Dalam negara menuju ke fasa endemik, rutin pekerjaan majoriti individu di Malaysia sedang kembali berubah kepada sebelumnya.
Jika sebelum ini ramai bekerja dari rumah, kini ramai yang dapat menarik nafas lega kembali ke pejabat, mengharungi jalan sesak setiap pagi - agar dapat bekerja tanpa gangguan.
Tetapi kembalinya ke pejabat juga memerlukan kita bekerjasama dengan bermacam jenis individu berbeza, yang mungkin ngam atau tak ngam dengan kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimana nak kenali siapa yang perlu didekati dan siapa yang perlu dijauhi? Berikut adalah tujuh kategori rakan sepejabat yang ada, dikelaskan mengikut tabiat dan cara mereka bekerja hasil kajian seorang pensyarah psikologi dari New York University, Amerika Syarikat.
1. Kaki bodek dan tekan
Seorang individu yang mempunyai sifat kaki bodek dan tekan ini dianggap mampu melakukan apa saja yang perlu, termasuklah mensabotaj rakan sekerja mereka yang lain - asalkan mereka naik ke atas.
Satu masalahnya; mereka ini juga biasanya merupakan antara pekerja paling berprestasi tinggi dalam organisasi.
Rutin harian mereka - cuba cari peluang untuk mempertikaikan kredibiliti pekerja lain secara terbuka di depan pengurusan.
Satu lagi sifat paling jelas individu kategori ini adalah kerajinan sukarela mereka menghulurkan tangan dalam tugasan yang tidak mampu dipenuhi boss atau supervisor, walaupun mereka sendiri perlu bekerja lebih masa.
Sanggup tu, asalkan dia baik di mata boss.
2. Kaki up diri sendiri
Pernah tak anda bertemu rakan sekerja anda yang sering mengingatkan orang lain atau mungkin juga anda; bahawa atas jasa baik dialah - anda atau pekerja lain dapat peluang kerja ? Mesti ada.
Atau mungkin juga ada kalangan rakan sekerja anda yang selalu mengatakan kalau tak kerana dia, mungkin Encik X atau Puan Y dah dipecat lama dah.
Individu sebegini adalah antara kumpulan pekerja paling toksik akan anda temui kerana bagi mereka, semua yang berlaku di pejabat berlaku kerana campur tangan dan pengaruh mereka.
3. Kaki pencuri kredit
Sejak dari zaman kolej dan universiti kita sudah menemui golongan sebegini kan?
Dia tak menyumbang apa pun, tapi bila pembentangan berlangsung dialah yang paling laju cuba menjawab soalan pensyarah walaupun tak diminta.
Situasi sebegini akan berlanjutan ke alam pekerjaan.
Ramai yang tak malu untuk mengambil kredit ke atas kejayaan proses, walaupun realitinya dia hanya sibuk bertanya 'progress apa cerita? OK ke? Ok. Apa-apa update aku tau.'
4. Kaki jentolak
Dalam sesuatu organisasi, pasti akan ada ketikanya pihak atasan diwakili oleh individu lebih muda.
Sementara di bawah mereka ada pekerja yang berstatus veteran, jauh lebih berpengalaman berbanding pengurus itu sendiri.
Seorang kaki jentolak awal-awal lagi akan mengingatkan semua pihak bahawa dia berpengalaman, dia tahu dan dia dah biasa buat.
Semua dah dalam kepala dia.
Seorang pengurus yang lemah biasanya akan gagal mentadbir kaki-kaki jentolak ini daripada mengambil alih situasi, sehingga menyebabkan keputusan dibuat berdasarkan kepada pandangan seorang kaki jentolak.
Mereka tahu walaupun dari segi pangkat mereka lebih rendah, tetapi disebabkan oleh pengalaman yang ada, mereka mahu dianggap berpengaruh dalam proses merangka keputusan.
Mana-mana keputusan yang tak selari dengan pendapat mereka adalah tidak tepat.
5. Pengurus tahap mikro
Seorang pengurus tahap mikro sangat mudah dikenali.
Dalam pejabat, mereka adalah 'boss yang tak yakin dan tak percaya orang bawahan mereka mampu melaksanakan kerja tanpa pengawasan mereka.'
Setiap peringkat kerja perlu dilakukan berdasarkan kepada aturan yang telah mereka tetapkan, tanpa ada sebarang kelonggaran diberikan kepada pekerja untuk mengatur sendiri jadual walaupun tarikh akhirnya jauh lagi.
Bagi seorang pengurus tahap mikro, mereka melihat pekerja yang tidak ada kerja sebagai kegagalan dalam mereka mengurus.
Jadi mereka akan cuba memastikan semua orang 'ada kerja' untuk dilakukan, kerana pekerja yang bekerja menandakan pengurus itu cukup bijak mengurus.
6. Boss yang gelabah
Sekiranya anda biasa duduk dalam hirarki kerja yang bertingkat-tingkat, anda pasti akan berjumpa dengan pengurus atau boss yang majoriti masanya bekerja kelihatan sangat santai...
Sehinggalah tiba satu masa dia jadi gelabah, kelam-kabut dan mula emosi apabila menyedari situasi sudah di luar kawalan mereka.
Sehinggakan pada waktu itu, semua pekerja perlu turut dikorbankan. Dengan tiba-tiba semua orang tak dibenarkan pulang pada waktu yang dibenarkan.
Semua perlu bekerja lebih masa, perlu bersedia bekerja hujung minggu, perlu bersedia hadapi cuti yang dibekukan dan bermacam lagi kaedah yang DIA rasakan perlu.
Walhal minggu lepas elok saja dia main golf...
7. Kaki curi tulang jaja idea
Di antara kesemua kategori yang kami senaraikan, inilah yang paling ramai wujud serta boleh berlaku baik di kalangan pekerja bawahan mahupun pengurusan atasan.
Seorang pekerja kaki curi tulang adalah mereka yang suka buat-buat sibuk.
Bila boss ada, mereka akan bergegas ke sana ke sini seakan ada terlalu banyak perkara perlu mereka selesaikan. Bila boss balik, terus dia duduk di meja main telefon layan TIk-Tok.
Dalam mesyuarat (yang disertai boss) mereka inilah yang akan mengeluarkan paling banyak idea, cuba mencadangkan langkah-langkah, kaedah, proses dan SOP terbaik sehingga mendapat pujian.
Namun bagi seorang pekerja kategori ini, tugas mereka berakhir di situ. Bagaimana nak melaksanakan idea itu, semua itu dah jadi masalah orang lain.
Yang penting bagi mereka idea mereka terpilih dan idea itu sudah memadai untuk dianggap bahawa tugas mereka telah selesai.
Rujukan