan tingkap sangatlah mengejutkan. Dia juga menceritakan bahawa dia berjalan masuk ke bilik pelajar kolej dan mencuri komputer riba, konsol permainan video dan basikal.
Ia bukan sahaja berlaku kepada pelajar kolej, ramai yang terlupa mengunci pintu belakang rumah dan pintu pagar membolehkan mereka masuk dengan mudah.
Walaupun mengunci pintu tidak menjamin keselamatan sepenuhnya, ia sekurang-kurangnya menghalang anda menjadi mangsa mudah perompak.
Memasang pintu besi adalah cara yang terbaik mengelakkan daripada rumah dipecah masuk.
3. Surat dalam peti surat tidak diambil
Ketika sedang sibuk membuat persediaan untuk pergi bercuti, ramai orang terlupa untuk meminta bantuan jiran atau orang lain untuk menguruskan surat-surat mereka ketika ketiadaan mereka di rumah.
Peti surat yang penuh dan surat khabar yang bertaburan di depan rumah adalah isyarat kepada pencuri bahawa mereka telah menjumpai sasaran mudah beranggapan rumah tersebut tidak berpenghuni.
Apa yang perlu dilakukan adalah menghentikan seketika mel anda ketika bercuti atau meminta bantuan jiran untuk menyimpan bagi pihak anda.
Namun, jangan terlalu mencuba untuk membuatkan rumah anda seperti berpenghuni ketika pergi bercuti. Seorang perompak memberitahu bahawa dia tahu sesebuah rumah itu tidak berpenghuni atas beberapa sebab jelas.
"Lampu terpasang terang benderang dan bunyi TV yang kuat pada jam 2 pagi di tengah-tengah kawasan kejiranan kelas sederhana? Ia petanda jelas," katanya.
Anda mungkin beranggapan rumah anda selamat dengan cara ini namun pencuri lebih bijak.
4. Ruang belakang rumah mudah diakses
Pencuri akan memilih cara yang paling mudah untuk memasuki rumah anda. Ramai di antara mereka cenderung untuk memasuki melalui tingkap belakang rumah kerana kemungkinan untuk tertangkap adalah lebih rendah.
Jika anda tidak mempunyai pagar belakang rumah, anda memudahkan kerja mereka. Tiada pencuri yang suka untuk memecah rumah melalui pintu hadapan atau dengan memanjat pagar yang tinggi.
Semakin banyak perkara yang anda boleh lakukan untuk memperlahankan langkah pencuri, semakin rendah kebarangkalian mereka akan berjaya memasuki rumah anda.
5. Ramai penyangak dikalangan jiran anda sendiri
Ia mungkin membuatkan anda terperanjat untuk mengetahui bahawa kebanyakan rumah bukan dipecah masuk oleh orang yang tidak dikenali.
Menurut laporan yang berlaku di Amerika Syarikat, 66% daripada kes kecurian dan pecah rumah dilakukan oleh mereka yang mengenali mangsa.
Ia mungkin boleh dilakukan oleh ahli keluarga yang bermasalah, jiran yang cemburukan anda atau kenalan yang terlibat dengan dadah. Mereka ini berkemungkinan besar untuk memecah masuk rumah anda.
6. Anda mempamerkan barang berharga
Artikel yang sama dari "Center for Problem-Oriented Policing" memberitahu bahawa pencuri mencari peluang untuk mendapatkan ganjaran terbesar.
Mereka berkemungkinan besar mensasarkan rumah yang menunjukkan tanda-tanda kekayaan yang jelas. Ini bermakna anda harus mengehadkan kebolehlihatan barang berharga anda dan menjadikannya sukar untuk dilihat dari luar.
Salah seorang pencuri memberitahu: "Simpan barang-barang berharga dari pandangan. TV 70 inci anda tak sepatutnya boleh dilihat dari jalan luar,".
Pencuri-pencuri juga mengaku lebih cenderung untuk memeriksa bilik tidur utama terlebih dahulu untuk mencari barang kemas, wang tunai dan barangan berharga lain.
Letak barang berharga di tempat yang sukar diakses atau dicari, dan mereka ini tidak suka berada di dalam rumah untuk tempoh yang lama, jadi langkah ini memperlahankan pergerakan mereka.
7. Rumah anda terletak di lokasi hujung atau terlindung
Selain mencari peluang mendapatkan ganjaran terbesar, pencuri juga mencari sasaran berisiko rendah.
Mereka mungkin mencari rumah dengan jalan masuk yang mudah untuk ke jalan raya utama, tetapi mereka juga sukakan rumah yang terletak di pinggir kawasan kejiranan supaya tidak dilihat oleh jiran.
Rumah lot penjuru dengan jiran hanya di satu bahagian dan rumah yang tersembunyi atau ditutupi pokok cenderung untuk dipecah masuk.
Jika rumah anda mempunyai pokok atau tumbuhan yang terlalu besar sehingga menghalang penglihatan, lebih baik ia dibuang.
8. Tak mempunyai CCTV dan sistem penggera keselamatan
Sistem penggera mungkin agak mahal namun ia adalah antara cara terbaik untuk mengelakkan rumah anda dipecah masuk. Isyarat penggera adalah penghalang besar kepada kecurian daripada berlaku.
Tiada pencuri yang mahu menarik perhatian seperti ini.
Walaupun sesetengah pihak membahaskan tentang keberkesanan dengan meletakkan papan tanda penggera di luar rumah, namun majoriti daripada pencuri bersetuju bahawa dengan hanya mendengar bunyi penggera sahaja sudah cukup untuk membuatkan mereka meninggalkan rumah tersebut.
9. Rumah tidak memiliki anjing
Ramai di antara mereka yang pernah memecah masuk rumah mempunyai pendapat berbeza sama ada penghuni rumah patut memiliki anjing atau tidak.
Sesetengah pencuri tegar memberitahu bahawa jika mereka sudah memasuki sesebuah rumah itu, kehadiran anjing selepas itu tidak akan menghalang mereka untuk memecah masuk sekali lagi.
Pencuri seperti ini akan mengumpan anjing menggunakan makanan ringan atau dengan cara yang kejam.
Bagi pencuri yang mahu melakukan kerja dengan cepat dan mudah mengatakan anjing membuatkan mereka membatalkan hasrat itu.
Tak kiralah sama ada anjing tersebut bersaiz besar atau kecil, sebaik sahaja seekor anjing menyalak maka anjing-anjing yang lain di sekitar juga akan menyalak menandakan kehadiran sesuatu yang tidak biasa.
Rujukan:
Keselamatan rumah di musim perayaan