Minat orang ramai dalam bidang seni rekaan grafik khasnya yang berkait dengan komputer, semakin diterima baik masyarakat kita. 

Seni reka grafik moden dengan bantuan teknologi komputer sangat membantu dalam mempercepatkan proses kerja, membuatkan anak muda kita melihat prospek kerjaya dalam bidang ini sebagai cabang karier yang berpotensi tinggi. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun ada beberapa isu penting yang perlu anda ketahui sangat berkait dengan bidang grafik ini sebelum anda memilih untuk menceburinya secara formal. 

1. Teknologi semakin menggantikan kita

canva aplikasi rekaan mudah

Dengan perkembangan penggunaan aplikasi berasaskan mobil - tumpuan pengguna yang sebelum itu berfokuskan kepada aplikasi dan perisian komputer, telah beralih kepada peranti yang lebih mudah dibawa ke mana-mana.

Perubahan itu juga menyebabkan perisian-perisian grafik, animasi serta video yang sebelum itu lebih berorientasikan untuk kegunaan profesional; diubah menjadi lebih mesra pengguna sehingga membolehkan pengguna yang kurang berkemahiran pun mampu menghasilkan grafik serta isi kandungan yang berkualiti tinggi.

Banyak perisian telefon pintar seperti Canva, Kinemaster dan Quik mampu menghasilkan kandungan bertaraf profesional dalam masa singkat.

Harga aplikasinya jauh lebih murah, proses kerjanya mudah serta tidak memerlukan masa panjang untuk menghasilkan kandungan ringkas yang mungkin satu masa dulu memerlukan kerja tekun dua tiga hari seorang pereka untuk menyiapkannya.

Oleh sebab itulah...

2. Semakin ramai mampu jadi 'pereka grafik'

baju design merepek

Zaman sekarang, istilah 'pereka' ni dah macam satu terma am. Baru buat baju sehelai dua, dah berani gelar diri pereka fesyen. Baru buat logo satu, ada yang dah mengaku dia 'pereka grafik bertauliah.'

Realitinya - itulah hala tuju industri zaman sekarang di mana semua orang digalak dan diberikan peluang sama rata untuk membangunkan 'jenama' serta mencipta isi kandungan atau karya sendiri.

Untuk mencapai matlamat itu, perkakasan dan aplikasi yang kita gunakan juga direka untuk mempertingkatkan keyakinan seseorang pengguna, memudahkan agar semua orang yakin dia mampu menghasilkan sesuatu.

Jurang sempadan di antara seorang profesional dan juga seorang amatur semakin lama semakin ditipiskan.

Lihat saja kualiti video yang dimuatnaik oleh pembikin-pembikin video amatur di Youtube misalnya; sudah banyak yang mampu mencecah kualiti setara Hollywood (dalam skala lebih kecil) serta dilakukan dengan bajet yang lebih rendah.

Situasi ini menimbulkan beberapa persoalan jika anda teringin mengambil jurusan grafik; adakah kerjaya pereka profesional masih relevan dan adakah keperluan untuk pengijazahan atau kelulusan pendidikan perlu dalam dunia di mana orang tak belajar pun mampu hasilkan kandungan berkualiti tinggi?

3. Semua benda dah jadi 'masterpiece'

bored ape nft

Disebabkan lambakan penghasil karya, berlakulah lambakan kandungan-kandungan yang kucar-kacir dari segi kualitinya. Lagilah pula dalam zaman viral ni, populariti pula dijadikan ukuran dalam menentukan nilai sesuatu karya. Asal viral atau tular, terus dijulang sebagai 'berkualiti' sehinggakan masyarakat sendiri sudah menilai bahawa hanya 'kualiti bermaksud popular.'

Satu trend yang penulis sakit mata melihatnya, adalah trend penghasilan karya-karya untuk dijadikan NFT oleh ramai 'pengkarya' yang mahu buat duit cepat. Grafik yang dihasilkan secara endah tak endah, mampu dijual pada harga ratusan malahan ribuan ringgit oleh 'pereka-pereka grafik' suam-suam kuku.

