Oleh pada 28 Nov 2024 kategori

Kebanyakan negara di dunia dinamakan mengikut masyarakat yang mendiami kawasan tersebut.

Namun terdapat beberapa negara di dunia yang dinamakan sempena seorang individu, dek kerana pengaruh individu itu dalam sejarah atau disebabkan ada hubungan tokoh itu dengan pembentukan identiti negara tersebut.

Negara manakah yang dinamakan sempena nama orang? Berikut adalah lapan negara yang namanya diasaskan daripada lapan individu berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Amerika Syarikat

amerika syarikat nama amerigo vespuci

Nama 'Amerika' berasal daripada nama Amerigo Vespucci, seorang pelayar dan kartografer dari Itali.

Vespucci dikenali dalam catatan sejarah sebagai orang pertama yang menyedari bahawa tanah yang dijumpai lebih awal oleh penjelajah Christopher Columbus bukanlah sebahagian daripada benua Asia, tetapi sebenarnya sebuah benua baharu.

Pada awal abad ke-16, pelayaran Vespucci di sekitar apa yang kita kenali sekarang sebagai benua Amerika Selatan memberikan gambaran bahawa kawasan ini memang merupakan 'The New World' atau "Dunia Baru."

Pada tahun 1507, peta dunia yang diterbitkan kartografer Jerman bernama Martin Waldseemüller menamakan benua tersebut sebagai "America" untuk menghormati sumbangan Vespucci, selepas penemuan Vespucci membantu memperjelaskan kesilapan penyelidik geografi dunia di pada masa itu.

2. Filipina

filipina adalah nama putera philip

Jiran dekat kita agak berbeza dengan negara-negara di sekelilingnya kerana Filipina merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara dinamakan sempena seorang individu.

Filipina dinamakan sempena Raja Philip II dari Sepanyol, yang memerintah Empayar Sepanyol di antara tahun 1556 hingga 1598. Penjelajah Sepanyol, Ruy López de Villalobos menamakan kepulauan itu sebagai "Las Islas Filipinas" pada tahun 1543 untuk menghormati Philip II, yang ketika itu masih bergelar putera mahkota.

Philip II dikenang sebagai seorang raja yang sangat berpengaruh, terutamanya dalam menyebarkan ajaran agama Kristian ke negara itu. Penamaan 'Filipina' yang berkait dengan empayar itu mencerminkan usaha Sepanyol kini dilihat sebagai salah satu usaha Sepanyol menanamkan pengaruh budaya, agama, dan politik mereka di rantau tersebut.

3. Arab Saudi

bagaimana negara mendapat nama

Arab Saudi kita semua rasanya sudah tahu mendapat namanya daripada keluarga Al Saud, keluarga diraja yang memainkan peranan penting dalam sejarah Semenanjung Arab.

Negara ini diasaskan oleh Abdulaziz Ibn Saud pada tahun 1932 selepas beliau berjaya menyatukan pelbagai puak yang berpecah-belah di rantau ini serta menamatkan pemberontakan yang wujud di kalangan pemberontak.

Abdulaziz Ibn Saud dalam catatan sejarah diingati sebagai seorang pemimpin yang bijak dan tegas, yang membawa kestabilan kepada Semenanjung Arab selepas tempoh pergolakan. Nama "Saudi" menandakan pemerintahan keluarga tersebut yang kekal sebagai kuasa dominan di negara tersebut sehingga kini.

4. Bolivia

tokoh yang namanya jadi nama negara

Simón Bolívar, seorang pemimpin revolusi dari Venezuela yang dikenali sebagai "pembebas" di Amerika Selatan menjadi inspirasi kepada bagaimana negara Bolivia dinamakan.

Perjuangan Bolívar memainkan peranan penting dalam kemerdekaan banyak negara Amerika Selatan, antaranya Venezuela, Colombia, Ecuador, Peru dan termasuklah Bolivia daripada penjajahan Sepanyol.

Pada tahun 1825, Bolivia memutuskan untuk menamakan negara mereka sempena Bolívar sebagai satu bentuk penghormatan atas perjuangannya untuk kebebasan dan kemerdekaan. Sehingga ke hari ini legasi Bolívar dikenang sebagai tokoh yang berani, idealistik serta sanggup berkorban demi kemerdekaan benua tersebut.

5. Colombia

bagaimana colombia mendapat namanya

Seandainya Amerika Syarikat dinamakan sempena individu yang memperbetulkan kesilapan Christopher Colombus, Colombia pula dinamakan sempena Columbus sendiri, yang terkenal kerana menemui benua itu pada tahun 1492.

Walaupun impak penemuannya menemui benua itu besar kepada dunia pelayaran, Columbus sendiri sebenarnya tidak pernah sampai ke kawasan yang kini dikenali sebagai Colombia. Bagaimanapun namanya digunakan sebagai penghormatan atas sumbangannya dalam membuka laluan lautan dari Eropah ke benua Amerika.

Pada awal abad ke-19, semasa berlakunya gerakan kemerdekaan melibatkan beberapa buah negara di Amerika Selatan, nama Colombus dipilih, dipinda menjadi Colombia sebagai simbol penyatuan dan penghormatan kepadanya.

6. Kiribati

nama negara yang dinamakan sempena individu

Nama negara ini memang bunyinya seakan istilah Afrika, mengakibatkan ramai tidak menyedari asal-usulnya adalah 100% Eropah!

Kiribati adalah sebutan masyarakat tempatan untuk "Gilberts," nama yang diberikan kepada kepulauan ini oleh Thomas Gilbert, seorang pelaut British yang menemui kepulauan ini pada tahun 1788.

Gilbert bertindak selaku kapten kapal yang memimpin ekspedisi melalui kawasan Pasifik dan nama 'Gilbert Island' kekal sebagai sebahagian daripada sejarah kepulauan tersebut.

Pada tahun 1979, ketika Kiribati mencapai kemerdekaan, nama "Kiribati" dipilih untuk mewakili identiti yang mirip tempatan tetapi masih mengekalkan warisan sejarah kolonial Britain. "Gilberts" dipilih kerana nama itu melambangkan pertembungan antara tradisi asli orang asal dan pengaruh luar yang membentuk negara mereka.

7. Mauritius

individu yang namanya jadi nama negara

Mauritius dinamakan sempena Putera Maurice dari Nassau, seorang tokoh Belanda yang terkenal dalam sejarah ketenteraan dan politik.

Ketika pelayar Belanda menemui pulau tersebut pada tahun 1598, mereka menamakannya sebagau "Mauritius" sebagai penghormatan untuk putera tersebut.

Maurice dikenali dalam lipatan sejarah sebagai seorang strategis ketenteraan yang sumbangannya berjaya memperkukuh kedudukan Belanda dalam konflik melibatkan kuasa Eropah.

8. Seychelles

bagaimana nama orang jadi nama negara moden

Berbeza dengan semua negara dalam senarai ini, asal-usul nama Seychelles agak berbeza. Nama negara ini diambil sempena nama Jean Moreau de Séchelles, Menteri Kewangan Perancis pada abad ke-18.

Oleh kerana kawasan kepulauan ini ditemui penjelajah Perancis, bagi menghormati de Séchelles kerana jasanya dalam pentadbiran kerajaan, nama beliau diambil sebagai nama rasmi pulau tersebut.

Walaupun hanya berstatus sebagai seorang pegawai kerajaan, de Séchelles diabadikan dalam sejarah sebagai sebahagian daripada identiti negara ini. Siapa sangka bergelar Menteri pun boleh melayakkan nama seseorang jadi nama negara?




Hakcipta iluminasi.com (2017)