Sebelum ini pihak Iluminasi pernah berkongsi artikel mengenai 7 Teknik Pengintipan dan Risikan yang banyak digunakan. Walau bagaimanapun, dalam artikel tersebut kami tidak masukkan penggunaan kamera pengintip sebagai salah cara pengintipan. Jadi, kali ingin kami ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai sejarah kewujudan kamera pengintip dan beberapa model awal kamera pengintip yang pernah wujud.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Untuk rekod, kamera pengintip telah wujud dan digunakan sejak tahun 1861 di Perancis. Kamera Chambre Automatique De Bertsch boleh dikatakan sebagai kamera pengintip terawal yang digunakan dan memberikan inspirasi kepada penciptaan kamera pengintip secara meluas selepas itu.

Kamera pengintip biasanya digunakan oleh syarikat pengintipan dan penyiasat persendirian untuk mengumpul bukti bagi mendakwa suspek di mahmakah. Di Malaysia syarikat penyiasat persendirian sebegini mestilah didaftarkan dan dilesenkan dan mereka ini tertakluk di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

Selama puluhan tahun, kamera pengintip sudah banyak berevolusi. Sekiranya dahulu saiznya agak besar, kini saiznya lebih kecil dan berupaya merekod gambar dan video beresolusi tinggi dan tempoh yang lebih panjang. Berikut merupakan beberapa generasi awal kamera pengintip yang pernah wujud.

1. Automatique De Bertsch

sejarah kamera pengintip

Dicipta pada tahun 1861, kamera Automatique De Bertsch dikatakan sebagai generasi pertama kamera pengintip. Kamera ini dicipta oleh Adolphe Bertsch dan menggunakan kanta tumpuan tetap dengan ruang pandangan kurang daripada diameter satu inci.

Tidak seperti kamera pada masa kini yang menggunakan konsep "point and click", cara penggunaan kamera ini juga lebih rumit dan kualiti gambar yang dihasilkan juga kurang baik. Namun, setidak-tidaknya penciptaan kamera pengintip bersaiz mini sebegini memberi inspirasi kepada penciptaan kamera-kamera pengintip yang lebih baik pada masa akan datang.

2. Ansco Memo

ansco memo 62

Ketika Ansco Memo dicipta, kaedah penghasilan gambar menggunakan teknik filem kering sudah menjadi standard. Hal ini membolehkan gambar dengan kualiti lebih baik dihasilkan.

Menjelang 1920-an dan 30-an, kamera 35mm Ansco Memo Miniature telah digunakan dan dianggap sebagai satu peralatan biasa bagi seorang penyiasat persendirian. Saiznya yang cukup kecil membolehkannya disimpan dan dibawa dalam poket seluar.

3. Ticka Expo Watch Camera

kamera jam analog

Kamera pengintip semakin berevolusi dan kamera Ticka Expo Watch Camera ini sekiranya dilihat daripada jauh kelihatan seperti sebuah jam analog. Walau bagaimanapun, kamera ini mempunyai saiz lebih besar daripada jam analog biasa dan tidak memaparkan waktu sebaliknya hanya mengambil gambar.

Kamera ini menjadi pilihan ramai penyiasat persendirian antara tahun 1905 dan 1914 dan harganya juga tidak begitu mahal. Kamera ini hanya dijual pada harga $1 (nilai ketika itu) dan penjualnya juga memberi jaminan pembeli akan dapat mengambil gambar tanpa dikesan.

4. ABC Wristwatch Camera

kamera jam tangan 824

Masih menggunakan konsep jam, kamera ABC Wristwatch Camera adalah sebuah kamera pengintip yang menyerupai sebuah jam tangan. Kamera ini dihasilkan di Jerman pada tahun 1949.

Bagi seseorang penyiasat, mereka kebiasaannya akan memakai baju lengan panjang bagi memastikan kamera ini tidak dapat dilihat dengan mudah. Agak mengagumkan kerana pada tahun 1949 kamera pengintip dengan saiz kecil sebegini sudah dicipta.

5. Kamera Pemetik Api Echo 8

kamera pemetik api 86

Sekiranya Ticka Expo dan ABC Wristwatch menggunakan jam sebagai tempat menyembunyikan kamera pengintip, Echo 8 pula adalah sebuah kamera pengintip yang diletakkan pada sebuah pemetik api.

Kamera ini dicipta pada tahun 1951 dan sememangnya berfungsi sebagai sebuah pemetik api. Untuk mengambil gambar, pengguna hanya perlu menghidupkan api dan secara automatiknya sekeping gambar akan diambil. Sudah tentu kamera sebegini susah dikesan.

6. Tessina 35

kamera pengintip mini 877

Sekiranya Echo 8 adalah pemetik api, Tessina 35 pula adalah kamera kecil yang boleh dimuatkan dalam kotak rokok. Malah, penyiasat juga biasanya menggunakan kombinasi kamera Tessina 35 dan Echo 8 sebagai "backup" dalam melakukan kerja-kerja pengintipan.

Lubang-lubang kecil biasanya ditebuk ditepi kotak rokok bagi membolehkan gambar subjek atau suspek diambil dengan jelas. Penggunaan kotak rokok sebagai kamera pengintip boleh dianggap sangat kreatif kerana tiada siapa yang akan menyangka kotak rokok tersebut mampu mengambil gambar.

7. Minox

kamera pengintip

Selaras dan kemajuan teknologi, maka kamera pengintip juga semakin canggih. Kamera Minox mempunyai kemampuan untuk mengambil 50 keping gambar tanpa memerlukan memorinya dikosongkan terlebih dahulu. Kualiti gambar yang dihasilkan cukup baik.

Malah, saiznya cukup kecil untuk disorokkan dalam genggaman tangan. Kerana saiznya yang cukup kecil ini, seseorang pengintip mungkin menyorokkan kamera ini dalam perkakasan atau peralatan peribadi contohnya pada berus kasut.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)