Antara salah satu langkah berisiko tinggi dalam sesebuah perniagaan adalah penjenamaan semula. Penjenamaan semula adalah apabila perubahan ketara dilakukan terhadap sesuatu jenama yang sudah dikenali.
Sama ada mengubah nama, logo, struktur korporat, atau ketiga-tiganya sekali. Tujuan utama penjenamaan semula adalah untuk mengubah persepsi terhadap bisnes anda sehingga tahap anda berpuas hati cara orang ramai melihat perniagaan anda.
BESARKAN TEKS A- A+
Dan biasanya teknik ini digunakan oleh perniagaan yang kelihatan seperti sudah ketinggalan zaman. Dengan hanya menukarkan logo, syarikat anda boleh berubah serta-merta menjadi syarikat moden.
Namun, jika tersilap langkah, syarikat anda juga mungkin semakin merosot dan akhirnya musnah. Jadi, iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 6 syarikat terkemuka dunia yang melakukan penjenamaan semula dan membuahkan hasil.
1 . Lego
Walaupun syarikat Lego kini memperoleh pendapatan berbilion-bilion ringgit, namun satu ketika dahulu jenama ini pernah merudum. Pada tahun 1990-an, pendapatan Lego menjadi semakin berkurangan dan kelihatan bakal bankrap pada ketika itu.
Namun, penjenamaan semula telah menyelamatkannya daripada musnah. Mereka menggunakan internet dan menggalakkan pengguna untuk berkongsi hasil ciptaan Lego dengan mereka.
Dengan cara ini, ia telah mengubah persepsi terhadap Lego sebagai sebuah syarikat moden, dan bukan ketinggalan zaman. Lego kemudiannya mula menghasilkan animasi Lego.
Kini terdapat rancangan dan filem berkenaan Lego dan juga permainan video Lego yang sangat berjaya. Semuanya disebabkan penjenamaan semula.
2 . Disney
Merupakan syarikat media kedua terbesar di dunia selepas Comcast pada hari ini, namun Disney juga pada satu ketika menghadapi masalah yang sama yang dihadapi oleh syarikat media tradisional, iaitu internet.
Disney tidak memiliki banyak aset media dan mula memberikan kesan terhadap projek-projek baru. Mereka bertindak dengan melaburkan sejumlah wang dan tenaga yang banyak dalam membina kewujudan mereka di internet.
Disney juga membeli aset media yang sudah mempunyai reputasi di internet. Mereka memiliki 20% saham di Vice Media dan 32% di Hulu. Dan pada tahun 2014, Disney telah membeli rangkaian YouTube pelbagai saluran yang dikenali sebagai Maker Studios dengan bayaran lebih daripada RM1.9 billion.
3. Burberry
Jenama Burberry dikatikan dengan kelas atasan rakyat Inggeris dan citarasa yang tinggi sejak diasaskan pada tahun 1856. Namun ia sama sekali berubah dan musnah menjelang awal tahun 2000 apabila sub-budaya dalam kelas bawahan Inggeris mula memakai jenama ini.
Dikenali sebagai Chavs, sub-budaya ini sangat terkenal dengan citarasa mereka yang sangat rendah dalam segala perkara. Ia membuatkan Burberry mendapat tempias buruk dan mula merudum.
Untuk menyelamatkan keadaan, Burberry telah melakukan penjenamaan semula. Mereka mengubah rekaaan bahan-bahan yang digunakan dan berjaya mendapatkan beberapa selebriti terkenal untuk memakai jenama ini.
Akhirnya, dari masa ke masa, kaitan Burberry dengan Chavs mula runtuh dan kembali dikaitkan dengan citarasa tinggi.
4 . Google Inc VS. Alphabet Inc
Google Inc adalah syarikat induk kepada Google dan segala assetnya sehingga pertengahan tahun 2015. Namun pada Ogos 2015, syarikat ini mengumumkan penubuhan syarikat induk baru, yang diberi nama Alphabet.
Idea ini merupakan satu kejayaan besar kerana Alphabet dengan pantasnya menjadi syarikat paling bernilai di dunia. Pada penghujung tahun 2015, jumlah ekuiti Alphabet Inc adalah sebanyak RM463.5 billion. Kini kedudukan itu mendapat saingan daripada Apple.
Walaunpun penjenamaan semula ini berjaya, namun ia tetap merupakan satu risiko yang sangat besar. Bagi perkhidmatan internet, jenama adalah segala-galanya jadi dengan menggunakan nama yang baru merupakan sesuatu yang sangat berisiko.
5. Harley-Davidson
Siapa yang tak terliur melihatkan motosikal Harley Davidson kan? Harley Davidson merupakan antara syarikat pengeluar motosikal paling berjaya di dunia. Secara jujurnya, ia merupakan nama yang paling dikenali ramai.
Namun lain ceritanya pada awal tahun 1980an. Mereka berhadapan dengan hutang yang tinggi dan tidak dapat membayar kerana produk mereka tidak mendapat sambutan. Ia hanya kelihatan seperti motosikal yang rendah citarasa dan kualiti.
Mereka kemudiannya merekabentuk semula motosikal Harley Davidson dan melancarkan kempen pemasaran besar-besaran dengan menaja segala jenis acara hiburan. Tindakan itu membuahkan hasil melihatkan syarikat ini menjadi tersangat popular pada hari ini.
Ia juga menunjukkan bahawa seteruk mana pun sesuatu jenama itu, ia masih boleh diselamatkan dengan cara yang betul.
6. Ultimate Fighting Championship (UFC)
Ketika adik beradik Fertitta membeli UFC pada tahun 2001, ia merupakan perniagaan yang gagal. Kerajaan menentang mereka dan tiada saluran TV yang mahu menyiarkan rancangan mereka. Ia disebabkan oleh UFC dianggap sebagai terlalu brutal untuk ditayangkan atau disokong.
Selepas dibeli, ia terus diberikan penjenamaan semula. Mereka mahu MMA menjadi satu sukan yang tulen dan diterima, jadi mereka memperkenalkan pemakaian sarung tangan wajib dan melakukan penyeragaman peraturan.
Had masa pusingan diperkenalkan dan mengharamkan gerakan kotor seperti pukulan pada bahagian kemaluan, menanduk lawan dan lain-lain. Setelah penjenamaan semula berhasil, rangkaian TV mula menayangkan acara mereka.
Kini UFC mempunyai urusjanji yang besar dengan FOX Sport dan merupakan antara sukan yang mendapat sambutan hangat. Di antara banyak-banyak penjenamaan semula, UFC merupakan yang terbaik dan memberikan kesan yang sangat besar.
7. Starbucks
Ketika ini, Starbucks merupakan jenama kedai kopi yang paling besar di dunia dengan pendapatan tahunan melebihi RM193 billion dan semakin berkembang di antarabangsa. Model perniagaan Starbucks sangat bagus kerana pelanggan cenderung datang ke outlet mereka pada waktu yang sama setiap hari.
Namun, sehingga tahun 2011, syarikat ini menggunakan nama Starbucks Coffee pada logonya. Namun, teks tersebut kemudiannya dibuang dan meninggalkan logonya sahaja.
Ini membuatkan logo tersebut menjadi lebih berprestij kerana mereka tak perlu meletakkan nama syarikat. Ia menunjukkan bahawa orang ramai telah mengenali jenama ini. Walaupun anggaran kos penjenamaan semula adalah sebanyak RM386 juta, namun ia dilihatkan sebagai pelaburan yang berbaloi.
Rujukan:
1. Guardian
2. Investopedia
3. NPR
4. Eskif
6. Echo Stories