Youtuber juga sudah semakin banyak digajikan oleh produksi pengiklanan untuk menghasilkan iklan, disebabkan oleh kos yang yang lebih rendah serta tiada kerenah beban birokrasi berbanding produksi biasa.

Semua ini tak cukup menakutkan anda lagi daripada mengambil kursus seni reka grafik?

4. Anda perlu ada tahap psikologi tinggi untuk hadap pelanggan

client designer neraka

Cekal betul anda ya?

Kami yakin anda pernah terbaca pengalaman buruk diceritakan oleh individu bergelar pereka grafik - apabila melibatkan pelanggan atau client mereka. 

Semua yang anda dengar benar belaka. Ini kerana apabila melibatkan pereka video atau grafik ini, pelanggan senantiasa rasa mereka ada hak untuk mengarahkan pereka-pereka dalam menghasilkan sesuatu.

Bila jumpa doktor atau mekanik, mereka tak pula buat perkara sama arahkan si doktor atau mekanik cara-cara nak buat kerja masing-masing.

Seperti yang kami sudah sebutkan di atas - apabila berkaitan dengan isu grafik atau, semua pihak melihat pandangan mereka perlu didengari. Dalam era sekarang di mana grafik mampu dihasil dengan mudah, semakin ramai yakin mereka ada kemampuan kerana mereka melihat bikin grafik itu juga senang. 

Melayan kerenah pelanggan yang terlalu suka arah itu ini, memang sangat mencabar minda.

Jadi akhirnya ramai pereka di luar sana pendamkan saja kreativiti kerana mereka tahu mereka tak perlu jadi kreatif untuk cari makan. Cukup sekadar ikut saja apa pelanggan nak - asal kerja siap tak banyak kerenah. Buruk pun buruklah. 

Atas sebab itulah ada kalanya logo-logo dan rekaan rasmi pun buruk ya amat. Biarlah buruk asalkan kerja siap.

5. Jalan karier anda singkat

hassan mutalib bapa animasi malaysia 791

Satu isu yang jarang sekali diceritakan kepada mereka yang mempunyai aspirasi dalam dunia pereka ni, adalah bagaimana hala karier anda sebagai seorang pereka profesional tak kiralah dalam apa bidang media sekalipun sebenarnya agak pendek.

Kecuali anda dah berstatus lejen seperti individu dalam gambar di ataslah. Permintaan industri memerlukan anda digantikan apabila tiba waktunya apabila anda dah dikategorikan kurang relevan.

Ada pelbagai faktor yang boleh menjadikan anda kurang relevan: usia, permintaan gaji dan yang paling sukar dihadapi, perubahan trend. Dunia grafik ini cepat berubah. Perubahannya pula biasanya didasari oleh permintaan mereka yang muda usianya. 

Sebagai pereka profesional, semakin tua, semakin tak terkejar kita dengan trend-trend terbaru. Lebih malang bagi sesetengah pereka, kemahiran yang mereka asah bertahun-tahun lamanya berkemungkinan tinggi untuk jadi tidak lagi relevan disebabkan tiada lagi permintaan dan perubahan teknologi.

Agensi atau syarikat memang lebih gemar mengambil pereka muda, disebabkan permintaan gaji lebih rendah serta pendedahan mereka kepada konsep-konsep terbaru yang mampu membawa perspektif berbeza.

Tidak ada kajian menyeluruh tentang statistik sebenar berapakah jumlah pelajar jurusan grafik dan media yang kekal dalam bidang masing-masing selepas tempoh 10 ke 15 tahun. Berapa agaknya peratusannya? 

Penulis anggarkan agak rendah kerana ramai yang pada satu takat memilih untuk menukar terus bidang kerjaya. Betul tak?




Hakcipta iluminasi.com (2017)